Soalan 1: Merancang Anak Cara Semulajadi.

Saya telah mendirikan rumahtangga dan usia perkahwinan kami 3 tahun. Alhamdulillah, setahun selepas berkahwin, kami telah dikurniakan seorang anak perempuan. Oleh itu, saya dan isteri telah berbincang serta bersepakat untuk “merancang”  tanpa menggunakan kondom dan ubatan. Saya membuang air mani di luar faraj sewaktu bersama. Saya ingin tahu apakah hukum dari perspektif Islam dan dari segi kesihatan. Mohon pandangan dari pihak Tuan.

Zack, Johor.

 

Jawapan:

Kaedah yang dilakukan di atas disebut sebagai azal. Yakni suami memasukkan zakarnya ke dalam vagina isteri. Apabila terasa untuk klimaks, suami mengeluarkan zakarnya agar air mani dipancut di luar.

 

Kaedah azal dibolehkan dalam Islam dengan syarat ia dipersetujui oleh isteri. Abu Sa‘id al-Khudri berkata, kami bertanya kepada Rasulullah tentang al-‘Azal. Baginda menjawab: “Lakukanlah apa yang bersesuaian dengan kamu. Apa yang Allah telah tetapkan tetap akan berlaku dan tiadalah dari seluruh air (mani) itu akan terjadi seorang anak.” [Musnad Ahmad, no: 11438]

Seorang lagi sahabat Rasulullah bernama Jabir bin Abdullah menerangkan: Kami melakukan azal di masa Rasulullah, kemudian hal itu disampaikan kepada Nabi namun baginda tidak melarang kami. [Shahih Muslim, no: 2610]

Berdasarkan dua hadis di atas, hukum azal ialah harus. Disyaratkan mendapat persetujuan isteri kerana apabila suami klimaks dan mengeluarkan air mani di luar vagina, isteri kerap kali tidak akan dapat turut menikmati klimaks. Padahal antara keseronokan melakukan hubungan seks ialah suami dan isteri bersama-sama merasai klimaks.

Ada pun dari sudut kesihatan, setakat ini saya tidak mengetahui apa-apa kesan negatif melakukan azal.

Sebagai maklumat tambahan, dalam sebuah riwayat dinyatakan: Kemudian mereka (para sahabat) bertanya mengenai azal, maka Rasulullah menjawab: “Itu adalah pembunuhan secara tersembunyi.” [Shahih Muslim, no: 2613] Apa yang Rasulullah maksudkan di sini ialah secara kiasan, kerana kaedah azal mensia-siakan sperma yang bakal membawa kepada kehidupan. Ia tidak bermaksud pembunuhan yang hakiki kerana belum ada persenyawaan yang berlaku, belum ada janin di dalam rahim isteri.

 

 

 

 

 

Soalan 2: Solat Berkemban.

Bolehkah seorang wanita mendirikan solat dengan berkemban kain batik, lalu menyarung telekung? Ia dalam suasana bersendirian di dalam biliknya.

Ummi, Kota Bahru, Kelantan.

 

Jawapan:

Boleh bersolat dengan berkembangkan kain batik dan bertelekung. Ia menepati syarat menutup aurat dan solat adalah sah.

Hanya sebahagian kain batik agak pendek atau ia diikat agak tinggi sehingga berada di atas buku lali (mata kaki). Para ilmuan Islam berbeza pendapat sama ada buku lali dan apa yang berada di bawahnya sehingga ke tapak kaki, apakah ia termasuk aurat yang wajib ditutup atau tidak. Pendapat yang dipilih adalah, apa yang berada di bawah buku lali perlu ditutup semasa solat. Akan tetapi jika sebahagian atau keseluruhan kaki di bawah buku lali keluar secara tidak sengaja, ia tidak membatalkan solat. 

Adapun jika keseluruhan kaki di bawah buku lali keluar dari kain secara sengaja, maka jika wanita itu berseorangan atau sesama muslimat atau sesama mahramnya, maka solat tetap sah. Jika wanita itu berada di sekitar orang bukan mahram, dia berdosa kerana sengaja menampakkan kakinya tetapi ia tetap tidak membatalkan solat. [Syaikh Mustafa al-‘Adawy, Jami’ Ahkam al-Nisa’, jld. 1, ms. 321]

 

 

 

 

 

Soalan 3: Suami Malas Bekerja.

Bagaimanakah cara terbaik menasihati suami yang malas bekerja? Apakah hukumnya si suami yang asyik bergantung hidup dengan duit dari isteri termasuk menanggung perbelanjaan anak-anak dan rumahtangga.

Farhan, Semenyih, Selangor.

 

Jawapan:

Ini termasuk cabaran yang dihadapi oleh ramai isteri masa kini. Dari sudut hukum, suami wajib bekerja untuk memberikan nafkah – sekadar yang mampu – kepada isteri dan anak-anak. Pendapatan dari isteri yang bekerja hanyalah sebagai sumbangan tambahan. Sila rujuk artikel khusus saya tentang Nafkah dalam majalah Pengantin edisi Oktober 2011 (www.hafizfirdaus.com).

Menghadapi suami yang malas bekerja, anda boleh cuba dua langkah. Langkah pertama merupakan cara yang lembut, seperti memberi motivasi kepadanya untuk bekerja dan menyatakan betapa anda berterima kasih dengan apa yang mampu beliau sediakan. Nyatakan juga bahawa rezeki itu adalah daripada Allah dan Allah memberikannya kepada sesiapa yang bersungguh-sungguh mencarinya.

Langkah kedua merupakan cara yang kasar. Jika setelah sekian lama cara lembut tidak berkesan, maka anda boleh mencuba cara kasar seperti mengancam untuk menuntut cerai di mahkamah. Pilihan ini bukanlah sesuatu yang disukai, akan tetapi jika suami selama ini tidak membantu kehidupan anda, maka tiada apa-apa faedah untuk memiliki suami. Anda boleh hidup bersendirian bersama anak-anak.

Sebahagian suami ada yang terjaga dari tidurnya apabila diancam dengan penceraian, lalu dia kembali memperbaiki dirinya sebagai seorang suami dan ayah. Akan tetapi ada juga suami yang tetap tidak berubah. Di sini anda menghadapi satu risiko, di mana sistem mahkamah syari’ah di Malaysia tidak begitu membantu isteri yang menuntut cerai. Namun beberapa tahun berjuang di mahkamah adalah lebih baik berbanding bertahun-tahun hidup bersama suami yang tidak bertanggungjawab.

Sama ada langkah pertama atau kedua, jangan lupa mahu pun putus asa untuk berdoa kepada Allah, agar suami berubah kepada yang lebih baik. Allah adalah Tuhan yang Maha Berkuasa, yang dengan mudah dapat mengubah sikap seorang suami daripada malas menjadi rajin, daripada kanak-kanak menjadi dewasa, daripada memakai lampin kepada memakai seluar.