Soalan:

Beberapa bulan yang lepas timbul isu “Kelab Isteri Taat” dan “Pelacur Kelas Pertama”. Ada yang menyokongnya dan ada yang membantahnya. Sehingga kini saya dan rakan-rakan masih membicarakannya. Persoalan saya, apakah pandangan Islam tentang “Kelab Isteri Taat” dan “Pelacur Kelas Pertama” ini?

 

Jawapan:

“Kelab Isteri Taat” memiliki kebenaran dan kesalahan di dalamnya. Kebenarannya ialah isteri memang perlu taat kepada suami, kesalahannya adalah Islam mewajibkan ketaatan ini kepada semua isteri dan bukan sekadar ahli kelab. Dalam erti kata lain, Islam mewajibkan semua isteri untuk taat kepada suami mereka asalkan ia tidak melibatkan maksiat kepada Allah.

Dalam surah al-Nisa’ ayat ke tiga puluh empat, Allah menerangkan ciri-ciri isteri shalihah: Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama. Imam Ibn Katsir ketika menafsirkan ayat di atas mengemukakan penjelasan kebanyakan ilmuan Islam bahawa “taat” yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah ketaatan kepada suami.

Ini diperkuatkan oleh hadis-hadis Rasulullah. Di antaranya, baginda bersabda: Apabila seorang wanita (isteri) mendirikan solat lima waktu sehari, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya (dari berzina dengan lelaki lain) dan taat kepada suaminya, maka dikatakan kepadanya: “Masuklah ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang kamu ingini.” [Musnad Ahmad, no: 1661 dengan sanad hasan]

Jika isteri tidak taat sehingga suami marah atau kecewa dengannya, maka Rasulullah mengingatkan: Tiga orang yang solat mereka tidak terangkat walau sejengkal dari atas kepala mereka: (1) Seseorang yang menjadi imam solat bagi satu kaum (makmum) sedangkan mereka membencinya, (2) isteri yang tidur sedangkan suaminya dalam keadaan marah kepadanya dan (3) dua saudara (seislam) yang saling bermusuhan. [Shahih Ibn Hibban, no: 1757 dengan sanad hasan]

Semua ini dengan catatan, ketaatan isteri kepada suami hanyalah dalam perkara yang selari dengan Islam. Jika ia bertentangan, seperti suami yang menyuruh isteri mendedahkan aurat, maka tiada ketaatan di dalamnya. Rasulullah bersabda: Diwajibkan mendengar dan taat ke atas setiap muslim sama ada dalam hal yang dia suka atau benci selagi mana dia tidak diperintah untuk melakukan maksiat. Jika dia diperintah melakukan maksiat maka tiada wajib mendengar dan tidak wajib taat. [Shahih al-Bukhari, no: 6611]

Apabila ada pihak yang tidak setuju atau membantah ciri ketaatan isteri kepada suami, ia adalah kerana mereka telah terpengaruh dengan budaya kehidupan asing. Ini adalah satu bentuk sekularisme masa kini, di mana Islam hanya tinggal ibadah seperti wudhu’ dan solat manakala kehidupan harian – seperti kehidupan suami isteri – disesuaikan dengan budaya asing atau kehendak diri sendiri.

Bagi mereka yang menginginkan syurga Allah, maka mereka mengetahui bahawa taat kepada suami bererti taat kepada Allah. Mereka juga menyedari bahawa Islam tidak memisahkan antara solat dan ketaatan kepada suami, bahkan ia saling berkaitan sebagaimana dua buah hadis di atas.

Adapun “Pelacur Kelas Pertama”, ia hanyalah istilah sensasi untuk menarik perhatian orang ramai. Jika digunakan istilah “isteri shalihah” sahaja, tentu ramai yang tidak terlintas tentang hubungan seks di antara suami isteri. Apabila digunakan istilah sensasi tersebut, suami sebagai “pelanggan kelas pertama” akan berusaha memberikan kepuasan seksual yang terbaik kepada isteri sementara isteri sebagai “pelacur kelas pertama” akan berusaha memberikan kepuasan seksual yang terbaik kepada suami.

Betul atau salah istilah sensasi ini adalah relatif dan terpulang kepada penilaian masing-masing. Namun apa yang benar adalah kualiti hubungan seks di antara sebahagian suami isteri masa kini agak kurang dan menjadi salah satu punca perselisihan rumahtangga. Justeru hendaklah setiap pasangan suami isteri berusaha untuk meningkatkan kualiti hubungan seks mereka. Usah segan-segan untuk menuntut ilmu atau bertanya kepada mereka yang ahli (pakar) dalam bidang ini. Hubungan seks bukanlah sesuatu yang mesti disembunyikan sepenuhnya. Perhatikan bagaimana al-Qur’an juga turut membicarakan tentangnya, bahkan menggunakan istilah “kebun tanaman” untuk menarik perhatian orang yang membacanya: Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai. [al-Baqarah 2:233]