Soalan:

Saya pernah terdengar tentang pasangan yang bernikah di sempadan Malaysia-Thailand. Mereka biasanya disebut sebagai “kahwin lari”. Kenapakah ada pasangan yang ingin nikah di sempadan dan adakah penikahan itu sah?

 

 

Jawapan:

Pertama sekali, jangan kita bersangka buruk atau memiliki pandangan yang negatif kepada mana-mana pasangan yang bernikah di sempadan atau di negara lain. Islam mengajar kita:

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. [al-Hujurat 49:12]

 

Pada asalnya setiap pasangan menginginkan pernikahan di kampung halaman masing-masing dengan dihadiri oleh ahli keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai. Akan tetapi jika memiliki sesuatu halangan, maka mereka berubah dari Plan A ke Plan B, iaitu nikah di sempadan atau negara lain.

 

Antara halangan yang dihadapi ialah ibubapa yang meletakkan syarat yang tidak dapat dipenuhi oleh bakal pengantin lelaki, seperti meminta wang hantaran yang berpuluh ribu ringgit. Ada juga ibubapa yang tidak menyukai calon pilihan anak mereka, atas sebab-sebab yang tidak selari dengan syari’at Islam, seperti ibubapa yang tidak sukakan bakal menantu perempuan yang memakai tudung menutup aurat. 

 

Pada dasarnya anak-anak hendaklah mentaati ibubapa, kecuali jika ibubapa memerintahkan mereka sesuatu yang menyelisihi syari’at Islam (maksiat). Maka dalam kes terakhir ini, tiada ketaatan sebagaimana sabda Rasulullah: Mendengar dan taat adalah haq (kewajiban) selama tidak diperintah berbuat maksiat. Apabila diperintah berbuat maksiat maka tidak ada (kewajiban) untuk mendengar dan taat. [Shahih al-Bukhari, no: 2735]

 

Dalam contoh-contoh di atas, setelah beberapa percubaan tetap bertemu dengan kegagalan, maka bakal pengantin boleh beralih ke Plan B iaitu bernikah di sempadan atau negara lain. Pernikahan mereka diuruskan oleh Majlis Agama Islam negera berkaitan dan kemudiannya didaftarkan bersama konsulat Malaysia di negara tersebut. Seterusnya mereka boleh mendaftarkan pernikahan itu dengan jabatan agama negeri masing-masing.

 

Apa yang penting, pernikahan ini adalah sah. 

 

Bagi pernikahan di sempadan Malaysia-Thailand umpamanya, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Jul 2002 telah membincangkan Kahwin Lari di Selatan Thailand. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum pernikahan di luar negara adalah sah dengan syarat: (1) Pernikahan itu mengikut rukun nikah, (2) Pernikahan itu melebihi dua marhalah, (3) Tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin atas alasan syarak ditempat dia bermastautin, (4) Pernikahan itu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakad nikahkan di wilayah berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim. [www.e-fatwa.gov.my]

 

Adapun gelaran “kahwin lari”, maka ia bukanlah sesuatu yang tepat lagi sesuai. Pertama sekali, pasangan tersebut tidak berlari tetapi menaiki kenderaan umpama kereta, bas atau kapalterbang. Kedua, ia bukan di atas kerelaan pasangan mahupun pilihan utama mereka, tetapi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, mereka terpaksa beralih dari Plan A ke Plan B. Ketiga, pernikahan tersebut adalah halal lagi sah dan ia jauh lebih baik daripada berpacaran (dating) atau berzina yang jelas haram lagi dilarang.

 

Pun begitu, amat dianjurkan kepada bakal-bakal penganting untuk berbincang secara hikmah dan rendah diri kepada kedua-dua ibubapa mereka, seandainya adalah apa-apa yang menghalang mereka bernikah di kampung halaman masing-masing. Usah terus beralih ke Plan B sementara ada banyak ruang untuk tetap kekal dalam Plan A.