Soalan: 

Beberapa rakan saya yang baru berkahwin merungut tentang suami mereka yang seolah-olah enggan balik ke rumah. Suami kerap overtime di pejabat atau lepak di kopitiam bersama rakan-rakan di hari biasa sementara pergi memancing di hujung minggu. Kenapa ini berlaku dan bagaimana ia boleh dielakkan? Saya akan bernikah tidak lama lagi dan tidak mahu perkara yang sama berlaku dalam rumahtangga saya.

 

 

Jawapan:

 

Suami zaman moden ini tidak jauh berbeza dengan suami zaman purba kala. Mereka keluar dari gua untuk memburu, kemudian pulang dengan hasil buruan untuk berehat di dalam gua. Apabila wujud sesuatu yang tidak mereka sukai dalam gua, maka suami tersebut keluar semula untuk lepak di bawah pokok atau di tepi sungai.

 

Bagi memastikan suami tetap berehat dalam gua – bagi kes zaman kini dalam rumah – isteri sebagai pengurus rumah hendaklah melakukan dua perkara. Pertama, pastikan tidak wujud sesuatu yang tidak disukai oleh suami di dalam rumah. Antara yang tidak disukai oleh suami ialah rumah yang semak, menu makan malam mee segera dan isteri yang suka berleter lagi asyik meminta itu dan ini.

 

Kedua, jadikan rumah anda umpama besi berani (magnet) yang sentiasa menarik suami ke rumah dan kekal di dalamnya. Pastikan rumah kemas teratur supaya suami dapat berehat dengan selesa sekembalinya dari pejabat. Dengan ini, suami tidak perlu berehat di pejabat dengan helah overtime. Pastikan tersedia makanan dan minuman kegemarannya, dengan menu yang berubah-ubah. Dengan ini, suami tidak perlu lepak di kopitiam untuk makan malamnya. Pastikan diri anda sendiri dalam keadaan seksi, wangi dan ceria. Dengan ini, suami tidak perlu lagi keluar untuk apa-apa aktiviti lain kerana sudah sedia isteri tersayang di sisinya.

 

Demikian beberapa contoh yang tetap kembali kepada dua perkara yang asas: Pertama, jauhi perkara yang tidak disukai oleh suami di dalam rumah dan pada diri anda. Kedua, jadikan rumah dan diri anda umpama magnet yang kuat daya tarikannya kepada suami.