Soalan:

Saya biasa mendengar ayat al-Qur’an yang bermula dengan “Qul inkuntum…” disebut sebagai ayat pengasih. Agak ramai agamawan yang menyebutnya sebagai petua bagi mengeratkan hubungan kasih sayang antara suami dan isteri. Saya sendiri ingin mengamalkan petua ini setelah bernikah kelak. Namun bagaimana cara mengamalkan petua ini?

 

Jawapan:

Terima kasih atas soalan ini. Pertama sekali, hendaklah kita sedar bahawa agama ini milik Allah. Hendaklah kita, baik agamawan atau orang awam, tidak berkata-kata tentang Islam melainkan apa yang Allah firmankan di dalam al-Qur’an dan apa yang Rasulullah ajar melalui sunnahnya yang sahih. 

Berkenaan hal ini Allah berfirman: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan Rasul-Nya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. [al-Hujurat 49:01]

Kembali kepada soalan di atas, hampir semua petua-petua yang lazim disebut-sebut oleh para agamawan yang masyur tidak memiliki asal usulnya daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Maksudnya, Allah tidak mengajar kita untuk menjadikan ayat tersebut sebagai petua dan Rasulullah juga tidak mengajar mahupun mengamalkannya sebagai petua. Ini termasuklah ‘Ayat Pengasih’ yang disebut dalam soalan di atas.

Malah jika kita mengkaji ‘Ayat Pengasih’ tersebut, akan didapati ia menyentuh sesuatu yang jauh berbeza. Terjemahan ayat tersebut secara lengkap ialah: Katakanlah: Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Ali Imran 3:31]

Izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk mengupas ayat di atas secara ringkas. Firman Allah: “Katakanlah…” ditujukan kepada Rasulullah, bererti katakanlah wahai Muhammad kepada umatmu mesej penting berikut ini, iaitu: “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku”. Maksudnya jika kalian wahai umat Muhammad mencintai Allah, maka buktikanlah, terjemahkanlah perasaan cinta itu dengan mengikuti sunnah Rasulullah. 

Sudah tentu kita semua mencintai Allah atas pelbagai nikmat yang diberikan-Nya kepada kita. Kita juga mencintai Allah atas ujian-ujian kesukaran yang diberikan-Nya kepada kita, kerana di sebalik semua ujian itu ada hikmah dan manfaat. Nah! Bagaimanakah kita membuktikan kecintaan kita kepada Allah? Caranya ialah dengan mengikut sunnah Rasulullah dengan sebaik yang boleh, tanpa dikurangi atau ditokok tambah.

Apabila kita membuktikan kecintaan kepada Allah dengan mengikuti sunnah Rasulullah, balasannya: “…nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu.” Cuba tanya diri sendiri, ganjaran apakah yang lebih baik berbanding kecintaan dan keampunan daripada Allah?

Berdasarkan kupasan ringkas di atas, cuba perhatikan dari sudut manakah ayat 31 surah Ali Imran ini secara terus terang dapat dijadikan petua bagi mengeratkan kasih sayang di antara suami isteri? Tidak ada.

Oleh itu jika anda ingin mengeratkan hubungan suami isteri selepas bernikah kelak, caranya ialah dengan mempelajari ilmu komunikasi, ilmu perbezaan watak antara lelaki dan wanita serta ilmu berkenaan tanggungjawab suami isteri.