Soalan:

Dalam rangka memilih calon pasangan hidup, adakah Islam hanya menekankan faktor agama? Bagaimana dengan faktor kecantikan dan paras rupa? 

 

Jawapan:

Faktor kecantikan dan paras rupa memang turut ditekankan oleh Islam. Ini terbukti melalui beberapa hadis di mana Rasulullah menyuruh seseorang itu melihat terlebih dahulu perempuan yang akan dilamarnya, sama ada menepati citarasa hatinya atau tidak. Salah satu hadis yang dimaksudkan ialah: “Apabila salah seorang dari kalian melamar wanita, maka selagi dia boleh melihat apa yang dapat mendorongnya untuk menikahinya, maka lakukanlah ia.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2082]

Hanya, faktor agama adalah lebih utama kerana seseorang yang memiliki ilmu dan penghayatan agama yang baik, ia akan terserlah melalui akhlak dan pembawaan dirinya. Inilah akhirnya yang akan membawa kecantikan yang sejati.

Betapa banyak orang yang wajahnya cantik tetapi akhlak serta pembawaan dirinya amat tidak cantik. Betapa banyak orang yang wajahnya cantik pada saat muda, tetapi mulai pudar dengan bertambahnya umur. Berbeza dengan orang yang memiliki akhlak dan pembawaan diri yang baik, ia menghiasi dan terus menghiasi tuan punya diri tanpa mengenal warna kulit dan peredaran umur.

Kesimpulannya, faktor agama dan kecantikan memang diberi perhatian oleh Islam. Namun faktor agama terletak di atas faktor kecantikan.