Soalan:

Setelah membaca penjelasan saudara berkenaan kisah perceraian khuluq isteri Tsabit bin Qais, saya terfikir apakah pilihan lain bagi seorang isteri apabila sudah tiada perasaan cinta atau kasih sayang dengan suaminya?

 

Jawapan:

Cinta atau kasih sayang adalah sesuatu yang tidak memiliki skala ukuran, maka memang sukar untuk mengukur dan memberikan nilai yang dapat dijadikan sumber sandaran hukum. Pun begitu, terdapat beberapa isyarat atau sandaran yang dapat dijadikan bukti bahawa perasaan cinta atau kasih sayang tidak wujud, atau sudah tiada. Di antaranya:

Pertama: Isteri berkahwin dengan suami atas dasar paksaan, seperti perkahwinan yang diatur dan dipaksa oleh ibubapa. Dalam kes seperti ini, ia adalah alasan yang munasabah untuk meminta cerai. Allah telah berfirman: Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan. [al-Nisa’ 4:19]

Kedua: Setelah berkahwin, isteri mendapat tahu bahawa suami memiliki aib yang amat berat sehingga dia tidak dapat diterimanya. Suami tidak mengkhabarkan tentang aib tersebut sebelum mereka berkahwin. Maka isteri memiliki alasan yang munasabah untuk menuntut cerai.

Dalam sebuah hadis, dinyatakan bahawa inilah yang punca awal isteri Tsabit bin Qais meminta cerai. Beliau berkahwin tanpa terlebih dahulu melihat Tsabit. Apabila sudah bernikah, barulah dia melihat Tsabit dan ternyata rupa bentuk Tsabit amat buruk sehingga dia tidak dapat menerimanya. Agaknya – pada pandangan peribadi saya – fenomena ini menyebabkan berlakunya pergaduhan sehingga Tsabit mencederakan isterinya. Hadis yang dimaksudkan adalah:

Abdullah ibn ‘Abbas menerangkan: Khuluq yang pertama berlaku dalam Islam melibatkan isteri Tsabit bin Qais. Beliau datang kepada Nabi dan berkata: 

“Wahai Rasulullah! Tidak akan berkumpul kepala aku dengan kepala Tsabit selama-lamanya. Sungguh aku (selepas saja bernikah) menyingkap tepi khemah dan aku melihat dia datang bersama beberapa orang. Ternyata dia orang yang paling hitam di antara mereka, paling pendek di antara mereka dan paling buruk wajah di antara mereka.”

Rasulullah bertanya: “Apakah kamu ingin mengembalikan kebun (kurma yang diberikan sebagai mas kahwin) kepadanya?” Dia menjawab: “Ya, dan jika dia mahu aku akan menambahinya.” Maka baginda pun menceraikan di antara kedua-dua (mereka). [Diriwayatkan oleh Imam Ibn Jarir al-Tabari dalam kitab tafsirnya jld. 4, ms. 552 dan dinilai hasan oleh ‘Alawi al-Saqqaf dalam Takhrij Ahadits wa Atsar Kitab Fi Zhilal al-Qur’an (Maktabah Syamilah v3), no: 117]

Isteri Tsabit hanya mengetahui rupa bentuk suaminya setelah mereka bernikah, yakni ketika dia menyingkap tepi khemahnya. Ini menunjukkan bahawa perkahwinan tersebut diatur oleh orang lain sementara isteri Tsabit tidak melihat mahu pun mengetahui rupa bentuk Tsabit sebelum pernikahan tersebut. 

Ketiga: Setelah berkahwin, suami telah melakukan kesalahan besar dari sudut agama, seperti telah berzina dengan wanita lain. Jika suami enggan bertaubat atau tidak menunjukkan kesungguhan untuk bertaubat, maka boleh bagi isteri meminta cerai berdasarkan firman Allah: Perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. [al-Nur 24:26]

Keempat: Isteri dan suami telah berusaha sebaik mungkin untuk mengatasi konflik yang mereka hadapi, namun tetap menemui jalan buntu. Antara usaha yang dilakukan ialah sebagaimana firman Allah: Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya. [al-Nisa’ 4:35]

Apabila semua usaha dilakukan namun tetap menemui jalan buntuk sehingga kedua-dua suami isteri tidak dapat menjalankan hukum-hukum Allah, yakni masing-masing tidak dapat memainkan peranan dan tanggungjawab sebagai suami dan isteri, maka tidak mengapa jika isteri meminta cerai. Firman Allah: Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran (tebus talak- khuluq) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya. [al-Baqarah 2:229]

Demikianlah beberapa kes di mana seorang isteri memiliki alasan yang munasabah untuk berkata dia tidak mencintai suaminya atau cinta terhadap suami sudah hilang. Ada pun jika cinta itu hilang kerana sebab-sebab lain seperti kedua-dua pihak sibuk mengejar kerjaya, kekayaan dan status, maka ia bukanlah sebab yang munasabah.

Ini kerana cinta bukanlah sesuatu yang muncul secara kebetulan. Ia muncul kerana usaha yang dilakukan dan dengan izin Allah. Ia juga hanya akan berkekalan jika usaha yang dilakukan adalah berterusan dan ingatan kepada Allah juga secara berterusan. Sila rujuk ayat 21 surah al-Rum dan kupasan saya dalam edisi Ogos 2011 majalah Pengantin (rujuk www.hafizfirdaus.com). Oleh itu jika benar cinta telah “hilang”, maka carilah  ia dan hidupkanlah ia sebagaimana pada satu masa dahulu ia pernah hidup dan mekar di antara kalian berdua (suami dan isteri).