Soalan:

Benarkah kata orang bahawa kesan lebam di badan setelah selesai diurut datang dari makhluk halus sebagai upah?

Hamizah Abdul Rahman,

Johor Bahru.


 

Jawapan:


Makhluk halus boleh bererti semut dan bakteria. Namun dalam kebiasaan masyarakat kita, makhluk halus bererti jin. Jin ialah satu spesis makhluk Allah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, di antara mereka ada yang Islam dan ada yang kafir, di antara mereka ada yang shalih dan ada yang bermaksiat. Disebabkan jin ialah makhluk Allah, mereka tetap takut kepada Allah. Dengan itu juga, jin takut kepada manusia yang takut kepada Allah, jin berani kepada manusia yang takut kepada jin.


Masyarakat melayu umumnya amat memberi perhatian kepada jin. Apa jua keanehan, kelainan dan peristiwa yang tidak dapat dijelaskan akan disandarkan kepada jin. Kita begitu membesar-besarkan jin sehingga jin merasa hebat sambil ketawa memikirkan kebodohan manusia. Tidak kurang juga di antara jin ada yang rasa tertekan sebab mereka asyik dipersalahkan dalam perkara yang mereka tidak lakukan.


Merujuk kepada soalan di atas, ada dua kemungkinan. Pertama, lebam-lebam tersebut merupakan kesan dari urutan, di mana apabila tukang urut mengenakan tekanan yang lebih dari yang sepatutnya, ia meninggalkan kesan pada badan. Kedua, lebam-lebam itu disengajakan oleh tukang urut, agar pesakit merasa bimbang dengan kepercayaan “kesan gigitan makhluk halus yang mengambil upah” lalu kembali kepadanya untuk mendapatkan perisai atau pendinding dari gangguan makhluk halus.


Kita bersangka baik kepada kemungkinan yang pertama, justeru usah dipedulikan kesan-kesan lebam tersebut. Ambil makanan dan minuman yang berkhasiat dan berdoa kepada Allah agar ia cepat hilang.