Hasnah duduk termenung di bangku mahkamah, menunggu giliran kesnya dibicarakan. Di hadapannya kini kes isteri tuntut cerai terhadap suami yang tidak menunaikan tanggungjawab batin. Dalam suasana perbicaraan yang terbuka, Hasnah dapat mendengar kes-kes yang lain sebagaimana para hadirin juga akan dapat mendengar kesnya apabila dibicarakan sebentar lagi.

          “Saya tidak tahu suami saya seorang homoseksual. Sebelum kami bernikah dia tidak menceritakannya.duriros.jpg Selepas bernikah dia tidak menyentuh saya. Setelah beberapa bulan, saya mendapat tahu dia seorang homoseksual, sukakan seks sejantina. Dia menikah saya semata-mata atas tekanan keluarga padahal dia tidak inginkan mana-mana wanita. Dia inginkan lelaki” jelas isteri yang sedang berada dalam kotak perbicaraan. Suara Maisarah tegas, menunjukkan kemarahan kerana ditipu oleh lelaki yang bergelar suaminya.

          “Apa hujah pihak suami?” hakim bertanya. Peguam dan suami terbabit menundukkan kepala. Ketiadaan hujah agaknya, dicampur dengan rasa malu kerana aib suami didengari oleh semua yang hadir dalam mahkamah syari’ah tersebut.

          Hasnah juga terdiam. Kes dia seumpama dengan kes Maisarah yang sedang dibicarakan saat itu. Hanya bagi Hasnah, suaminya bukan seorang homoseksual tetapi seorang yang ketagih arak dan judi. Terlalu kerap berdampingan dengan arak dan judi sehingga mengabaikan Hasnah sebagai isteri. Suami hanya “kembali” kepada Hasnah apabila memerlukan duit bagi menebus kekalahan judinya. Hasnah yang bekerja sebagai kerani bank dapat membantu sedikit tetapi tentu tidak cukup. Kekurangan ini dibalas dengan tindakan fizikal oleh suami.

          Setelah insiden memukul berlaku beberapa kali rakan-rakan menyarankan Hasnah untuk menuntut cerai. Suami enggan diajak kaunseling, enggan menerima nasihat dan enggan berubah. Setelah semua ruang yang diusahakan gagal, Hasnah memberanikan diri berjumpa peguam bagi memulakan tuntutan cerai.

          Hanya yang masih berlegar di kepala Hasnah ialah, kenapa dia tidak menyelidik dengan lebih mendalam perangai suaminya sebelum mereka bernikah? Ini sebagaimana kes Maisarah yang sedang dibicarakan saat itu, kenapa dia tidak menyelidik latarbelakang seksual suaminya sebelum mereka bernikah?

Bunga Ros Sebelum Bernikah.

          Sebelum bernikah, seseorang itu lazimnya hanya nampak bunga ros pada bakal pasangannya. Duri-duri di dahan bunga ros tidak kelihatan. Jika terlihat sekalipun, mata akan ditutup agar ia hilang dari penglihatan. Usah diambil peduli tentangnya, yang penting ialah bunga ros yang harum lagi cantik di atas.

          Analogi bunga ros ini merujuk kepada fenomena kebanyakan pasangan sebelum mereka bernikah. Sebelum bernikah, yang difikir, dirancang dan diharapkan adalah yang baik-baik belaka. Usah dicari keburukan pasangan, usah diketahui kekurangan pasangan, usah diberi perhatian kepada apa-apa sikap negatif yang kelihatan pada saat itu. Mesti ada penjelasannya kenapa dia bersikap negatif. Maafkan saja.

          Fenomena inilah yang menyebabkan tidak sedikit di antara pasangan yang baru bernikah menghadapi kejutan. Selepas bernikah, barulah diketahui pasangannya itu kaki arak dan judi. Selepas ijab kabul, barulah diketahui pasangannya itu homoseksual. Selepas habis puluhan ribu ringgit untuk majlis pernikahan, baru terbongkar rahsia bahawa pasangannya itu memiliki hutang puluhan ribu ringgit lagi di atas hutang majlis pernikahan.

          Tidak sedikit juga selepas menghadapi kejutan di atas, pasangan-pasangan yang baru bernikah ini akhirnya berkunjung ke mahkamah bagi memutuskan pernikahan mereka. Kes Hasnah dan Maisarah merupakan dua dari sekian banyak kes seumpama.

Mencari Duri-Duri.

          Pengajaran penting dari kes Hasnah dan Maisarah serta banyak yang lain ialah, setiap orang hendaklah mengenali dengan mendalam siapa yang bakal menjadi pasangan mereka. Tidak cukup dengan bunga ros yang cantik lagi harum, perlu diselidik di bawahnya untuk mencari duri-durinya.

          Penyelidikan ini adalah sesuatu yang dibolehkan dalam Islam. Setiap individu yang akan mendirikan rumahtangga hendaklah bertanya kepada orang yang rapat lagi dipercayai tentang sejarah, kelakuan dan apa-apa ciri bakal pasangan yang tidak baik. Berdasarkan penyelidikan ini, dia boleh menilai sama ada mampu atau tidak untuk hidup dengan bakal pasangan yang memiliki sejarah, kelakuan dan ciri-ciri tidak baik itu.

          Menyelidik latarbelakang bakal pasangan merupakan sesuatu yang berlaku pada zaman Rasulullah. Salah satu kisah yang sahih tentang ini ialah apabila Fathimah binti Qais telah dilamar oleh Mu’awiyah bin Abi Sufyan dan Abu Jahm. Lalu Fathimah pergi berjumpa Rasulullah bagi menyelidiki latarbelakang kedua-dua lelaki yang melamarnya itu. Rasulullah menjawab:

          “Abu Jahm adalah orang yang tidak pernah meninggalkan tongkatnya dari lehernya sedangkan Mu'awiyah adalah orang yang miskin, tidak memiliki harta.” [Shahih Muslim, no: 2709]

          Maksud “tidak pernah meninggalkan tongkat dari lehernya” ialah kiasan bagi orang yang suka memukul orang lain dengan tongkat. Ia boleh juga bererti kerap bermusafir. Jawapan Rasulullah kepada Fathimah binti Qais menunjukkan dua perkara penting.

           Pertama: Dibolehkan menyelidik bakal pasangan sebelum bernikah.

           Kedua: Dibolehkan menceritakan kekurangan bakal pasangan kepada orang yang bertanya.

         

          Poin kedua ini penting untuk diperhatikan kerana Islam melarang secara tegas menceritakan kekurangan di antara sesama muslim. Islam melarang mengintip, bergossip dan menyebarkan cerita berkenaan kekurangan seseorang tanpa dibezakan apakah kekurangan itu benar atau dusta. Pengecualian yang terhad diberikan kepada orang yang dilamar, di mana dia dibolehkan menyelidik kekurangan orang yang melamarnya dan orang yang mengetahuinya boleh menceritakan kekurangan tersebut. Akan tetapi pihak yang menyelidik tidak dibenarkan menyebarkan kekurangan yang sudah diketahuinya kepada orang-orang lain yang tidak berkaitan dengan pernikahannya. Inilah yang dimaksudkan dengan pengecualian yang terhad.

          Akhir kata, pernikahan ialah kehidupan dua insan secara bersama. Sebelum bernikah, selidiklah terlebih dahulu sama ada bakal pasangan sesuai atau tidak untuk dihidup bersama. Jangan bataskan penyelidikan kepada ciri-ciri yang baik sahaja, tetapi luaskannya kepada ciri yang tidak baik juga. Jangan dibataskan kepada bunga ros sahaja tetapi berilah perhatian kepada duri-durinya.