Soalan:

Saya seorang Kristian berumur 17 tahun dan ingin memeluk Islam. Akan tetapi keinginan ini terpaksa saya tangguhkan kerana masih di bawah umur dan ibubapa pula tidak membenarkan saya. Apakah hukumnya melukai ibubapa atas niat untuk memeluk Islam?

Jessica, Kota Marudu, Sabah.

Jawapan:

Tahniah kerana memilih hidayah Islam. Sesiapa yang memilih hidayah, Allah akan menambah-nambah hidayah kepadanya: “Dan orang-orang yang menerima hidayah, Allah menambahi mereka dengan hidayah serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertakwa.” [Muhammad 47:17]

Merujuk kepada faktor bawah umur, itu hanya dari sudut prosedur kertas. Apa jua umur anda, asalkan anda menyakini bahawa Allah ialah tuhan yang satu bukan tiga, Muhammad ialah Rasul Allah yang terakhir dan Isa bukan anak Allah tetapi salah seorang Rasul Allah pada zamannya, maka anda sudah Muslim.

Merujuk kepada menjaga hati ibubapa, maka Allah berfirman: “Dan jika mereka berdua (ibubapa) mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.” [Luqman 31:15]

Dalam ayat di atas, Allah melarang kita dari mentaati ibubapa dalam urusan yang merupakan syirik kepada-Nya, seperti tetap kekal dalam agama yang menyatakan Allah itu tiga (Trinity) padahal Allah itu satu. Akan tetapi di sebalik larangan ini, Allah tetap menyuruh kita untuk bergaul dengan ibubapa dengan cara yang baik.

Oleh itu cubalah berbincang dengan baik kepada ibubapa. Nyatakan bahawa anda tetap akan menjadi anak mereka dan akan berinteraksi dengan baik bersama mereka. Nyatakan juga sebab-sebab mengapa anda ingin memeluk Islam, bahkan jemputlah mereka ke arah Islam juga. Sambil itu jangan lupa untuk berdoa kepada Allah agar dipermudahkan urusan anda untuk memeluk Islam.