Soalan:

Bolehkah saya menggunakan duit mahar yang diberikan oleh tunang saya sebagai upah haji (haji badal) untuk arwah ibu saya? Ini kerana saya mengetahui tunang saya itu telah berhutang untuk memberikan duit mahar tersebut.

Mimi, Johor Bahru.

 

Jawapan:

Jika yang dimaksudkan sebagai mahar ialah mas kahwin, maka ia hanya menjadi hakmilik penuh isteri selepas pernikahan dan selepas dirinya disetubuhi oleh suaminya. Jika yang dimaksudkan sebagai mahar ialah duit belanja kahwin atau duit hantaran, maka duit itu sepatutnya digunakan untuk perkahwinan dan kelengkapan selepas perkahwinan.

Adapun haji badal:

  • Jika ibu anda sudah menunaikan haji maka tidak ada tuntutan untuk melaksanakan haji badal ke atasnya. Ini kerana haji hanya wajib sekali dalam seumur hidup manakala selebihnya sunat. [Musnad Ahmad, no: 2642]
  • Jika ibu anda belum pernah menunaikan haji kerana tidak mampu, maka tidak ada lagi kewajipan haji ke atasnya. [Ali Imran 3:97]
  • Jika ibu anda mampu tetapi tidak sempat menunaikan haji, maka anda boleh menunaikan haji badal untuknya dengan syarat anda sendiri telah menunaikan haji. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 1813]

Merujuk kepada hutang, maka boleh menunaikan haji atau haji badal dengan cara berhutang. Akan tetapi amat tidak digalakkan berhutang untuk berkahwin sebagaimana tindakan bakal tunang anda, sebab kos kehidupan selepas perkahwinan akan menambah beban pembayaran hutang itu. Maka jika anda ada kelebihan kewangan dan redha, maka lebih baik menggunakan kelebihan itu untuk bantu bakal tunang lunaskan hutang selepas perkahwinan anda berdua.