Soalan:

Kadangkala kita marah kepada seseorang dan mengucapkan kata-kata kesat kepadanya. Namun semua ini hanya di dalam hati kita tanpa kita luahkan kepada orang tersebut. Apakah hukumnya?

Normarjana, Teluk Panglima Garang, Selangor.

m 

Jawapan:

Amal-amal keburukan, seperti marah dengan kata-kata yang kesat, selagi mana ia hanya di dalam hati maka tidak membawa dosa. Dosa hanya mula dicatat apabila orang tersebut menterjemahkannya dari lintasan hati kepada lisan atau perbuatan. Rasulullah menerangkan hakikat ini:

Barangsiapa yang ingin melakukan amal kebaikan akan tetapi dia tidak melakukannya, ditulis baginya satu kebaikan. Dan barangsiapa yang ingin melakukan amal kebaikan lalu dia melakukannya, ditulis baginya sepuluh sehingga digandakan kepada tujuh ratus. Dan barangsiapa yang ingin melakukan amal keburukan lalu dia tidak melakukannya, tidak ditulis (apa-apa kesalahan baginya) dan jika dilakukan, ditulis baginya (pada kadar kesalahan tersebut). [Shahih Muslim, no: 130]

Pun begitu, kemarahan yang tersimpan di dalam hati lambat laun akan “meletup” keluar juga. Maka lebih baik terus bersemuka dengan orang yang anda marah dan luruskan secara tenang apa-apa yang menyebabkan anda marah kepadanya. Pada waktu yang sama banyakkan memohon perlindungan kepada Allah daripada syaitan (A’uzubillah himinash syaitan nirrajim) kerana syaitan suka mengambil kesempatan ke atas orang yang sedang kemarahan di dalam hatinya.