Alhamdulillah, kita mengucapkan tahniah kepada pihak Majalah i kerana dalam beberapa edisi yang lepas telah menonjolkan kesesatan aliran Syi’ah. Ini bukanlah pertama kali Majalah i bersikap berani seumpama demikian. Sebelum ini Majalah i juga telah mengemukakan kesalahan dan kesesatan aliran Islam Liberal, amalan sihir, peranan bomoh dan pelbagai lagi.

          Ini merupakan sikap terpuji kerana dalam rangka menyampaikan ilmu, ia tidak terhad kepada ilmu yang benar tetapi juga meliputi pendedahan terhadap apa yang salah lagi menyeleweng agar kita sentiasa waspada terhadapnya. Semua ini termasuk amar maaruf dan nahi mungkar yang ditekankan oleh Islam sebagaimana firman Allah: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik (amar maaruf) dan melarang daripada segala perkara yang salah (nahi mungkar) serta kamu pula beriman kepada Allah.” [Ali Imran 3:110]

          Kembali kepada aliran Syi’ah, tidak tersembunyi lagi bahawa ia semakin mendapat tempat di kalangan umat Islam tanah air. Dalam suasana pihak-pihak berwajib yang banyak memberi fokus kepada mengejar aliran Wahabi – meskipun mereka tidak memiliki hujah kukuh apa dan siapa itu Wahabi – aliran lain umpama Islam Liberal, Golongan Anti Hadis dan Syi’ah dibiarkan bebas berkembang pesat. Ditambah dengan keadaan kebanyakan umat Islam yang hanya mengetahui Islam melalui silibus “Fardhu Ain”, apa yang ditawarkan oleh aliran-aliran di atas menjadi sesuatu yang baru, menarik, dianggap benar dan diyakini sebagai solusi kebangkitan umat. Dua faktor inilah pada pengamatan saya yang menyebabkan aliran-aliran bukan Ahlus Sunnah wal Jamaah semakin mendapat tempat di dalam hati umat Islam.

          Justeru melalui tulisan kerdil ini, saya ingin mengajak semua Ahlus Sunnah wal Jamaah untuk bekerja keras membasmi aliran-aliran ini, khasnya Syi’ah. Gunakan blog, forum dan apa jua saranan untuk menerangkan kesalahan aliran Syi’ah sambil menjawab syubhat-syubhat mereka. Turut diseru ialah para agamawan baik ustaz atau ustazah agar menyelitkan subjek Syi’ah ke dalam kuliah-kuliah tafsir, hadis, fiqh, akhlak, sirah dan apa jua yang sedang mereka ajar. Semoga dengan usaha bersepadu dari semua pihak, kita dapat membendung virus Syi’ah dari terus merebak.

          Lebih penting, usaha bersepadu dari semua pihak ini selari dengan perintah Allah bahawa amar maaruf dan nahi mungkar merupakan tanggungjawab setiap individu muslim, sekadar yang mampu: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan (amar maaruf) dan melarang daripada berbuat kejahatan (nahi mungkar) dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [al-Taubah 9:71]

 

Antara Syi’ah dan Ahlul Bait.

          Dalam rangka kita menolak Syi’ah, jangan pula ada yang terlanjur sehingga menolak Ahlul Bait, yakni kaum keluarga Rasulullah terdiri daripada para isteri dan saudara-mara beliau. Perlu diingat bahawa Ahlus Sunnah mencintai dan membela para sahabat Rasulullah di mana di antara mereka ialah Ahlul Bait baginda. Bahkan kita berselawat kepada mereka dalam setiap solat fardhu dan sunat yang kita laksanakan hari-hari.

          Khusus berkenaan Ahlul Baitnya, Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah telah memilih (suku) Kinanah daripada anak keturunan Ismail dan telah memilih (bangsa) Quraisy daripada (suku) Kinanah, dan telah memilih daripada (bangsa) Quraisy Bani Hasyim dan telah memilih aku daripada Bani Hasyim. [Shahih Muslim, no: 2276] Ini menunjukkan Bani Hasyim – yakni Ahlul Bait Rasulullah – memiliki kedudukan terpilih di sisi Allah.

          Dalam sebuah riwayat, Pakcik Rasulullah, al-‘Abbas pernah mengadu tentang layanan buruk yang diberikan oleh orang-orang kepadanya. Terhadap aduan ini baginda diriwayatkan bersabda: “Mereka tidak akan memperoleh kebaikan sehinggalah mereka mencintai kalian kerana Allah dan kerana talian kekerabatan denganku.” [Fadhail al-Shahabah oleh Imam Ahmad, no: 1756]

          Hendaklah kita ketahui bahawa salah satu natijah dari kecintaan kita kepada Rasulullah ialah mencintai Ahlul Bait baginda. Orang yang benar-benar mencintai Rasulullah akan mencintai Ahlul Bait baginda sementara orang yang membenci Rasulullah akan membenci Ahlul Bait baginda. Demikianlah juga, salah satu natijah dari kecintaan kita kepada Ahlul Bait Rasulullah ialah membela mereka.

          Di sini kita masuk kepada poin baru yang amat penting, iaitu pembelaan kita kepada Ahlul Bait Rasulullah terdiri dari dua aspek. Aspek pertama ialah membela Ahlul Bait daripada pihak yang merendah-rendahkan mereka, iaitu orang-orang yang menghina, membenci dan mengeluarkan kata-kata yang kesat terhadap mereka. Ahlus Sunnah wal Jamaah membersihkan Ahlul Bait Rasulullah dari sebarang kehinaan dan kebencian, malah menyelar sesiapa yang terbukti benar-benar melakukan demikian.

          Aspek kedua ialah membela Ahlul Bait daripada pihak yang meninggi-ninggikan mereka melebihi kedudukan yang ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Sebelum ini kaum Yahudi telah meninggikan Uzair menjadi anak Allah dan kaum Nasrani telah meninggikan Nabi Isa menjadi anak Allah (al-Taubah 9:30). Kini di kalangan umat Islam pula, aliran Syi’ah telah meninggikan Ahlul Bait Rasulullah ke tahap bebas dari kesalahan (maksum), mendapat ilham secara terus dari Allah dan mengetahui perkara ghaib.

          Maka kita Ahlus Sunnah berkewajipan untuk membela Ahlul Bait Rasulullah agar kedudukan mereka dapat dikembalikan kepada apa yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Ini adalah kewajipan yang telah diwasiatkan oleh Rasulullah apabila baginda bersabda: Aku tinggalkan kepada kalian al-Tsaqalain (dua perkara yang penting): Yang pertama adalah Kitab Allah (al-Qur’an), di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya. Maka berpegang teguhlah dengan Kitab Allah. (Yang kedua ialah) Dan Ahlul Baitku, aku peringatkan kalian kepada Allah tentang Ahlul Baitku. Aku peringatkan kalian kepada Allah tentang Ahlul Baitku. Aku peringatkan kalian kepada Allah tentang Ahlul Baitku. [Shahih Muslim, no: 2408]