Soalan:

Apakah cara terbaik untuk menasihati adik saya yang tidak dapat menerima kehadiran ibu tiri? Ibu tiri tersebut amat menyayanginya namun adik saya berkeras untuk lari dari rumah. Apakah boleh seorang anak meninggikan suara atau memarahi ibu tirinya?

Rosmin, Kertih, Terengganu.

 

Jawapan:

Ada dua sebab yang menjadi kemungkinan besar kenapa adik anda bersikap demikian. Pertama, beliau tidak dapat menerima kehadiran wanita lain untuk menggantikan ibu kandungnya. Di sini yang perlu dinasihati bukanlah adik tetapi ayah kandung dan ibu tiri. Ayah perlu menerangkan kepada semua ahli keluarga kenapa dia menikahi seorang wanita lain dan hakikat wanita tersebut tidak sekali-kali dapat menggantikan kedudukan ibu kandung mereka. Namun apa yang berlaku sudah berlaku, maka wanita yang dinikahinya itu akan menjadi cuba membantu kehidupan harian mereka seumpama seorang ibu.

Ibu tiri juga memiliki peranan menjelaskan kepada ahli keluarga bahawa dia bukanlah mengambil alih kedudukan ibu kandung mereka, cuma ingin membantu umpama seorang ibu dalam kehidupan harian mereka. Peralihan ibu kandung kepada ibu tiri adalah sesuatu yang berat bagi anak-anak, maka hendaklah cabaran ini ditangani dengan hikmah dan bertahap-tahap.

Kedua, adik mengalami cabaran-cabaran lain yang lazim dihadapi oleh adik-adik yang lain pada lingkungan umurnya umpama teman lelaki, perubahan horman badan, persaingan rakan-rakan sekolah dan peperiksaan. Semua ini menyebabkan dia menghadapi tekanan yang sukar diurusinya, lalu dilepaskan kepada ibu tirinya. Di sini ayah, ibu tiri dan adik beradik yang lebih dewasa perlu memainkan peranan mendengar cabaran-cabaran yang dihadapi oleh adik dan cuba memberi solusi yang sesuai dengan umur dan lingkungan adik tersebut.

Adapun berbuat baik kepada ibu tiri, hukumnya tidak sama dengan berbuat baik kepada ibu kandung. Namun ini tidak bererti seorang anak boleh meninggikan suara atau memarahi ibu tirinya kerana Islam menuntut kita berbuat baik kepada semua orang dalam semua suasana tanpa terhad kepada ibu kandung. Allah berfirman: “Dan sekiranya kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan Rasul-Nya serta (nikmat) di negeri akhirat maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang berbuat baik di antara kamu pahala yang besar.” [al-Ahzab 33:29]