meter_minyak_kereta.jpg

       Ketika saya merancang untuk menulis kolum bagi edisi bulan ini, harga minyak RON97 baru saja dinaikkan dua puluh sen kepada RM2.70 per liter. Mujurlah harga minyak RON95 dan Diesel tidak dinaikkan, sekurang-kurangnya buat masa ini. Namun dikatakan harganya tidak akan bertahan lama, dijangkakan ia juga akan naik dalam masa beberapa bulan akan datang.

Jika harga minyak naik, maka akan naik jugalah harga barangan asasi yang lain seperti beras, tepung, minyak masak, gula, garam, sayur-sayuran, ayam, ikan, daging dan pelbagai lagi. Semua ini pasti memberatkan rakyat selaku pengguna, termasuklah bakal-bakal pengantin.

 

 

Apa Kaitannya?

Mungkin ada di kalangan pembaca yang tertanya-tanya, apa kaitannya harga minyak, kenaikan harga barangan asasi dan perkahwinan? Ia memiliki kaitan kerana pada masa kini, hampir setiap pasangan suami-isteri bekerja keras untuk menaikkan ekonomi rumahtangga mereka. Dengan menaiknya harga barangan asasi, maka suami-isteri terpaksa bekerja lebih keras. Ini ditambah dengan senario masa kini di mana agak ramai yang ingin menaikkan ekonomi rumahtangga bukan untuk kemampuan asasi, tetapi untuk sesuatu yang merupakan perhiasan dan kemewahan dalam kehidupan.

Izinkan saya memberi satu contoh, iaitu talifon bimbit (handphone). Tidak dinafikan ia termasuk barangan asasi masa kini. Akan tetapi agak ramai yang ingin memiliki sebuah smartphone yang harganya mencecah lingkungan RM2000 padahal talifon bimbit yang biasa boleh dimiliki dengan harga RM500. Smartphone bukanlah barangan asasi tetapi lebih kepada perhiasan dan kemewahan.

Selain talifon bimbit terdapat banyak contoh lain seperti jenama pakaian, jenis kenderaan dan menu makanan. Apabila sesebuah pasangan suami-isteri ingin hidup di atas paras ekonomi mereka, di atas keperluan asasi mereka, ia menjejaskan dua hubungan yang amat penting.

 

 

Hubungan Suami-Isteri.

Pertama, ia menjejaskan hubungan suami isteri itu sendiri. Bayangkan pasangan suami-isteri yang masing-masing bekerja. Setiap hari kerja dimulai pada pukul 6 pagi, bersiap-siap untuk keluar rumah pada pukul 6.30 pagi. Lewat sedikit, mereka akan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Seharian sibuk di pejabat dengan kerja masing-masing hingga kerap kali lewat keluar dari pejabat. Apabila masing-masing kembali ke rumah, hari sudah pun gelap sebagaimana keadaan gelap ketika keluar rumah awal pagi tadi. Sedikit masa yang ada digunakan untuk persiapan hari kerja esok, diakhiri dengan masing-masing “pengsan” di atas katil pada pukul 10 malam.

Demikianlah jadual mereka setiap hari, melainkan pada hujung minggu. Itupun seandainya mereka ada masa lapang pada hujung minggu kerana kerap kali jadual masing-masing telah dipenuhi oleh pelbagai aktiviti lain yang ada kaitan dengan menjana ekonomi rumahtangga.

Dalam suasana masing-masing suami-isteri bekerja keras menaikkan ekonomi, ada sesuatu yang menurun iaitu hubungan romantik antara suami dan isteri. Kesibukan, tekanan (stress) dan keletihan menafikan kemesraan, kemanjaan dan kasih sayang di antara satu sama lain. Semakin hari semakin lama hubungan romantik kian menurun sementara keadaan ekonomi pula tidak semakin baik. Inilah yang akhirnya menjarakkan hubungan di antara suami dan isteri sebagaimana yang lazim kita perhatikan pada hari ini.

 

 

Hubungan Dengan Allah.

Apabila pasangan suami-isteri sibuk bekerja menaikkan ekonomi rumahtangga, sebuah lagi hubungan yang amat penting terjejas, iaitu hubungan dengan Allah. Kesibukan bekerja kerap kali menjadi alasan lewat mendirikan solat fardhu, bahkan ada yang tertinggal beberapa waktu dalam sehari. Ini termasuklah ibadah-ibadah yang lain seperti menuntut ilmu agama, solat sunat, puasa sunat, membaca al-Qur’an, berzikir dan berbuat baik kepada ibubapa, semua ini jarang-jarang terlintas di fikiran, apatah lagi untuk diamalkan.

Putus hubungan dengan Allah memutuskan segala-galanya daripada Allah. Maka sekali lagi, ekonomi rumahtangga tidak kunjung naik sementara kehidupan terasa semakin sempit, semakin sukar, semakin merudum.

 

 

Di Sebalik Ekonomi Rumahtangga.

Merujuk kepada dua hubungan di atas, saya tidaklah bermaksud untuk menyatakan pasangan suami-isteri tidak perlu berusaha untuk menaikkan ekonomi rumahtangga mereka. Akan tetapi apa yang saya hendak sampaikan ialah, janganlah fokus kepada ekonomi dan kerjaya menyebabkan anda mengabaikan hubungan suami-isteri dan hubungan bersama Allah. 

Sebaliknya jadikanlah Allah dan hubungan bersama pasangan anda sebagai fokus utama, di samping bekerja menaikkan ekonomi bagi mencukupi keperluan asasi rumahtangga. Dalam konteks ini saya ingin berkongsi sebuah ayat dari al-Qur’an, yang bermaksud:

Bertasbih kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan disebut nama-Nya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu petang, lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual-beli daripada mengingat Allah, mendirikan solat dan membayarkan zakat. 

Mereka takut kepada suatu hari yang (pada hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang. (Mereka melakukan yang demikian itu) supaya Allah memberi balasan kepada mereka lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan dan supaya Allah menambah karunia-Nya kepada mereka. Dan Allah memberi rezeki kepada siapa yang dikehendaki-Nya tanpa batas. [al-Nur 24:36-38]

Dalam ayat di atas, Allah menerangkan keutamaan orang yang melakukan perniagaan bagi menaikkan ekonomi namun tidak lalai untuk beribadah sementara hatinya takut kepada pengadilan Hari Kiamat kelak. Hati yang takut ini menyebabkan dia berniaga secara jujur, amanah dan halal sambil tetap tidak leka daripada Allah. Semua ini menyebabkan Allah membalasnya dengan tambahan limpah karunia dan rezeki yang tidak terhingga. Balasan inilah yang benar-benar akan menaikkan ekonomi rumahtangga.

Karunia dan rezeki Allah tidak terbatas dalam bentuk harta sahaja tetapi ia meluas kepada apa jua pemberian Allah seperti kemudahan hidup, kelapangan masa, kesihatan yang baik dan lebih penting – keimanan dan ketaqwaan kepada-Nya. 

Justeru bakal-bakal pengantin hendaklah merancangkan kehidupan rumahtangga mereka dan meletakkan prioriti yang betul di antara Allah, hubungan suami-isteri sesama mereka dan tahap ekonomi. Tahap ekonomi rumahtangga memang penting dalam suasana harga barangan asasi yang semakin meninggi, namun janganlah menjadikannya alasan untuk menurunkan atau menombor duakan hubungan bersama Allah dan antara suami-isteri.