Kemudahan adalah antara ciri istimewa syari‘at Islam sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala di dalam al-Qur’an: Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agama-Nya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. [al-Hajj 22:78].

Antara kemudahan Islam ialah mengecualikan kewajipan puasa dalam bulan Ramadhan bagi orang yang bermusafir. Firman Allah: (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain. [al-Baqarah 02:184]. 

Berdasarkan ayat di atas, dibolehkan berbuka apabila seseorang itu dalam musafir. Dia hanya diwajibkan mengqadha semula bilangan hari puasa Ramadhan yang tidak disempurnakannya. Tidak ada perselisihan di kalangan ahli-ahli ilmuan dalam perkara ini. Akan tetapi terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan sebelum seseorang itu memanfaatkan kemudahan ini.

 

 

travel.jpg

Jarak dan Tempoh Perjalanan.

Jarak dan tempoh perjalanan yang membolehkan seseorang itu berbuka puasa atau tidak berpuasa adalah sama dengan apa yang membolehkan solat diqasar. Dalam erti kata lain, apabila seseorang itu bermusafir sehingga membolehkan dia mengqasar solat-solat fardhunya, dia juga boleh berbuka puasa atau tidak berpuasa.

Terdapat beberapa pendapat di kalangan ilmuan Islam berkenaan jarak dan tempoh perjalanan seorang musafir. Saya tidak merancang untuk mengupasnya di sini. Para pembaca boleh berpegang kepada pendapat yang paling diyakininya sambil menghormati pendapat sahabat-sahabat yang lain jika mereka yakin kepada pendapat yang berbeza.

 

 

Manakah lebih baik - berpuasa atau berbuka?

Pilihan sama ada untuk terus berpuasa atau berbuka ketika musafir adalah satu anugerah Allah kepada hamba-hamba-Nya. Anugerah ini diberikan tanpa mensyaratkan sesuatu kesukaran dalam perjalanan. Seseorang itu bebas memilih antara berpuasa atau berbuka, sebagaimana terang hadis berikut ini daripada A’isyah, bahawa seorang sahabat bernama Hamzah bin 'Amr al-Aslami bertanya kepada Nabi: “Patutkah aku berpuasa ketika bermusafir?” Rasulullah menjawab: Jika engkau mahu silakan berpuasa dan jika engkau mahu silakan berbuka. [al-Lu’ Lu’ wa al-Marjan, no: 684] 

Abdullah ibn Abbas berkata: Rasulullah adakalanya berpuasa dan adakalanya tidak berpuasa dalam perjalanan. Oleh itu sesiapa yang suka bolehlah berpuasa dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa bolehlah berbuka. [Shahih al-Bukhari, no: 1948] Anas bin Malik juga menerangkan: Kami pernah berpergian bersama Rasulullah, (di kalangan kami ada yang berpuasa dan ada yang berbuka) tetapi yang berpuasa tidak mencela yang berbuka dan yang berbuka tidak mencela yang berpuasa. [al-Lu’ Lu’ wa al-Marjan, no: 682] 

Berdasarkan keterangan-keterangan di atas, Syaikh Abdul Karim Zaidan merumuskan: “Dibolehkan bagi orang yang bermusafir yang menempuh jarak perjalanan yang membolehkan solat diqasar untuk berbuka pada bulan Ramadhan, sesuai dengan kesepakatan para ulama’  sama ada dia mampu untuk melakukan puasa atau tidak mampu, sama ada puasa itu menyukarkan dirinya atau tidak.” [al-Mufashshal fi Ahkam al-Mar’ah, jld. 2, ms. 38]

Akan tetapi jika seseorang itu menghadapi kesukaran ketika berpuasa dalam musafir maka yang sebaiknya adalah untuk dia berbuka berdasarkan kepada hadis berikut daripada Jabir bin ‘Abd Allah yang menerangkan bahawa Rasulullah pernah dalam satu perjalanan melihat serombongan manusia dan seorang lelaki yang diteduhi oleh mereka. Lalu Rasulullah bertanya: “Mengapa ini?” Mereka menjawab: “Dia sedang berpuasa.” Rasulullah kemudiannya bersabda: “Bukanlah satu kebaikan untuk berpuasa dalam perjalanan (sebegini).” [al-Lu’ Lu’ wa al-Marjan, no: 681] 

Apabila sedang musafir, lalu seseorang itu menghadapi suasana kesukaran yang amat berat lagi membahayakan untuk berpuasa, maka puasanya menjadi haram dan berbuka menjadi wajib berdasarkan hadis berikut:

Jabir bin ‘Abdullah berkata, bahawa Rasulullah pernah keluar dalam bulan Ramadhan pada tahun pembukaan Mekah (Fath al-Makkah) lalu baginda berpuasa dan orang ramaipun berpuasa bersamanya. Begitulah keadaannya sehingga sampai ke Kurail Ghamim. Baginda diberi laporan bahawa orang-orang merasa amat payah berpuasa dan kini mereka menanti keputusannya. Lalu (sesudah waktu Asar) Nabi meminta semangkuk air lalu baginda minum.

Kemudian sampailah berita kepada Nabi bahawa ada sebahagian orang yang masih berpuasa, maka Nabi bersabda: “Mereka itu orang-orang yang derhaka, mereka itu orang-orang yang derhaka.” [Shahih Muslim, no: 1114] 

Berdasarkan hadis ini berkata Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin: “Jika berpuasa mendatangkan suasana kesusahan yang teramat sangat kepada orang yang bermusafir, dia wajib berbuka dan menqadhakan semula di hari yang lain. Tetap berpuasa dalam keadaan sedemikian adalah haram hukumnya.” [Fatawa al-Shiyam, ms. 19]

Secara ringkas, pilihan berbuka atau berpuasa ketika musafir boleh dikategorikan kepada tiga tahap, iaitu:

 

  1. Dibolehkan berpuasa atau berbuka ketika musafir tanpa sebarang syarat atau halangan.
  1. Sebaiknya berbuka puasa apabila menemui kesukaran.
  1. Wajib berbuka apabila mengalami kesukaran yang amat berat.