Soalan 1: Kenan.

Benarkah semasa mengandung, apa yang kita lakukan akan mempengaruhi kandungan? Contohnya ada orang kata semasa mengandung, bakal ibu tidak boleh memotong kaki ayam dan menegur cara kaki ayam itu dipotong pendek satu jari kerana apabila anaknya lahir, jari kaki kanan anaknya pendek satu jari sama seperti kaki ayam.

 

Mas, Kuantan, Pahang.

 

Jawapan:

Sebagai umat Islam, kita beriman bahawa Allah mencipta kita dan anak-anak kita dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Firman Allah: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. [al-Tin 95:04] Kadangkala Allah sengaja mencacatkan sedikit bayi yang dilahirkan, sebagai ujian kepada kita semua. Ia merupakan ujian kepada ibubapa bayi, sama ada mereka tetap bersyukur atau merungut. Ia juga merupakan ujian kepada orang-orang di persekitaran, sama ada mereka turut membantu atau mengaibkan bayi dan ibubapanya serta merasa hebat di atas kesempurnaan anak-anak mereka.


Demikianlah, kerana kehidupan ini sentiasa merupakan ujian daripada Allah kepada kita sebagaimana firman-Nya: Maha Suci Allah Yang di tangan-Nyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu; Yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. [al-Mulk 67:1-2] 

 

Dalam ayat yang lain Allah bertanya: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? [al-Ankabut 29:02]

 

Atas keimanan yang benar dan aqidah yang lurus ini, kita tidak menerima kepercayaan kurafat yang menyatakan apa yang dilakukan oleh ibubapa akan mempengaruhi bayi yang berada di dalam kandungan. Bahkan kepercayaan kurafat seperti ini merupakan satu bentuk syirik kerana orang tersebut menyakini wujudnya kuasa lain di sisi Allah yang mempengaruhi kesempurnaan bayinya.

 

Pada zaman Rasulullah, terdapat juga beberapa kepercayaan kurafat yang berlegar di kalangan masyarakat. Di antaranya, mereka mempercayai jika dalam satu perjalanan ditemui burung yang terbang ke arah kanan, ia petanda yang baik (good luck). Sebaliknya jika burung terbang ke arah kiri, ia petanda yang tidak baik (bad luck). Rasulullah menegur keras kepercayaan ini dengan sabdanya:

Mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung adalah syirik, mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung adalah syirik. (Baginda mengulanginya tiga kali). [Shahih Sunan Abu Daud,no: 3910]

 

Sama-sama diketahui bahawa syirik ialah dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah. Justeru kewajipan kita bukan sekadar tidak mempercayai kenan atau apa-apa yang seumpama, tetapi diluaskan kepada memberi nasihat dan teguran andai ada ahli keluarga, saudara-mara, jiran dan rakan yang mempercayainya.

 

 

 

 

 

 

Soalan 2: Membersihkan Air Kencing.

Anak kecil saya berusia lebih setahun dan sudah makan makanan lain selain susu ibunya. Kadang kala air kencingnya membasahi lantai rumah dan kami hanya mengelapnya dengan kain basah. Sah atau tidak solat di lantai rumah yang kadang kala terkena air kencing bayi tanpa disucikan dengan air yang mengalir tetapi bekas air kencing sudah kering dan tidak kelihatan.

 

Has, Johor Bahru, Johor.

 

Jawapan:

Ya, memadai mengelapnya dengan kain basah sehingga tiada lagi bau atau warnanya. Tidak perlu bersusah-susah membasuh dengan air mengalir, sabun atau selainnya.

 

Sebagai contoh, Anas bin Malik menerangkan bahawa pernah seorang Arab Badwi (dari pendalaman) yang membuang air kecil di dalam masjid sehingga sebagian sahabat menghampirinya (untuk memarahi dan menghalangnya). Namun Rasulullah bersabda: “Tinggalkan dia dan janganlah kalian menghalanginya.” Anas melanjutkan: “Ketika dia telah selesai kencing, maka Rasulullah meminta setimba air lalu menyiramkan di atasnya.” [Shahih Muslim, no: 427]

 

Dalam hadis ini terdapat pengajaran bahawa memadai membasuh air kencing dengan air. Setimba air bukanlah air yang mengalir, apatah lagi dengan keadaan lantai masjid pada zaman itu yang diperbuat daripada tanah, air tersebut akan hanya meresap ke dalam tanpa tidak mengalir ke mana-mana.

 

 

 

 

 

Soalan 3: Mandi Wajib Tanpa Klimaks Atau Air Mani.

Saya ingin kepastian, jika kita bersetubuh dengan isteri tetapi berhenti sebelum mengeluarkan air mani, apakah kita kena mandi wajib? Sementara bagi isteri pula, apakah setiap kali suami memasukkan zakar, dia wajib mandi wajib atau hanya bila isteri itu klimaks sahaja?

 

Hisham, Jengka, Pahang.

 

Jawapan:

Apabila suami dan isteri melakukan hubungan seks di mana telah bertemu kelamin dengan kelamin, maka mereka berdua perlu mandi wajib sekalipun tidak keluar air mani dan/atau tidak klimaks. Rasulullah bersabda: Apabila telah duduk antara empat anggota (yakni berhubungan seks) dan bersentuhan alat kelamin dengan kelamin, maka  wajiblah mandi. [Shahih Muslim, no: 526]