Soalan:

Baru-baru ini tunang saya mencadangkan agar kami berdua membuat pemeriksaan kesihatan yang penuh. Saya merasa agak hairan dengan cadangan ini. Setakat yang diwajibkan oleh pihak Jabatan Agama Negeri hanyalah ujian HIV. Apakah pandangan agama mengenai pemeriksaan kesihatan penuh sebelum perkahwinan?

 

 

Jawapan:

Hukum melakukan pemeriksaan kesihatan penuh sebelum pernikahan adalah mubah, yakni ia boleh dilakukan jika dipersetujui oleh kedua-dua bakal pengantin. Ia bukanlah satu kewajipan agama, namun ia selari dengan objektif agama.

Ini kerana Islam sememangnya memberi perhatian kepada penyakit dan menutup jalan-jalan daripada ia merebak. Jika salah satu pasangan menghidapi penyakit tertentu lalu bernikah, dia mungkin akan menjangkitkan penyakit tersebut kepada pasangannya. Dalam hal ini Rasulullah bersabda: Janganlah kalian mencampurkan antara yang sakit dan yang sihat. [Shahih al-Bukhari, no: 5330]

Selain itu, jika selepas pernikahan didapati seorang atau kedua-dua pasangan memiliki penyakit atau kecacatan tertentu, ia pasti akan mempengaruhi keharmonian rumahtangga. Bahkan boleh menjadi hujah di mahkamah jika satu pihak ingin menuntut cerai. Maka mengetahui sesuatu penyakit dan memaklumkannya kepada pasangan sebelum bernikah merupakan sesuatu yang memiliki kepentingan dan keutamaan.

Pun begitu, hendaklah disedari bahawa pemeriksaan kesihatan penuh bukanlah jaminan seseorang itu sihat sepenuhnya. Akan tetap ada penyakit yang tersembunyi atau penyakit yang muncul pada kemudian hari, selepas bernikah.

Tidak ketinggalan, andai ditemui sesuatu penyakit atau kecacatan semasa pemeriksaan kesihatan penuh, ia bukanlah alasan kukuh untuk membatalkan pernikahan. Ini kerana kebanyakan penyakit ada ubatnya yang dapat menyembuhkannya atau mengawalnya. Rasulullah mengingatkan: Setiap penyakit ada ubatnya. Maka apabila diperoleh ubat penyakit tersebut, akan sembuhlah ia dengan izin Allah ‘Azza wa Jalla. [Shahih Muslim, no: 4084]