Soalan:

Bolehkah saya membaca ayat Kursi atau ayat-ayat pendek dalam keadaan saya tidak berwuduk? Ini kerana ketika sedang menghadap komputer, saya suka membaca ayat-ayat tersebut. Akan tetapi saya berasa was-was kerana keadaan saya dalam tidak berwuduk. Mohon penjelasan dari Ustaz.

Baiduri Hamzah, Setiu, Terengganu.

 

Jawapan:

Boleh membaca dan memegang al-Qur’an tanpa wudhu’, baik untuk membaca ayat-ayat pendek atau keseluruhan al-Qur’an. Tidak ada dalil yang secara jelas mewajibkan wudhu’ bagi membaca atau memegang al-Qur’an.

Sebahagian pihak berpendapat wajib berwudhu’ berdasarkan ayat: Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci. [al-Waqi’ah 56:77-79] Mereka berpendapat ayat tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci merujuk kepada orang yang berwudhu’. 

Sebenarnya jika dihalusi keseluruhan ayat al-Qur’an tersebut, akan difahami bahawa makhluk-makhluk yang diakui bersih suci merujuk kepada para malaikat. Ini kerana ayat di atas merujuk kepada al-Qur’an tersimpan di langit, sebelum ia diturunkan ke bumi. Di sana tidak ada manusia, melainkan para malaikat yang sememangnya diakui bersih suci.