Soalan 1: Pencerahan Hukum Lelaki Memakai Cincin

Saya merujuk kepada penjelasan dalam edisi bulan Julai, berkenaan larangan lelaki memakai cincin. Saya merasa musykil kerana setahu saya kebanyakan ulama’membenarkan lelaki memakai cincin kerana Rasulullah sendiri memakai cincin. Bahkan masyhur dinyatakan bahawa Fatimah menyarungkan cincin pernikahan kepada Ali di hari perkahwinan mereka. Bolehkah diberi penjelasan lanjut.

 

Jawapan:

Jika dikaji secara mendalam berkenaan sunnah Rasulullah dalam memakai cincin, akan ditemui bahawa ia melalui tiga fasa. Ia seperti berikut:

Fasa Pertama: Memakai Cincin Emas. Rasulullah pada awalnya pernah memakai cincin emas, lalu kemudian baginda membuangnya. Yakni tidak lagi memakainya. Hadis berikut menjadi rujukan:

Bahwa Rasulullah pernah meminta dibuatkan cincin dari emas. Apabila baginda memakainya, baginda selalu meletakkan mata cincin tersebut pada bagian dalam telapak tangan. Kemudian para sahabat pun meniru apa yang dilakukan oleh Rasulullah. Pada suatu ketika, baginda duduk di atas mimbar dan terus menanggalkan cincin itu sambil berkata: “Dulu aku selalu mengenakan cincin ini dan meletakkan mata cincinnya di bagian dalam.” Lalu Rasulullah membuang cincin itu seraya berkata: “Demi Allah aku tidak akan memakainya lagi.” Melihat hal itu, para sahabat pun ikut membuang cincin mereka. [Shahih Muslim, no: 3898]

 

Fasa Kedua: Memakai Cincin Perak. Setelah membuang cincin emas, Rasulullah memakai cincin perak dan ini diikuti oleh para sahabat. Baginda kemudian membuangnya, yakni tidak lagi memakainya. Hadis berikut menjadi rujukan:

Daripada Anas bin Malik, bahawasanya pada suatu hari dia melihat di tangan Rasulullah sebuah cincin dari perak. Anas berkata: “Maka para sahabat pun saling membuat cincin dari perak dan memakainya. Kemudian Nabi membuang cincinnya, para sahabat pun ikut membuang cincin mereka.” [Shahih Muslim, no: 3905]

Khusus dalam fasa kedua ini, di antara ulama’ ada yang memahaminya sebagai makruh untuk memakai cincin. Namun kebanyakan (jumhur) yang lain berkata harus. Mereka berpendapat hadis dalam fasa kedua ini memiliki kelemahan, atau mereka mentakwilkan cincin yang dibuang oleh Rasulullah sebagai cincin emas dan bukannya cincin perak.

 

Fasa Ketiga: Memakai Cincin Perak Sebagai Cop Mohor. Setelah itu Rasulullah memakai cincin perak yang mata cincinnya berukir “Muhammad Rasulullah” yang baginda gunakan sebagai cop mohor surat-surat rasminya. Inilah cincin yang baginda pakai hingga akhir hayat.

Dalam bab ini terdapat beberapa hadis berkaitan, yang seolah-olah memberi gambaran boleh memakai cincin. Hadis Pertama: Dari Anas bin Malik bahwa Nabi membuat cincin dari perak dengan bertuliskan “Muhammad Rasulullah”. Beliau berkata kepada para sahabat: “Sesungguhnya aku telah membuat cincin dari perak dengan bertuliskan Muhammad Rasulullah, maka tidak boleh seorangpun mengukir tulisan pada cincin seperti yang ada pada cincinku ini.” [Shahih Muslim, no: 3901]

Berdasarkan hadis ini, seolah-olah boleh memakai cincin lain asalkan tidak berukiran “Muhammad Rasulullah”. Saya berkata, maksud hadis ini ialah seseorang itu tidak boleh membuat cincin dengan ukiran “Muhammad Rasulullah” di mata cincinnya. Namun dia boleh memakai cincin dengan ukiran lain, umpama nama sendiri “Hafiz Firdaus”. Cincin seperti ini dipakai bukan atas tujuan perhiasan tetapi pengenalan diri. Pada zaman dahulu ketika jadi peperangan, mangsa yang terbunuh lazimnya di penggal kepalanya. Maka tubuh badan mangsa dapat dikenali melalui cincin yang terukir namanya. 

Juga boleh bagi seorang khalifah membuat cincin yang diukir namanya sebagai cop mohor. Cincin-cincin seperti ini dipakai bukan sebagai perhiasan tetapi sebagai pengenalan diri atau cop mohor.

Hadis kedua: Ali berkata: “Rasulullah melarangku memakai cincin pada jari yang ini dan ini.” Abu Burdah berkata, Ali menunjuk jari tengah dan jari setelahnya. [Shahih Muslim, no: 3911] Berdasarkan hadis ini, difahami boleh memakai cincin di jari manis atau jari kelinking. Saya berkata, kemungkinan besar hadis ini merujuk kepada fasa pertama atau kedua, di mana Rasulullah dan para sahabat memakai cincin.

Ada pun kisah Ali memakai cincin pernikahan ketika berkahwin dengan Fatimah, ia memang masyhur disebut-sebut. Akan tetapi setakat ini saya tidak menemui sumber riwayat tersebut, apatah lagi darjat kekuatannya untuk dijadikan sumber hukum. Sesiapa yang mengetahui sumber dan darjatnya, dialu-alukan untuk mengutarakannya kepada saya. 

 

Kesimpulannya, hukum memakai cincin bagi seorang lelaki bergantung kepada tujuan dan cara ia dipakai. 

Sunat: Seseorang itu akan mendapat pahala jika dia memakai cincin kerana ingin mengikuti sunnah, yakni dia memakai cincin perak yang diukir namanya di mata cincin, dan mata cincin itu dipusing ke dalam menghadap tapak tangannya.

Harus: Seseorang itu memakai cincin perak atau apa jua logam lain kecuali emas. Mengikut pendapat kebanyakan ulama’, hukumnya harus. Pun begitu, pemakai tidak mendapat apa-apa pahala kerana ia bukan merupakan sunnah Rasulullah. 

Makruh: Seseorang itu memakai cincin di hari pertunangan dan/atau pernikahannya (engagement ring, wedding ring). Pemakaian cincin seperti ini merupakan budaya khusus orang bukan Islam dan Islam melarang kita daripada menirunya.