Soalan: 

Adakah kita patut mengingkari undang-undang yang dibuat oleh orang sekarang memandangkan undang-undang itu ciptaan manusia, contohnya hukum zina sepatutnya direjam tetapi diubah kepada denda wang?

Farazila Fauzi, Rawang, Selangor.

 

Jawapan:

Ya, kita mengingkari undang-undang jenayah buatan manusia kerana kita umat Islam memiliki undang-undang jenayah yang tersendiri sebagaimana di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Namun kita tidak menafikan undang-undang jenayah buatan manusia kerana ia tetap perlu bagi mencegah dan menghukum jenayah di dalam negara kita.

Pada waktu yang sama hendaklah disedari bahawa kita umat Islam hanya akan dapat melaksanakan undang-undang jenayah Islam apabila kita bersatu padu. Jika kita berpecah-belah kepada beberapa parti politik dengan masing-masing mendakwa merekalah yang lebih islamik, maka selagi itulah kita akan berada dalam keadaan lemah dan agama Islam direndah-rendahkan.