Dalam kepelbagaian urusan masa kini, sering kali kita tersalah menyusun prioriti dalam kehidupan. Apatah lagi apabila masa tidak menyebelahi kita, tugas dan urusan tersebut menjadi seolah-olah huru-hara. Antara yang kerap merasainya ialah para isteri dan ibu, di antara urusan rumahtangga dan urusan kerja. Bagaimanakah pembahagian dan penyusunan yang sesuai lagi terbaik? Ikutilah bualan dua orang rakan lama ini.

“Ehh Diana, kamu ke tu? Lama kita tak jumpa sampai saya tidak berapa kenal.”

“Ha, Shafina. Ya, Dianalah ni. Amboi-amboi dah tak kenal ya!” jawab Diana kepada rakan lamanya. Mereka sama-sama merupakan graduan Universti Malaya. Mereka bertembung di sebuah pasaraya tatkala membeli barang-barang runcit keperluan rumah.

ibu.jpeg 

“Hm…bukan ke dulu kamu cerita lepas pejabat terus berniaga MLM produk-produk kesihatan? Hari ini tidak berniaga ke?” Shafina bertanya.

“Oh, sejak awal tahun ini saya sudah berhenti perniagaan MLM. Lepas pejabat saya terus pulang untuk meluangkan masa berkualiti dengan keluarga. Suami dan anak-anak saya ada di luar sana, mereka makan ais krim sementara saya membeli dua tiga barang ni” terang Diana.

“Saya juga tidak lagi memegang jawatan pengerusi Biro Kebajikan Wanita di pejabat. Saya serahkannya kepada orang lain yang anaknya sudah besar-besar, di Institut Pengajian Tinggi. Anak-anak saya yang masih di sekolah rendah amat memerlukan saya” lanjut Diana. “Shafina kerja di mana sekarang?”

“Saya berkerja di rumah, isteri dan ibu profesional sepenuh masa” jelas Shafina.

“Ehh, kamu dulu bukan belajar arkitek ke? Dah tak kerja ke…rugi saja belajar tinggi-tinggi!”

“Nanti dulu. Saya memiliki dua kerjaya. Pertama sebagai isteri dan ibu. Kedua sebagai arkitek. Di antara dua kerjaya ini, saya kena letakkan keutamaan yang betul. Maka sebagai seorang wanita, keutamaan saya yang pertama sebagai isteri dan ibu sepenuh masa. Keutamaan kedua sebagai seorang arkitek, 9 pagi hingga 5 petang, lima hari seminggu di sebuah firma swasta” jelas Shafina.

“Apabila berlaku konflik antara urusan kerja dan urusan anak misalnya, saya beri keutamaan kepada urusan anak. Bahkan saya anggap kerjaya saya sebagai arkitek sebagai kerja sampingan saja. Kita sebagai wanita mesti memiliki keutamaan yang betul dalam kehidupan ini. Keutamaan yang disusun berdasarkan syari’at Islam” lanjut Shafina.

“Habis kalau tiba-tiba anak talifon dari sekolah, kamu akan terus tinggalkan pejabat?” tanya Diana seperti masih kurang setuju.

“Betul. Saya dah cakap awal-awal kepada bos, my family always comes first! Kita kaum wanita dan ibu mesti perjuangkan hak kita. Hak yang saya maksudkan ialah apa yang selari dengan syari’at Islam. Jelaskan baik-baik kepada majikan, nescaya mereka akan memahami dan membenarkannya” jelas Shafina dengan penuh keyakinan. 

“Asyik kita saja kaum wanita yang kena buat kerja remeh uruskan rumah, suami dan anak-anak. Suami seronok saja bekerja di luar sana” Diana merungut.

“Betul atau tidak jika saya katakan dalam firma yang Diana kerja sekarang ini, setiap staf ada skop kerja dan peranan tertentu? Jika task delegation ini tidak diikuti dengan betul mesti ada kerja yang konflik dan ada yang terbengkalai, betul tak?” Shafina bertanya.

“Ya ada…betul” jawab Diana pantas.

“Demikianlah juga antara suami dan isteri. Allah sejak awal telah meletakkan skop kerja dan peranan masing-masing. Jika dua-dua suami dan isteri buat kerja suami, akan ada konflik rumahtangga sementara anak-anak pula terbengkalai menjadi mangsa. Jika para suami di rumah uruskan anak, kita kaum ibu mesti rasa tak berapa yakin dengan kemampuan mereka” jelas Shafina sambil ketawa ringan.

“Maka suami saya juga memiliki dua kerjaya mengikut keutamaannya. Kerjaya beliau yang pertama ialah di pejabat, mencari nafkah pendapatan bagi kami sekeluarga. Kerjaya kedua beliau ialah menolong-nolong di rumah” jelas Shafina lagi.

“Ini memang sesuatu yang baru bagi diri saya, tetapi memang menarik dan tidak dapat saya nafikan. Nantilah saya fikir-fikirkan bagaimana hendak apply dalam kehidupan saya sekeluarga” akui Diana.

“Sebenarnya tidak ada yang baru. Semua ini berkenaan menyusun keutamaan atau priority yang betul dalam kehidupan. Kita sejak awal memang sudah ada susunan keutamaan namun sayang sekali keluarga sering kali diletakkan pada keutamaan yang terbawah. Kita kaum wanita mengejar kejayaan dalam sekian-sekian kerjaya, padahal Allah telah memberikan kita kerjaya yang paling mulia lagi profesional, iaitu sebagai isteri dan ibu. Amat sedikit di antara kita yang mengejar kejayaan dalam kerjaya ini” Shafina menjelaskan dengan lebih mendalam.

“Hm, saya dah kena pergi. Ada kerja penting” jelas Diana.

“Ehh, kerja apa di lewat petang ni?” tanya Shafina.

“Bersama dengan keluarga saya untuk makan ais krim. Ahaa, saya pun dah belajar berkenaan susunan keutamaan kerjaya” jawab Diana sambil tersenyum. 

Alhamdulillah, baguslah” Shafina memuji Diana sambil turut beredar.

Demikianlah bualan ringkas di antara dua sahabat lama. Meski pun ringkas, ia dipenuhi dengan perkongsian yang bermanfaat, bukan gosip yang sia-sia. Pengajaran penting di sini ialah orang yang berjaya bukanlah orang yang membuat semua urusan, tetapi menyusun beberapa urusan mengikuti keutamaan yang selari dengan kehendak Allah. Ayuh kita mula menyusun keutamaan kerja dan urusan masing-masing agar mencapai sesuatu yang benar-benar bermanfaat kepada semua, dunia dan akhirat.