Setiap bidang memiliki disiplin ilmu yang tersendiri dan seseorang itu hendaklah menguasai disiplin ilmu tersebut apabila ingin berinteraksi dengan bidangnya. Ini termasuklah hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Ia adalah satu bidang yang memiliki disiplin ilmu yang tersendiri.

Saya mengetahui ramai pembaca yang suka merujuk, mendengar, membaca hadis-hadis Rasulullah. Tidak sekadar itu, hadis-hadis yang dianggap menarik dikongsikan kepada rakan-rakan melalui blog, Facebook, Twitter dan lain-lain. 

Para agamawan juga memberikan perhatian yang besar kepada hadis-hadis Rasulullah. Para ustaz dan ustazah, imam dan khatib menyampaikan hadis-hadis ini dalam rancangan TV, radio, khutbah jumaat, kuliah maghrib, forum, buku agama, kolum majalah agama dan novel yang bercirikan agama.

Akan tetapi sayang sekali, saya dapati tidak ramai di kalangan orang ramai mahupun para agamawan yang prihatin kepada disiplin ilmu hadis. Hadis-hadis Rasulullah disampaikan begitu sahaja tanpa diperhatikan sumbernya, apatah lagi darjat kekuatannya.

jenayahilmiah.jpeg 

 

 

Ini sebenarnya adalah kesalahan yang amat berat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda: “Sesiapa yang menceritakan (atau meriwayatkan) satu hadis dan dia pandang hadis tersebut sebagai dusta, maka dia termasuk dalam salah seorang pendusta.” [Shahih Muslim, muqaddimah] Terhadap hadis ini, Imam al-Thohawi (321H) menjelaskan:

Sesiapa yang menyampaikan hadis daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berdasarkan sangkaan, bererti dia menyampaikan hadis daripada baginda secara tidak benar. (Sesiapa yang) menyampaikan hadis daripada baginda secara tidak benar bererti dia menyampaikan hadis daripada baginda secara batil. (Sesiapa yang) menyampaikan hadis daripada baginda secara batil (maka) dia berdusta ke atas baginda sebagaimana seorang pendusta hadis. Mereka termasuk dalam sabdanya shallallahu 'alaihi wasallam: “Sesiapa yang berdusta ke atas aku maka hendaklah dia mengambil tempat duduknya di dalam neraka.”  Kami berlindung daripada Allah Ta‘ala daripada yang sedemikian. [Musykil al-Atsar, jld. 1, ms. 123]

 

Tak Mengapa, Hadis Dha’if Dibolehkan….

Apabila ada kesempatan, saya cuba untuk berjumpa atau menghubungi agamawan yang menyampaikan hadis-hadis tanpa sumbernya. Sayang sekali kebanyakan mereka memberikan jawapan mudah: “Tak mengapa, para ulama’ membolehkan penggunaan hadis-hadis dha’if”. Jawapan ini adalah tidak benar, bahkan merupakan dusta di atas nama para ulama’, semoga Allah merahmati mereka semua.

Ketahuilah bahawa apabila kebanyakan ulama’ membolehkan penggunaan hadis dha’if, mereka telah meletakkan lima syarat, iaitu:

Pertama: Hadis tersebut ringan kedha’ifannya. Hadis-hadis yang amat dha’if (dha’if jiddan), palsu (maudhu’) atau tidak diketahui asal usulnya, maka ia tidak dibolehkan. 

Kedua: Hadis yang menepati syarat pertama di atas disampaikan tanpa menyandarkannya secara pasti kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Hendaklah diisyaratkan kelemahannya seperti memulakan hadis tersebut dengan “Diriwayatkan…” atau “Dalam sebuah riwayat, dikatakan bahawa…”. Lebih utama jika diakhir hadis tersebut, diterangkan bahawa ia berdarjat dha’if.

Ketiga: Hadis tersebut disampaikan atas tujuan menerangkan keutamaan sesuatu amal (Fadhail al-‘Amal) atau menganjur serta menakutkan sesuatu perbuatan (al-Targhib wa al-Tarhib). Hadis dha’if tidak boleh digunakan dalam perkara asas-asas agama, aqidah dan hukum-hakam.

Keempat: Apa yang kuat lagi muktamad diutamakan di atas apa yang lemah lagi bersifat kemungkinan. Demikianlah, hadis yang sahih dan hasan hendaklah diutamakan di atas hadis yang dha’if

Kelima: Hadis dha’if tersebut tidak disampaikan kepada masyarakat awam kerana ia akan menjadi masyhur dan mereka akan menyangka ia adalah sahih. Ini kerana meski pun telah diisyaratkan atau diterangkan kedha’ifannya, bukan semua masyarakat awam akan memahaminya.

Apabila sesebuah hadis disampaikan tanpa rujukan, ia tidak memenuhi syarat pertama di atas. Maka bagaimana pula ia akan memenuhi syarat-syarat seterusnya?

 

Sebuah Contoh Hadis Dha’if

Sebagai contoh, ikutilah hadis di bawah ini. Hadis ini masyhur dikemukakan tanpa rujukan oleh para pejuang hak wanita. Dalam hadis ini, diriwayatkan bahawa Asma’ binti Yazid al-Anshariyyah datang menemui Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang ketika itu sedang bersama para sahabatnya. Asma’ berkata:

 “Demi ayahku, kamu dan ibuku, sesungguhnya aku adalah utusan para wanita kepada kamu. Ketahuilah tidak ada wanita yang berada di sebelah timur mahupun Barat yang telah mendengar atau yang tidak mendengar tentang keluarnya aku ini (untuk bertemu kamu) melainkan dia bersependapat denganku.

Sesungguhnya Allah mengutusmu secara benar kepada lelaki dan wanita, maka kami beriman kepada kamu dan kepada tuhan (Allah) yang mengutuskan kamu. Sesungguhnya kami kaum wanita, kami terkurung dan terbatas. Kami menjadi pengurus rumah kalian, melayan kehendak nafsu kalian dan mengandung anak-anak kalian. 

Sementara kalian kaum lelaki mendapat keutamaan di atas kami melalui solat Jumaat dan solat berjemaah, menziarahi orang sakit dan mengiringi jenazah, berhaji berulang kali, bahkan yang paling utama dari semua itu yakni berjihad di jalan Allah.

Sesungguhnya apabila kaum lelaki dari kalangan kalian keluar untuk melaksanakan haji atau umrah, atau menjaga di perbatasan (daripada serangan musuh), kami yang memelihara harta-harta kalian, menjahit pakaian kalian dan mengurus anak-anak kalian. 

Maka apakah kami juga mendapat pahala sebagaimana yang mereka (kaum lelaki) dapat wahai Rasulullah?”

Mendengar pertanyaan tersebut, Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menoleh kepada para sahabatnya dengan wajah yang bersungguh-sungguh lalu bertanya: “Pernahkan kalian mendengar pertanyaan seorang wanita tentang urusan agamanya yang lebih baik dari apa yang dia tanyakan?” Para sahabat menjawab “Wahai Rasulullah, kami tidak menyangka seorang wanita mendapat petunjuk (bertanya) hingga seumpama ini!”

Kemudian Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menoleh kepada Asma’ dan bersabda: “Kembalilah wahai wanita (Asma’) dan sampaikanlah kepada para wanita yang berada di belakangmu bahawa perlakuan baik salah seorang kalian kepada suaminya, usahanya untuk mendapat keredhaan suami dan tindakannya mengikuti persetujuan (kehendak) suami, semua itu menyamai seluruhnya (amalan yang dilakukan oleh para suami, seperti mana yang disebutkan pada awal tadi).

(Perawi hadis menerangkan) Maka kembalilah wanita tersebut (Asma’) sambil bertahlil dan bertakbir merasa gembira (dengan apa yang disampaikan oleh Rasulullah).

Hadis ini dikeluarkan oleh Imam al-Baihaqi (458H) dalam Syu’ab al-Iman, hadis no: 6369. Ia juga dikemukakan oleh Imam al-Munziri (656H) secara ringkas dalam al-Targhib wa al-Tarhib, no: 2890 dan beliau mengisyaratkan kelemahannya apabila memulakan hadis ini dengan “Diriwayatkan…”. Syaikh al-Albani (1420H) menerangkan kelemahan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadits al-Dha’ifah, no: 6242.

Memandangkan hadis ini memiliki kelemahan yang tidak berat dan ia termasuk dalam asas-asas agama, tidak mengapa jika ia dikemukakan sebagai memberi anjuran kepada isteri berbakti kepada suami. Pun begitu, sikap pihak yang mengemukakan hadis ini tanpa rujukan, tanpa menerangkan darjatnya dan tidak mengisyaratkan kelemahannya menyelisihi disiplin ilmu hadis. Ia adalah kesalahan yang mesti ditegur.

 

Salah Rujukan Hadis

Jika satu pihak salah kerana mengemukakan hadis tanpa rujukan, ada pihak lain yang salah kerana mengemukakan rujukan yang keliru. Hadis-hadis dengan mudah disandarkan kepada kitab Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim padahal hadis terbabit tidak terkandung dalam kedua-dua kitab hadis yang masyhur tersebut. Penyandaran yang keliru seperti ini lazim dilakukan oleh sebahagian agamawan sehingga menyebabkan orang ramai menyangka hadis tersebut adalah sahih. 

Kesalahan ini lebih parah dari kesalahan yang pertama kerana ia melibatkan dua pendustaan, dusta ke atas Nabi kerana menyampaikan hadis yang tidak diketahui sumber atau darjatnya dan dusta di nama Imam al-Bukhari atau Imam Muslim kerana mendakwa para imam tersebut telah mensahihkannya.

Sebagai contoh, jika kebanyakan pihak mengemukakan hadis Asma’ binti Yazid di atas tanpa rujukan, sebuah novel tempatan menyandarkan hadis di atas kepada kitab Shahih Muslim. Tidak pasti sama ada ini adalah kekeliruan di pihak ustazah yang mengarangnya atau editor yang menyuntingnya, kekeliruan seperti ini tidak sepatutnya berlaku di sisi penulis dan editor yang bertanggungjawab.

 

Maksud Hadis Yang Diabaikan

Dalam rangka ingin membuktikan Islam meraikan suara wanita, hadis Asma’ binti Yazid di atas dikemukakan tanpa memerhatikan maksud keseluruhan hadis. Bahkan ada yang mengemukakan hadis tersebut dalam rangka memberanikan isteri menuntut cerai apabila tidak setuju dengan suami, meskipun suami melakukan perkara yang halal di sisi syara’.

Mereka hanya fokus kepada keberanian Asma’ binti Yazid bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di hadapan para sahabat yang semuanya lelaki. Mereka mendiamkan sikap mulia Asma’ binti Yazid yang menerima dengan penuh kegembiraan jawapan Rasulullah: Bahawa perlakuan baik salah seorang mereka kepada suaminya, usahanya mendapat keredhaan suami dan tindakannya mengikuti persetujuan (kehendak) suami, semua itu menyamai seluruhnya (amalan yang dilakukan oleh para suami, seperti mana yang disebutkan pada awal tadi).

Apa yang benar berkenaan hadis di atas adalah, wanita muslimah dibenarkan menyampaikan pendapat dan persoalannya. Mereka memiliki hak bersuara. Pun begitu, para isteri janganlah membandingkan peranan mereka dengan peranan para suami. Setiap suami dan isteri memiliki peranan masing-masing dan setiap suami dan isteri akan mendapat ganjaran pahala yang sama apabila peranan masing-masing itu dilaksanakan sebaik mungkin. 

Apa yang lebih penting dari hadis di atas adalah, seorang isteri yang solehah lagi bijak akan memahami kedudukan suami sebagai wasilah kepada ganjaran pahala yang banyak, lalu dia akan berusaha semaksima mungkin berakhlak baik kepadanya, mencari keredhaannya dan tidak menyelisihinya. Semua ini akan memberikan kebahagiaan kepadanya di dunia dan kebahagiaan yang lebih besar di akhirat kelak.

Berbeza dengan isteri yang kurang bijak, dia enggan berakhlak baik kepada suami, enggan mencari keredhaan suami dan suka menyelisihi suami semata-mata untuk memenangkan egonya dan menunjukkan keberanian dirinya. Dia hanya memikirkan hak-haknya, menuntut hak yang sama dengan suami dan akan menuntut cerai jika dirasakan hak-hak tersebut tidak dipenuhi oleh suami. Saya yakin di kalangan para pembaca sekalian tidak ada isteri yang bersikap sedemikian.