Soalan:

Benarkah kenduri akikah tidak boleh dilakukan serentak dengan kenduri kahwin? Apakah sebabnya?

Izzatie Musliha Mustapha, Kota Damansara, Selangor. 

 

Jawapan:

Akikah disyari’atkan sebagai satu bentuk kesyukuran kepada Allah dan mengkhabarkan berita baik kelahiran kepada orang ramai. Kenduri kahwin disyari’atkan sebagai pemaklum kepada orang ramai bahawa pengantin lelaki dan wanita tersebut adalah pasangan yang sah dan sebagai tanda kegembiraan di kalangan semua pihak. 

Perbezaan tujuan di sebalik dua kenduri ini menyebabkan ada yang berpendapat kenduri akikah dan kenduri kahwin tidak boleh disatukan. Namun ada juga yang berpendapat ia boleh disatukan dengan syarat dimaklumkan kepada para hadirin bahawa ia adalah kenduri akikah dan kenduri kahwin. Makluman dilakukan dalam kad jemputan dan ketika kenduri dilaksanakan. Dengan ini para hadirin akan gembira kerana dua sebab, kelahiran anak yang baru dan ikatan baru antara lelaki dan wanita sebagai suami dan isteri.