Saya dapati sebahagian umat Islam ada yang menggelar tokoh-tokoh agama yang meninggal dunia kerana dizalimi sebagai Asy-Syahid. Ada juga yang menetapkan bahawa pasukan keselamatan kita yang terdiri daripada polis dan tentera yang terkorban memerangi penceroboh sebagai mati syahid. 
 
Di sini saya bukan hendak mempersoalkan berkenaan kealiman tokoh-tokoh agama tersebut mahupun kewibawaan pasukan keselamatan kita. Mereka telah berjasa sekadar yang mampu dan pemergian mereka adalah satu kehilangan yang disayangi. Semoga Allah mengampuni mereka, merahmati mereka, meneruskan pahala kebaikan mereka sebanyak mana orang yang memanfaatkannya dan menutupi kesalahan mereka seandainya ada.
 
shahadah_copy.jpeg

 

Akan tetapi apa yang ingin saya sentuh ialah berkenaan tindakan sebahagian umat Islam yang menggelar atau menetapkan gelaran Asy-Syahid, kerana tindakan seperti ini sebenarnya tidak selari dengan ajaran Islam. Bahkan jika kita mengkaji sirah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, kita dapati baginda dan umat Islam pada zaman baginda tidak menggelar para mujahidin yang gugur di Perang Badar, Uhud, Khandaq dan lain-lainnya sebagai Asy-Syahid. Ada dua sebab utama mengapa gelaran sedemikian tidak diberikan.

 

Pertama: Niat Di Hati Orang Yang Meninggal Dunia

Sebagai manusia, kita hanya menilai secara zahir perbuatan seseorang. Kita tidak tahu apakah niat atau tujuan perjuangan orang tersebut, apakah ikhlas kerana meninggikan kalimah Allah atau kerana sesuatu sebab selain itu. Hadis berikut menjadi rujukan:

Sesungguhnya manusia yang pertama dihitung ke atasnya pada Hari Kiamat adalah orang yang mati syahid. Maka dia dibawa dan (Allah) memperkenalkan kepadanya akan segala nikmat-Nya lalu dia mengenalinya. (Kemudian) Allah berfirman: “Maka apakah yang telah engkau lakukan terhadapnya (nikmat-nikmat tersebut) ?” 

Dia menjawab: “Aku berperang pada (jalan) Engkau sehingga aku mati syahid.”

Allah berfirman: “Engkau berdusta, akan tetapi engkau berperang supaya diperkatakan: Dia seorang yang berani maka sungguh telah diperkatakan (oleh orang lain).”

Kemudian diperintahkan (para malaikat kepada)nya, maka diseret di atas mukanya sehingga dilemparkan ke dalam neraka. [Shahih Muslim, no: 3527/1905]

Kadangkala niat atau tujuan bukanlah untuk mendapatkan pujian, tetapi kerana sesuatu sebab lain yang bukan kerana Allah. Abu Musa al-Asy’ari radhiallahu 'anh berkata:

Seorang lelaki datang menemui Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang disebut dengan perang fi sabilillah (di jalan Allah)? Sebab di antara kami ada yang berperang kerana marah dan ada yang kerana semangat yang tinggi?” Baginda lalu mengangkat kepalanya ke arah orang yang bertanya dan tidaklah baginda mengangkat kepalanya kecuali kerana orang yang bertanya itu sedang berdiri (manakala baginda sedang duduk). Baginda menjawab: “Sesiapa yang berperang untuk meninggikan kalimat Allah, maka dia berperang fi sabilillah ‘Azza wa Jalla.” [Shahih al-Bukhari, no: 125/123]

 

Kedua: Kebenaran Amal Orang Yang Meninggal Dunia

Sebagai manusia juga, kita hanya menilai benar atau salah amal seseorang berdasarkan kadar ilmu masing-masing. Orang awam akan mudah menilai amal seseorang sebagai baik dan benar, padahal jika diukur dengan ukuran al-Qur’an dan al-Sunnah, ia adalah sebaliknya. Demikianlah juga, kita sebagai manusia hanya dapat menilai apa yang nampak di hadapan mata kita sementara apa yang kita tidak nampak atau tahu, kita tidak dapat menilainya.

Selain itu boleh jadi seseorang itu pada asalnya berjuang demi meninggikan kalimah Allah, namun apabila dizalimi dia mula ragu akan tujuannya, putus asa kepada Allah atau melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah.

Hadis berikut menjadi rujukan: Daripada Sahal bin Sa'ad As-Sa'idi radhiallahu 'anh, bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bertembung dengan kaum musyrikin lalu saling berperang. Ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bergabung dengan bala tentera baginda dan musuhnya pun bergabung kepada bala tentera mereka (masing-masing berehat sebentar), terdapat seorang lelaki dari kalangan sahabat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang tidak membiarkan musuh berlalu begitu saja melainkan dia mengejar dan menyerang musuh dengan pedangnya. Sahabat Rasulullah yang lain berkata: “Pada hari ini tidak ada seorang pun di antara kita yang mendapat ganjaran pahala sebagaimana yang didapati oleh fulan (yang berani) ini.”

Namun Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Ketahuilah sungguh dia termasuk dari golongan ahli neraka.” Lalu ada seorang lelaki di tengah-tengah orang ramai berkata: “Aku akan ikut menemaninya (dan perhatikan segala tindakannya).” 

(Sahal menerangkan): “Maka lelaki itu pergi bersamanya sehingga apabila dia (sahabat yang berani itu) berhenti lelaki itu pun berhenti bersamanya dan apabila dia maju menyerang lelaki itu pun ikut menyerang bersamanya. (Setelah beberapa ketika) dia terluka sangat parah sehingga menghampiri maut. Maka dia meletakkan pedangnya di tanah dan ujung pedangnya yang tajam diletakkan di antara dadanya lalu dia membunuh dirinya sendiri.”

Maka lelaki yang ikut menemaninya itu pergi menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan berkata: “Aku bersaksi bahawa anda benar-benar utusan Allah.” Rasulullah bertanya: “Kenapa kamu berkata begitu?” Dia menjawab: “Lelaki (berani) yang anda sebutkan tadi benar-benar dari kalangan ahli neraka.” Orang-orang (di sekitar) hairan mendengar ucapannya itu. Lelaki itu menambah: “Aku menjadi saksi bagi kalian. Aku telah keluar untuk memperhatikan tindakan (sahabat yang berani itu), kemudian aku mendapati dia dalam keadaan luka yang sangat parah sehingga menghampiri maut. Dia meletakkan pedangnya di tanah dan ujung pedangnya yang tajam diletakkan di antara dadanya lalu dia membunuh dirinya sendiri.” 

Maka pada kesempatan itu juga Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya ada seseorang yang mengamalkan amalan ahli syurga berdasarkan apa yang nampak pada manusia akan tetapi dia adalah dari golongan ahli neraka. Dan ada seseorang yang mengamalkan amalan ahli neraka berdasarkan apa yang nampak oleh manusia akan tetapi dia adalah dari golongan ahli syurga.” [Shahih al-Bukhari, no: 2683/2898]

Dalam hadis di atas, seorang sahabat bersungguh-sungguh memerangi musuh sehingga dia amat hampir kepada darjat mati syahid seandainya gugur di medan perang tersebut. Akan tetapi pada akhirnya, ketika luka parah, dia membunuh dirinya kerana tidak tahan dengan kesakitan luka-luka tersebut. Membunuh diri sendiri merupakan satu kesalahan besar di dalam Islam. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengingatkan: Sesiapa membunuh dirinya dengan suatu (alat) maka Allah akan menyiksanya dengan alat tersebut di dalam neraka Jahannam. [Shahih Muslim, no: 161/110]

Hadis di atas menjadi dalil kepada kita untuk tidak menggelar seseorang sebagai “Asy-Syahid” kerana kita tidak tahu hakikat sebenar di sebalik kematiannya. Imam al-Bukhari rahimahullah memberi judul hadis tersebut sebagai: Jangan berkata “si fulan syahid”.

 

Apa Yang Dikatakan Kepada Orang Yang Meninggal Dunia Di Jalan Allah?

Diriwayatkan bahawa ‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh pernah berkhutbah: Kalian mengatakan dalam peperangan-peperangan kalian, “si fulan syahid” dan “si fulan mati syahid” padahal mungkin orang itu telah membebani tunggangannya dengan terlalu berat (lalu mati apabila haiwan tungganggannya jatuh). Ketahuilah, jangan kalian berkata sedemikian, sebaliknya katakanlah seperti apa yang disabdakan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: “Sesiapa yang mati atau terbunuh di jalan Allah, maka dia (mati) syahid.” [Hadis dikemukakan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari, syarah hadis no: 2898, beliau menyandarkannya kepada Ahmad dan Sa’id bin Manshur serta menilainya hasan]

Riwayat di atas adalah yang terbaik dalam persoalan ini. Kita tidak menetapkan bagi orang yang mati ketika memperjuangkan Islam sebagai Asy-Syahid dan tidak juga menafikan daripada dirinya kedudukan mulia Asy-Syahid. Kita hanya menyebut secara umum bahawa “Sesiapa yang mati atau terbunuh di jalan Allah, maka dia (mati) syahid.” 

 

Berperang Sesama Umat Islam

Dalam sejarah umat Islam, telah beberapa kali berlaku peperangan di antara sesama umat Islam. Meskipun dalam peperangan tersebut jelas diketahui pihak yang benar dan pihak yang zalim, pejuang yang gugur bagi kedua-dua pihak di medan perang tersebut tidaklah digelar Asy-Syahid.

Mereka tidak termasuk dalam firman Allah: Janganlah kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah (fi sabilillah) itu mati; bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki… [Ali Imran 3:169] Ini kerana perang fi sabililah hanya apabila ia dilakukan demi meninggikan kalimah Allah sebagaimana hadis yang telah dikemukakan sebelum ini: Sesiapa yang berperang untuk meninggikan kalimat Allah, maka dia berperang fi sabilillah ‘Azza wa Jalla.” [Shahih al-Bukhari, no: 125/123]

Maksud “…meninggikan kalimah Allah…” di dalam hadis di atas ialah meninggikan Kalimah Tauhid. Secara lebih terperinci, ia bermaksud berperang di satu daerah atau wilayah demi mentauhidkan Allah dan menenggelamkan segala unsur syirik dan thaghut di sana.

Adapun peperangan sesama umat Islam, maka ia termasuk dalam firman Allah: Dan jika ada dua golongan dari orang-orang mukmin berperang maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari kedua golongan itu berbuat zalim terhadap golongan yang lain maka perangilah golongan yang berbuat zalim itu sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah; jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya dengan adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. [al-Hujurat 49:09]

Oleh itulah, jika kita mengkaji sejarah Perang Jamal dan Perang Siffin yang berlaku di antara umat Islam, mereka yang gugur tidak dikatakan sebagai Asy-Syahid. Demikian juga bagi peristiwa pencerobohan di beberapa wilayah Sabah yang berlaku baru-baru ini. Dikhabarkan bahawa yang menceroboh itu beragama Islam sementara kebanyakan daripada pasukan keselamatan kita yang terkorban adalah juga beragama Islam. Kita menyokong keberanian dan kesungguhan pasukan keselamatan tanpa berbelah-bagi. Kita bersedih atas pencerobohan yang berlaku sesama umat Islam, lebih sedih terhadap mereka yang gugur disebabkan pencerobohan tersebut. Akan tetapi berdasarkan dalil-dalil di atas kita tidak menggelar mereka yang gugur di mana-mana pihak sekalipun sebagai Asy-Syahid.