Soalan 1: Nasib Orang Bukan Islam Di Akhirat

Terima kasih atas penjelasan berkenaan nasib kanak-kanak bukan Islam di Akhirat kelak. Membaca penjelasan tersebut, saya terfikir pula berkenaan nasib orang dewasa (sudah baligh) yang bukan Islam di Akhirat. Ini kerana di antara mereka ada yang baik dan banyak melakukan amal yang baik untuk masyarakat. Mohon penjelasannya, terima kasih sekali lagi.

 

Jawapan:

Ini soalan yang baik lagi penting, melibatkan urusan aqidah kita umat Islam. Berbuat baik sahaja tidak mencukupi jika seseorang itu tidak beriman kepada Allah dan menyempurnakan rukun-rukun iman yang lain. Perhatikan firman Allah Subhanahu waTa'ala berikut ini:

Katakanlah: Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Mereka itu ialah) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini sedangkan mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan. 

Merekalah orang-orang yang kufur akan ayat-ayat Tuhan mereka dan (kufur kepada) pertemuan dengan-Nya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka, maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka pada Hari Kiamat kelak. [al-Kahf 18:103-105]

Oleh itu orang yang banyak amalnya tidak mendapat apa-apa manfaat dari amalannya jika dia ingkar kepada Allah, al-Qur’an dan pertemuan dengan Allah di Akhirat kelak.

Merujuk kepada orang bukan Islam, hukum mereka di Akhirat kelak bergantung sama ada mereka pernah menerima dan memahami dakwah Islam ketika di dunia ini. Hukum ini berdasarkan firman Allah Subhanahu waTa'ala: Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan tentang Islam). [al-Isra’ 17:15]

Berdasarkan ayat ini, Allah tidak akan mengazab, yakni memasukkan ke dalam neraka, sesiapapun yang belum sampai kepadanya seorang Rasul yang menerangkan tentang Islam. Muhammad bin Abdullah adalah Rasul Allah yang terakhir. Adapun sesudah baginda, maka para ilmuan dan pendakwah menjadi pewarisnya yang menyampaikan ajaran Islam. Oleh itu orang-orang yang duduk di pendalaman atau jauh dari capaian para pendakwah sehingga tidak pernah mengenali Islam secara benar, mereka termasuk di dalam ayat di atas.

Hukum orang bukan Islam di Akhirat juga bergantung kepada kefahaman mereka yang benar tentang Islam. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu waTa'ala: Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia menjelaskan kepada mereka (tentang Islam). [Ibrahim 14:04]

Apabila Allah mengutuskan Muhammad bin Abdullah kepada masyarakat Arab, Allah memastikan baginda juga berbahasa Arab agar dengan itu dapat menyampaikan dakwah sehingga difahami secara benar. Demikianlah juga bagi kaum-kaum yang berbeza di seluruh dunia ini, para pendakwah yang menjadi pewaris Rasulullah hendaklah menerangkan tentang Islam dalam bahasa yang mereka fahami. 

Tidak sekadar itu, para pendakwah itu sendiri menyampaikan dakwah mereka dengan cara yang disebut oleh Allah sebagai:  Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. [al-Nahl 16:125]

Berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an di atas, dapat disimpulkan bahawa Allah tidak akan mengazab orang yang:

  1. Tidak sampai kepadanya pengetahuan tentang Islam.
  2. Pernah dengar tentang Islam tetapi tidak memahaminya.
  3. Diajar tentang Islam tetapi dengar cara yang menakutkan sehingga dia menjauhinya.

Orang yang masuk dalam tiga kategori di atas, hukum mereka di Akhirat kelak di serahkan kepada Allah Subhanahu waTa'ala. Kita Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah tidak mengatakan mereka memasuki neraka berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an di atas. Namun kita juga tidak berkata mereka memasuki syurga kerana tiada dalil daripada Allah dan Rasul-Nya untuk mengatakan sedemikian.

Di sini penting difahami bahawa seseorang itu hanya dikategorikan sebagai kafir apabila telah sampai kepadanya pengetahun berkenaan Islam dengan cara yang baik lalu dia memahaminya, namun dia tetap mengingkarinya meskipun dalam hatinya terlintas kebenaran Islam. Ini sebagaimana yang disebut oleh Allah Subhanahu waTa'ala dalam ayat berikut: Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan. [al-Naml 27:14]

Hanya orang-orang sebeginilah yang akan di hukum dengan neraka di Akhirat kelak jika dia meninggal dunia tetap dalam keadaan kafir.

Kesimpulannya, bukan semua orang yang bukan Islam adalah orang kafir dan akan dihukum dengan azab neraka di Akhirat kelak. Oleh itu janganlah kita terlalu mudah memanggil mereka “Wahai kafir…” padahal al-Qur’an sendiri memanggil mereka sebagai “Wahai manusia…”.