Apabila kita membicarakan tauhid dan syirik, ramai yang akan membataskannya kepada urusan sembahan sahaja. Sebenarnya ia lebih luas, salah satu daripadanya ialah dalam urusan cinta. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu waTa'ala:

Dan di antara manusia ada orang-orang yang mengambil tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman (mereka) bersungguh-sungguh cinta kepada Allah. [al-Baqarah 2:165]

Para imam tafsir menyatakan beberapa tafsiran bagi ayat ini. Ada yang berkata ia merujuk kepada orang-orang kafir yang menyembah berhala dan mencintai berhala tersebut sebagaimana orang-orang Islam mencintai Allah. Ada juga yang berkata, ayat ini merujuk kepada orang-orang kafir yang menyembah berhala di samping menyembah Allah, mereka mencintai berhala tersebut bersamaan dengan mencintai Allah. Selain itu ada juga yang berpendapat, ia merujuk kepada tindakan orang-orang kafir yang mencintai dan mentaati pemimpin-pemimpin mereka.

 

cintaallah.jpeg 

 

Pada pandangan saya, memandangkan ayat ini dimulakan secara umum dengan “Dan di antara manusia…”, bererti ia merujuk kepada semua manusia secara umumnya, termasuklah umat Islam. Ia tidak terhad kepada orang kafir sahaja. Perkataan “…tandingan-tandingan…” berasal dari perkataan Arab al-Naddu yang bermaksud serupa atau sebanding. 

Sementara cinta pula bermaksud keterpautan hati (clinging of the heart) kepada sesuatu atau seseorang sehingga semua suka atau benci, gembira atau sedih, lapang atau sempit, izin atau larang, ingat atau lupa, suka atau duka, buat atau tidak, berpaksi kepadanya. Seolah-olah hati memiliki sepasang tangan yang memeluk erat apa yang dicintainya dan gerak hati itu pula berkadar terus dengan keadaan apa yang dipeluknya itu.

Oleh itu “…tandingan-tandingan selain Allah…” yang dicintai itu tidak terhad kepada patung berhala, tetapi merangkumi juga apa-apa lain yang dicintai oleh manusia seperti suami, isteri, anak-anak, pasukan bolasepak, penyanyi, artis, kereta dan haiwan peliharaan. Biasa saja bagi seorang suami mencintai isterinya sebagaimana dia mencintai Allah. Biasa saja bagi ibu mencintai anak-anaknya sebagaimana dia mencintai Allah. Bahkan ada orang-orang yang mencintai semua itu pada kadar yang lebih daripada cintanya kepada Allah. 

 

Cinta Orang Yang Beriman

Seterusnya Allah Subhanahu waTa'ala menceritakan keadaan orang-orang yang benar imannya, iaitu: Adapun orang-orang yang beriman (mereka) bersungguh-sungguh cinta kepada Allah. Perhatikan bahawa Allah tidak berfirman “lebih mencintai Allah” atau “paling mencintai Allah”. Sebaliknya Allah berfirman “Ashaddu hubba lillah” yang bermaksud “bersungguh-sungguh dalam mencintai Allah”. Ini adalah tahap yang jauh lebih tinggi berbanding “lebih mencintai Allah”.

Oleh itu hati orang yang benar imannya sentiasa dipenuhi dengan cinta kepada Allah sahaja. Semua suka atau benci, gembira atau sedih, lapang atau sempit, izin atau larang, ingat atau lupa, suka atau duka, buat atau tidak, berpaksi kepada Allah sahaja. Apa yang diredai Allah, itulah yang disukai hatinya. Apa yang dimurkai Allah, itulah yang dibenci hatinya. Apa yang Allah perintah, itulah yang diusahakannya. Apa yang Allah larang, itulah yang dijauhinya. Apa yang Allah halalkan, itulah yang dizinkan bagi dirinya. Apa yang Allah haramkan, itulah yang dilarang ke atas dirinya.

Apa yang Allah beri, itulah yang menggembirakannya. Apa yang Allah ambil, itulah yang menyedihkannya. Akan tetapi kesedihan yang meningkatkan cintanya kepada Allah kerana dia tahu Allah menginginkan kebaikan di sebalik pengambilan tersebut.

Hati orang yang benar imannya tidak mencintai sesuatu atau seseorang selain Allah atau bersama Allah. Dia tidak memiliki dua hati, yang pertama mencintai Allah, yang kedua mencintai isterinya. Dia tidak memiliki tiga hati atau empat hati, dengan hati yang ketiga mencintai pasukan bolasepak pilihannya dan hati yang keempat mencintai kucing peliharaannya. Ini kerana Allah Subhanahu waTa'ala tidak menjadikan dalam rongga dada seseorang itu dua hati, mahupun lebih dari itu. Firman Allah: Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua buah hati dalam rongganya. [al-Ahzab 33:04]

 

Cinta Kerana Allah

Orang yang benar imannya, mencintai apa yang Allah berikan kepadanya. Seorang suami yang beriman mencintai isterinya kerana itulah isteri yang Allah berikan kepadanya. Cintanya semakin bertambah apabila isterinya melakukan perkara-perkara yang diperintah serta diredai oleh Allah, merudum jika isterinya melakukan perkara-perkara yang dilarang atau dibenci oleh Allah. Cintanya kepada isteri tidak lain adalah buah dari cintanya kepada Allah. 

Demikianlah juga kecintaan seorang isteri kepada suaminya, kecintaan suami-isteri kepada anak-anak mereka, kecintaan anak-anak kepada ibubapa mereka dan kecintaan di antara sesama umat Islam. Semua itu tidak lain adalah hasil dari cinta mereka kepada Allah. 

Oleh itu orang-orang yang beriman boleh mencintai sesuatu atau seseorang selain Allah dalam jumlah yang tidak terhad. Akan tetapi cinta itu adalah kerana Allah semata, bertambah atau berkurang kerana Allah dan tidak sekali-kali menandingi cinta mereka kepada Allah.

 

Bukti Cinta Kepada Allah

Cinta kepada Allah bukan sekadar kata-kata, akan tetapi dibuktikan dengan perbuatan. Cinta suami kepada isteri dan isteri kepada suami dibukti dengan berbuat baik kepada masing-masing, berusaha untuk hidup harmoni dan saling berkorban atas apa-apa kekurangan. Cinta anak-anak kepada ibubapa dibuktikan dengan berbuat baik kepada mereka, sering menziarahi mereka di kampung dan membantu memudahkan kehidupan mereka di saat-saat umur yang sudah senja.

Bagaimana pula membuktikan cinta kepada Allah? Caranya ialah dengan melaksanakan seluruh kehidupan ini berdasarkan agama Allah. Segala perintah larangan (wajib dan haram) dipatuhi, segala anjuran (sunat) dilaksanakan sekadar yang boleh, segala tegahan (makruh) dijauhi. Selain itu cara terkuat bagi membuktikan cinta kepada Allah ialah mengikuti sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan memerangi bid’ah-bid’ah yang mencemari sunnah tersebut. Allah Subhanahu waTa'ala berfirman:

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mencintai Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Ali Imran 3:31]

Dalam ayat di atas, Allah memerintahkan Rasul-Nya untuk mengkhabarkan kepada umat Islam bahawa jika benar mereka mencintai Allah, maka buktinya dengan mengikuti baginda, yakni sunnahnya. Orang yang membuat-buat solat-solat sendiri, puasa-puasa sunat sendiri dan zikir-zikir sendiri, mereka itu sebenarnya bukan mencintai Allah tetapi mencintai diri sendiri. Sebab itulah mereka membuat amalan-amalan yang secocok dengan kehendak sendiri dan bukannya secocok dengan sunnah Rasulullah.

Oleh itu ayuh kita membuktikan kecintaan kita kepada Allah Subhanahu waTa'ala dengan cara (1) belajar ilmu hadis agar dapat difahami perbezaan antara hadis sahih dan selainnya (2) melazimkan diri membaca kitab-kitab hadis yang asal (3) mengikuti kuliah-kuliah, melayari laman-laman web atau membaca buku-buku yang berdisiplin dalam mengemukakan hadis dan (4) mengikuti sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang sahih, yang telah  kita pelajari melalui langkah-langkah 1, 2 dan 3 di atas.