Soalan 1: Bermaafan Pagi Raya

Saya ingin bertanya tentang amalan bermaaf-maafan pada pagi Hari Raya, apakah ia merupakan satu sunnah yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam?

 

Jawapan:

Apa yang benar tentang bermaaf-maafan ialah segera melakukannya apabila melakukan kesalahan atau setelah menyinggung perasaan seseorang. Maksudnya, apabila sedar telah berbuat salah atau menyinggung perasaan orang lain, maka segera meminta maaf.

Adapun amalan bermaaf-maafan pada pagi Hari Raya, maka ia adalah amalan masyarakat kita dan bukannya sunnah yang diajar atau dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Pun begitu, tidak mengapa untuk meneruskan amalan ini asalkan pihak-pihak yang mengamalkannya tidak berpendapat ia satu kewajipan atau syarat pada Hari Raya. 

Tidak mengapa untuk meneruskannya kerana Hari Raya adalah hari bergembira bagi umat Islam dan amalan bermaaf-maafan adalah sesuatu yang menggembirakan, khususnya orang-orang tua. Lebih dari itu, bermaaf-maafan tidak semestinya bererti pernah berbuat salah, akan tetapi sebagai satu cara untuk merapatkan lagi silaturahim dan meningkatkan keharmonian sesama ahli keluarga dan sanak saudara.

Hanya yang perlu diperhatikan ialah amalan bersalaman yang lazimnya mengikuti amalan bermaaf-maafan. Tidak dianjurkan bersalaman antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.

 

 


 

Soalan 2: Solat Hari Raya

Ketika solat Hari Raya, saya perhatikan sebahagian orang datang sekeluarga, yakni bersama isteri dan anak-anaknya. Siapakah yang sebenarnya dianjurkan untuk hadir solat Hari Raya?

 

Jawapan: 

Ya, semua orang dianjurkan untuk hadir solat Hari Raya, termasuklah para wanita dan kanak-kanak. Bagi mereka yang memiliki pembantu rumah, dianjurkan juga membawanya bersama. Ini berdasarkan keterangan Umm Atiyah radhiallahu 'anha: Kami telah diperintahkan (oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam) untuk keluar, maka kami memerintahkan wanita-wanita yang sedang haid, para gadis dan wanita-wanita yang lazim duduk rumah untuk keluar. Dan wanita-wanita yang sedang haid diperintahkan (Nabi shallallahu 'alaihi wasallam) agar menyaksikan jamaah kaum muslimin dan dakwah mereka serta menjauhi tempat solat. [Shahih al-Bukhari, no: 928/981]

Bahkan ini merupakan anjuran yang ditekankan sehingga wanita yang tidak memiliki pakaian yang sempurna untuk mendirikan solat Hari Raya, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpesan: (Jika dia tidak mempunyai jilbab) hendaklah temannya meminjamkan jilbabnya, sehingga dia dapat menyaksikan kebaikan dan dakwah orang-orang mukmin. [Shahih al-Bukhari, no: 927/980] Oleh itu dianjurkan hadir beramai-ramai bersama semua ahli keluarga, baik untuk Hari Raya Aidil Fitri mahupun Hari Raya Aidil Adha.

 

 


 

Soalan 3: Hukum Mendengar Khutbah Hari Raya

Ketika solat Hari Raya, saya juga perhatikan sebahagian hadirin ada yang pulang sebaik sahaja solat selesai tanpa mendengar khutbah. Ada juga yang pulang ketika khutbah sedang dibaca. Apakah tindakan mereka ini betul?

 

Jawapan:

Tindakan mereka adalah betul kerana hukum khutbah bagi solat Hari Raya adalah sunat. Sesiapa yang mahu mendengar, maka itu adalah baik baginya. Sesiapa yang ingin pulang, maka itu dibolehkan baginya. 

Abdullah bin al-Sa’ib radhiallahu 'anh menerangkan: Aku pernah menghadiri solat Hari Raya bersama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan ketika selesai solat baginda bersabda: “Sesungguhnya kami akan berkhutbah, sesiapa ingin duduk untuk mendengarkan khutbah maka dipersilakan. Dan sesiapa yang ingin pergi, maka dipersilakan untuk pergi. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 975]

 

 


 

Soalan 4: Hari Raya Jatuh Pada Hari Jumaat

Jika Hari Raya jatuh pada hari Jumaat, adakah solat Jumaat tetapi diwajibkan ke atas kaum lelaki?

 

Jawapan:

Jika Hari Raya Aidil Fitri atau Hari Raya Aidil Adha jatuh pada hari Jumaat, maka hukum solat Jumaat berjamaah berubah daripada wajib kepada sunat. Akan tetapi perubahan ini hanya bagi mereka yang telah melaksanakan solat Hari Raya pada pagi Jumaat. Bagi yang tidak solat Hari Raya, maka dia tetap diwajibkan solat Jumaat berjamaah seperti biasa. Hadis berikut menjadi rujukan:

Dari Iyas bin Abi Ramlah al-Syami, dia berkata: “Aku pernah menyaksikan Mu’awiyah bin Abi Sufyan yang sedang bertanya kepada Zaid bin Arqam. Dia bertanya: “Apakah engkau menyaksikan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menghadiri dua Hari Raya (hari ‘Ied dan hari Jumaat) yang berkumpul dalam satu hari?” Dia menjawab: “Ya.” Mu’awiyah bertanya: “Lalu apa yang baginda kerjakan?” Dia menjawab: “Baginda melaksanakan solat ‘Ied, kemudian baginda memberikan keringanan dalam hal (melaksanakan) solat Jumaat dan bersabda: “Barangsiapa yang ingin solat (Jumaat) maka hendaklah dia solat.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 904]