Di antara ukuran bahawa seseorang itu benar-benar mentauhidkan Allah ialah dia membenci serta memusuhi sembahan-sembahan selain Allah yang disembah oleh kaum belum Islam. Dia tidak merasa tenang dengan sembahan-sembahan tersebut, apatah lagi mengiktirafnya. Seorang Muwahidun (yang benar-benar mentauhidkan Allah) sekali-kali tidak akan berkata semua tuhan adalah sama, semua agama adalah sama.

Sebaliknya seorang Muwahidun akan mencontohi sikap Nabi Ibrahim ‘alaihissalam yang disebut oleh Allah Subhanahu waTa'ala di dalam al-Qur’an: Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim dan orang-orang bersamanya contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaum mereka (yang kafir): “Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah selain daripada Allah; kami mengingkari (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu beriman kepada Allah semata-mata.” [al-Mumtahanah 60:04]

 

sembahan.jpeg 

 

Kehadiran sembahan-sembahan selain Allah adalah satu bentuk kemungkaran. Akan tetapi ini tidaklah bermaksud kita dibolehkan mencegah kemungkaran tersebut dengan cara memaki hamun atau mencerca sembahan-sembahan itu kerana dalam ayat yang lain, Allah mengingatkan: Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. [al-An’aam 6:108]

Sebaliknya hendaklah kita mencegah kemungkaran tersebut dan menterjemah perasaan permusuhan serta kebencian melalui dakwah yang penuh hikmah dan kebaikan. Jika pihak yang diajak berdakwah ingin berdebat, kita membalas dengan perdebatan yang lebih baik juga. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu waTa'ala:

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah. [al-Nahl 16:125]

 

Kaedah Penting Dalam Mencegah Kemungkaran

Berdasarkan firman Allah: Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. [al-An’aam 6:108], dirumuskan satu kaedah yang amat penting dalam rangka mencegah kemungkaran, iaitu:

Tidak boleh mencegah satu perkara yang mungkar jika dengannya kemungkaran menjadi lebih besar, atau terhasil kemungkaran yang baru, atau dengannya terhalang kema’rufan yang lain.

Sebagai contoh, tidak boleh mencegah kemungkaran penyembahan selain Allah dengan cara mencercanya kerana penyembah-penyembah tersebut akan membalas dengan mencerca Allah. Berlakunya cercaan kepada Allah adalah satu kemungkaran baru yang terhasil disebabkan tindakan mencerca sembahan-sembahan selain Allah. 

Contoh lain, tidak boleh mencegah kemungkaran penyembahan selain Allah dengan cara mencercanya kerana di sebahagian lokasi di mana umat Islam adalah kaum minoriti, penyembah-penyembah tersebut bukan sahaja akan mencerca Allah, tetapi mengambil tindakan menzalimi umat Islam, membakar al-Qur’an dan merobohkan masjid. Semua ini adalah kemungkaran yang lebih besar, terhasil daripada satu langkah pencegahan kemungkaran yang salah. 

Contoh ketiga, mencegah kemungkaran dengan cara mencerca sembahan-sembahan selain Allah akan menyebabkan para penyembahnya membenci Allah dan Islam sehingga mereka enggan menerima apa-apa usaha dakwah. Terhalangnya usaha dakwah bererti terhalangnya satu kema’rufan yang lain dan ini tentu sahaja merugikan.

 

Contoh Daripada al-Sunnah

Kaedah di atas dalam rangka mencegah kemungkaran tidak terhad dalam konteks penyembahan selain Allah, tetapi meluas kepada pelbagai perkara mungkar yang lain baik kecil atau besar. Dalam sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam terdapat sebuah contoh yang baik. Anas bin Malik menerangkan:

Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, tiba-tiba datanglah seorang Arab Badwi (pendalaman) yang kemudian berdiri dan kencing di dalam masjid. Maka para sahabat Rasulullah berkata: “Berhenti! Berhenti!”

Anas melanjutkan, Rasulullah lantas bersabda: “Janganlah kalian menghentikan kencingnya, biarkanlah dia hingga dia selesai kencing.” Kemudian (setelah selesai) Rasulullah memanggilnya seraya bersabda kepadanya: “Sesungguhnya masjid ini tidak layak untuk apa-apa (najis seperti) kencing mahupun apa-apa kotoran yang lain. Masjid tidak lain hanya untuk berzikir kepada Allah, solat dan membaca al-Qur'an.” (atau lebih kurang begitulah sabda Rasulullah – perawi tidak pasti sepenuhnya)

Anas melanjutkan, lalu baginda memerintahkan seorang lelaki dari kalangan sahabat (mengambil air), lalu dia membawa air satu timba dan menjirus ke atasnya (tempat kencing tadi). [Shahih Muslim, no: 429/285]

Dalam kisah sahih di atas, Rasulullah tidak secara terus mencegah kemungkaran yang berlaku di hadapan matanya, di dalam masjidnya. Jika kemungkaran tersebut dicegah serta merta, akan berlaku kemungkaran lain yang lebih besar. Badwi tersebut mungkin cuba melarikan diri dan ini akan menyebabkan air kencingnya bertaburan di sekeliling masjid manakala auratnya akan dilihat oleh orang ramai. Atau badwi tersebut mungkin akan berhenti, menahan dirinya dari membuang air kecil dan ini akan membawa mudarat kepada kesihatannya. 

 

Tidak Cukup Sekadar Membaca Satu Hadis

Dalam rangka mencegah kemungkaran, ada yang terus melakukannya semata-mata berdasarkan hadis: Sesiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya (mencegah dan menghentikannya) dengan tangannya. Jika dia tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya. Jika dia masih tidak mampu (maka ubahlah) dengan hatinya (dengan membencinya), yang sedemikian adalah selemah-lemah iman. [Shahih Muslim, no: 70/49]

Hadis ini sememangnya sahih dan benar, namun tidak cukup bagi seseorang itu bertindak semata-mata berdasarkan satu hadis. Hendaklah seseorang itu memerhatikan kesan serta hasil daripada tindakannya mencegah kemungkaran kerena dibimbangi akan muncul kemungkaran yang baru, kemungkaran menjadi bertambah luas atau terhalang sesuatu kema’rufan yang lain. Dalam erti kata lain, sebelum bertindak mencegah kemungkaran, hendaklah mempertimbangkan kesan serta hasilnya, antara maslahat dan mudarat.

Contoh yang lazim berlaku sekarang ini ialah tindakan membuat perhimpunan di tempat-tempat awam bagi mencegah kemungkaran yang disandarkan kepada pihak pemerintah. Tindakan ini sangat mungkin menimbulkan kemungkaran yang lain, kerana sememangnya sukar mengawal jumlah orang yang ramai. Perhimpunan yang pada asalnya dijanjikan aman dengan mudah dapat bertukar menjadi ganas disebabkan khabar angin, fitnah dan tindakan segelintir orang yang mencetuskan keganasan. Kemungkaran yang lebih besar akan timbul jika perhimpunan seperti ini dilakukan di negara yang pihak pemerintahnya terkenal dengan sikap zalim.

Oleh itu mencegah kemungkaran sangat memerlukan pertimbangan yang wajar agar ia benar-benar mencapai tujuannya. Jika pertimbangan menunjukkan bahawa risiko kemudaratan adalah bersamaan dengan pencapaian kemaslahatan, hendaklah ditinggalkan tindakan pencegahan itu atau mencari alternatif lain. Ini berdasarkan kaedah “Apabila bertembung antara maslahat dan mudarat, hendaklah didahulukan pencegahan mudarat.”

Kembali kepada contoh perhimpunan orang ramai bagi mencegah kemungkaran pihak pemerintah, jika risiko perhimpunan bertukar menjadi ganas (mudarat) adalah lebih tinggi atau bersamaan dengan keberhasilan mengubah pemerintah (maslahat), hendaklah perhimpunan tersebut dibatalkan.

Membatalkan perhimpunan bukan bererti mengalah kepada kemungkaran pemerintah, tetapi mencari alternatif lain yang selari dengan kaedah-kaedah syari’at Islam. Pertolongan serta kejayaan daripada Allah hanya akan dapat diperolehi apabila seseorang itu bertindak selari dengan syari’at-Nya secara keseluruhannya, bukan menyelisihinya.