Soalan:

Saya sudah bekerja dan mempunyai kekasih hati. Perhubungan kami dirahsiakan daripada keluarga. Ini kerana ibu telah mengingatkan saya bahawa bakal menantunya mestilah setaraf dengan keluarga kami. Masalahnya kekasih saya hanya bekerja biasa dan datang dari keluarga biasa-biasa sahaja. Apa yang patut saya buat ustaz?

Ida Azlina, Johor.

 

Jawapan:

Terdapat sebab mengapa seseorang itu ditegah daripada bercinta atau memiliki kekasih hati sebelum bernikah. Sebabnya, cinta tersebut akan mengaburkan pertimbangannya antara hak dan batil, sesuai dan tidak sesuai.

Permintaan ibu bahawa calon menantunya hendaklah setaraf bukanlah permintaan yang selari dengan Islam. Namun sikap anda membelakangi ibu juga bukanlah sesuatu yang selari dengan Islam. Apabila berlaku pertembungan antara kehendak anak dan ibubapa, maka hendaklah diunggulkan kehendak ibubapa. Ini kerana ibubapalah yang telah berkorban menjaga, membesar dan mendidik anak sehingga mereka menjadi dewasa. Semua pengorbanan ini tidak boleh dilupakan semata-mata kerana hadirnya seorang kekasih hati.

Maka cadangan saya, cubalah memenangi hati ibu untuk membiarkan anda memilih calon suami. Namun jika ibu berkeras dengan beberapa ciri yang dikehendakinya, maka anda sebagai anak yang solehah hendaklah memenuhi kehendak ibu. Lakukan ia kerana Allah, nescaya Allah akan berikan calon suami yang disukai oleh anda dan direstui oleh ibu anda.