Pada peluang kali ini saya ingin berbicara dengan para pembaca sekalian berkenaan poligami. Tujuan saya bukanlah untuk mengajak ke arah poligami, akan tetapi untuk memberi pencerahan terhadap satu kes poligami yang agak masyhur, iaitu berkenaan hajat Ali bin Abi Thalib untuk berpoligami lalu dilarang oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kerana kecemburuan Fatimah. 

Kes ini terkenal dijadikan dalil dan hujah untuk melarang poligami di kalangan sebahagian orang masa kini. Kononnya seorang ayah atau wali berhak melarang puterinya daripada dimadukan dan seorang isteri boleh meminta cerai jika suaminya ingin bernikah lagi. Juga, kononnya isteri sedia ada boleh meminta cerai atas alasan ingin menjaga agama dari fitnah kecemburuan.

stop_fitna.jpeg 

Apakah yang sebenarnya berlaku dalam kes Ali bin Abi Thalib? Dalam kitab Shahihnya, Imam Muslim telah menyusun beberapa hadis berkenaan kes ini di bawah tajuk Keutamaan Fatimah. Hadis-hadis ini adalah sahih dan ia saling menjelaskan antara satu sama lain. Ini kerana sebagaimana ayat-ayat al-Qur’an saling menjelaskan antara satu sama lain, hadis-hadis juga saling menjelaskan antara satu sama lain. Marilah kita menyemak dan menghalusi hadis-hadis tersebut.

 

Hadis Yang Lengkap.

Hadis tersebut adalah seperti berikut. al-Miswar bin Makhramah menerangkan, sesungguhnya Ali bin Abu Thalib pernah meminang puteri Abu Jahal dengan memadu Fatimah. Lalu aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berkhutbah di atas mimbar ini mengenai hal itu, yang pada waktu itu aku sudah pun baligh. Baginda berkhutbah: “Sesungguhnya Fatimah adalah bahagian daripadaku, sesungguhnya aku bimbang terjadi fitnah pada agamanya.” 

Kemudian baginda menyebutkan kekerabatan baginda dengan Bani Abd Syams (di mana puteranya Abu al-‘Ash bin al-Rabi’ telah menikahi Zainah puteri Nabi), memujinya atas kedekatan baginda dengannya dan menyebut-nyebut kebaikannya. Baginda bersabda: “(Apabila) dia berbicara denganku, dia berkata benar (jujur) kepadaku. (Apabila) dia berjanji denganku, dia menepati janjinya kepadaku.”

(Seterusnya baginda kembali kepada hal pinangan Ali bin Abi Thalib kepada puteri Abu Jahal dengan bersabda): “Dan sesungguhnya aku bukan mengharamkan sesuatu yang halal dan tidak pula menghalalkan sesuatu yang haram. Akan tetapi Demi Allah, tidak akan berkumpul puteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dengan puteri musuh Allah di satu tempat selama-lamanya.” [Shahih Muslim, no: 4484/2449]

Berdasarkan khutbah Rasulullah kepada orang ramai di atas, jelas bahawa baginda tidak bertujuan untuk mengubah hukum poligami dari halal kepada haram. Poligami tetap halal berdasarkan sabda baginda: “Dan sesungguhnya aku bukan mengharamkan sesuatu yang halal…”

Pada waktu yang sama Rasulullah tidak boleh menghalalkan apa yang asalnya haram, yakni baginda tidak boleh menghalalkan Fatimah yang merupakan puterinya untuk dimadukan dengan puteri Abu Jahal yang merupakan musuh Allah. Inilah maksud baginda: “…dan tidak pula menghalalkan sesuatu yang haram.” 

Dalam susun kata lain, hukum poligami secara umumnya adalah halal dan tetap halal sehingga ke Hari Akhirat. Namun dalam keumuman tersebut terdapat satu pengecualian iaitu haram hukumnya untuk mengumpul atau memadukan antara puteri Rasul Allah dan puteri musuh Allah. Inilah yang ditekankan oleh baginda: “Akan tetapi Demi Allah, tidak akan berkumpul puteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dengan puteri musuh Allah di satu tempat selama-lamanya.”

 

Boleh Meminta Cerai Kerana Dimadukan?

Berdasarkan kes poligami Ali bin Abi Thalib, ada yang menjadikannya dalil membolehkan isteri yang bakal dimadukan meminta cerai. Mereka mendakwa, Fatimah telah meminta cerai daripada Ali bin Abi Thalib. Benarkah dakwaan ini? Marilah kita merujuk kepada dalil yang sebenar:

al-Miswar bin Makhramah menerangkan bahawa dia mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkhutbahh di atas mimbar: “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin kepadaku untuk menikahkan anak mereka (puteri Abu Jahal) dengan Ali bin Abu Thalib, maka aku tidak mengizinkan mereka, kemudian (mereka minta izin lagi namun) aku tetap tidak mengizinkan mereka, kemudian (mereka meminta izin lagi namun) aku tetap tidak izinkan mereka melainkan Ali menceraikan puteriku (Fatimah) kemudian menikahi anak mereka. Ini karena sesungguhnya puteriku adalah bahagian daripadaku. Membimbangkan aku apa yang membimbangkannya dan menyakiti aku apa yang menyakitinya.” [Shahih Muslim, no: 4482/2449]

Dalam hadis di atas jelas bahawa bukan Fatimah yang meminta cerai daripada Ali bin Abi Thalib. Akan tetapi yang menyebutnya ialah Rasulullah. Sebabnya sebagaimana yang telah dikemukakan dalam hadis di atas bahawa haram hukumnya bagi puteri Rasul Allah untuk dihimpunkan (dimadukan) dengan puteri musuh Allah.

 

Poligami Menjadi Fitnah Agama?

Persoalan seterusnya ialah berkenaan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: “Sesungguhnya Fatimah adalah bahagian daripadaku, sesungguhnya aku bimbang terjadi fitnah pada agamanya.” Fitnah apakah yang dimaksudkan? Demikian juga sabda Rasulullah: “Membimbangkan aku apa yang membimbangkannya dan menyakiti aku apa yang menyakitinya.” Apakah kebimbangan dan kesakitan yang dimaksudkan?

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis-hadis di atas berpendapat Rasulullah melarang Ali berpoligami kerana bimbang terjadinya fitnah rasa cemburu dalam diri Fatimah. Pendapat Imam al-Nawawi ini perlu ditinjau ulang. Ini kerana dalam hadis yang lain diterangkan apakah fitnah yang dimaksudkan oleh Rasulullah. Masih daripada al-Miswar bin Makhramah, beliau menerangkan:

Ali bin Abu Thalib pernah melamar puteri Abu Jahal ketika dia beristerikan Fatimah binti Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Ketika berita tersebut didengar oleh Fatimah, beliau mendatangi Nabi seraya berkata: “Sesungguhnya kaummu berbicara bahwa kamu tidak marah demi puteri kamu. Sekarang ini Ali akan menikahi puteri Abu Jahal.” 

Miswar melanjutkan: Kemudian Nabi berdiri dan saya mendengar baginda membaca syahadah. Setelah itu baginda bersabda: “Sesungguhnya aku telah menikahkan Abu al-‘Ash bin al-Rabi’ (dengan Zainab binti Muhammad), (apabila) dia berbicara denganku, dia berkata benar (jujur) kepadaku. Sesungguhnya Fatimah binti Muhammad adalah darah dagingku. Oleh karena itu, aku tidak suka apabila orang-orang memfitnahnya. Demi Allah, sungguh tidak boleh dihimpun (dimadu) antara puteri Rasulullah dengan puteri musuh Allah oleh seorang suami untuk selama-lamanya.” Miswar berkata: Akhirnya Ali membatalkan lamarannya. [Shahih Muslim, no: 4485/2449]

Dalam hadis di atas jelas menunjukkan bahawa fitnah yang ingin ditolak oleh Rasulullah ialah fitnah orang ramai yang menuduh baginda tidak mengambil peduli berkenaan hal ehwal puterinya. Fitnah sebegini akan menyebabkan Fatimah berprasangka ayahnya tidak peduli tentangnya dan pergeseran hubungan antara anak dan ayah boleh menjejaskan nilai agama seorang anak. 

Demikianlah juga, kebimbangan yang dimaksudkan ialah kebimbangan Fatimah konon ayahnya tidak mengambil peduli tentang dirinya. Kesakitan Fatimah ialah tuduhan orang ramai kononnya ayahnya tidak mengambil peduli tentang dirinya.

Atas dasar inilah juga kita lihat dalam hadis-hadis di atas, apabila Rasulullah ingin membela Fatimah daripada fitnah, kebimbangan dan kesakitan, baginda bersabda di hadapan orang ramai. Ini menunjukkan sumber fitnah, kebimbangan dan kesakitan ialah orang ramai itu sendiri. Seandainya sumber fitnah, kebimbangan dan kesakitan ialah kerana Ali yang ingin berpoligami, memadai Rasulullah berbicara kepada Ali seorang sahaja.

Di sini saya tidak bermaksud untuk mengatakan Fatimah tidak cemburu langsung. Cemburu ialah satu sifat wanita yang tidak boleh disifarkan. Namun pada waktu yang sama cemburu tidak boleh dibiarkan berleluasa dalam diri seseorang sehingga seolah-olah ia menjadi tuhan yang menentukan tindak tanduk seseorang. Cemburu bagi seorang mukminat ahli syurga seumpama Fatimah ialah ia dikawal dan diuruskan agar sentiasa di tahap pertengahan.

 

Kesimpulan

Berdasarkan hadis-hadis di atas dapat disimpulkan bahawa:

  1. Hukum poligami ialah ia tetap halal, selagi mana diperhatikan syarat-syaratnya.
  2. Rasulullah melarang Ali berpoligami kerana puteri Rasul Allah tidak boleh dimadukan dengan puteri musuh Allah.
  3. Fatimah tidak meminta cerai daripada Ali bin Abi Thalib.
  4. Kebimbangan, kesakitan dan fitnah yang dihadapi oleh Fatimah ialah daripada tuduhan orang ramai kononnya Rasulullah tidak mempedulikan puterinya, bukan daripada hajat Ali untuk berpoligami.