Dalam dua ruangan sebelum ini, kita telah berkenalan dengan ruh berdasarkan al-Qur’an dan hadis-hadis yang sahih. Kini kita sampai ke soalan penting, bolehkah ruh orang yang sudah mati mengganggu manusia yang masih hidup? Bolehkah ruh orang jahat merasuki manusia sehingga menyebabkan histeria? Bolehkah ruh ahli keluarga kembali ke rumahnya, sehingga penghuni rumah seolah-olah terasa, terlihat dan terdengar kehadirannya?

Untuk menjawab soalan ini, saya kemukakan sebuah ayat al-Qur’an dan sebuah hadis sahih sebagai dalil dan hujah. Dalam ayat 99-100 surah al-Mu’minun, Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Sehingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata: “Ya Tuhanku kembalikanlah aku (ke dunia) agar aku berbuat amal yang soleh terhadap yang telah aku tinggalkan.” Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkannya saja. Dan di hadapan mereka ada dinding (barzakh) sampai hari mereka dibangkitkan.

Dalam ayat di atas, diterangkan keadaan orang-orang yang sudah mati. Mereka  merasa menyesal dan ingin kembali ke dunia untuk beramal soleh. Akan tetapi keinginan ini terhalang oleh sebuah dinding. Dinding itu menghalang mereka dari kembali ke alam dunia sehinggalah Hari Kiamat. Dinding ini dikenali sebagai Barzakh dan dari sinilah kehidupan selepas kematian disebut sebagai Alam Barzakh.

Ayat di atas menjadi dalil bahawa ruh manusia yang sudah mati tidak boleh kembali ke alam dunia. Ada dinding yang menghalang mereka agar tetap di alam barzakh sehingga ke hari Akhirat.

barzakh

Apa Yang Dilakukan Oleh Si-Fulan?

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menceritakan:

Apabila seorang mukmin menghampir saat kematiannya, malaikat-malaikat rahmat datang kepadanya dengan membawa sutera putih. Mereka berkata: “(Wahai ruh) keluarkan kamu dalam keadaan reda dan diredai menuju rahmat Allah, bau harum dan (kepada) tuhan yang tidak murka.”

Maka ruh itu (setelah dicabut oleh malaikat maut) keluar dalam keadaan harum kesturi sehinggakan sebahagian mereka (para malaikat rahmat) berebut dengan sebahagian yang lain untuk membawanya sehinggalah sampai ke pintu langit.

Maka mereka (penduduk langit) berkata: “Alangkah harumnya bau yang kalian bawa dari bumi!” Maka (ruh yang baru dibawa itu) dipertemukan dengan ruh-ruh orang-orang mukmin (yang berada di langit itu). Mereka lebih teramat gembira (apabila saling bertemu) berbanding salah seorang dari kalian yang bertemu dengan orang yang sudah lama hilang. Mereka bertanya (kepada ruh yang baru dibawa itu): “Apa yang dilakukan oleh si-fulan? Apakah yang dilakukan oleh si-fulan?” [Sebahagian dari hadis yang panjang, Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 1810/1833]

Hadis di atas menerangkan keadaan ruh orang-orang yang beriman apabila ia hampir dicabut dan setelah dicabut dari badan. Alangkah baiknya keadaan ruh orang-orang yang beriman. Apabila ruh yang baru dicabut itu bertemu dengan ruh-ruh lain yang sudah lama dicabut yang kini berada di langit, ia ditanya: “Apa yang dilakukan oleh si-fulan? Apakah yang dilakukan oleh si-fulan?” Maksudnya, ruh-ruh yang sudah lama dicabut bertanya kepada ruh yang baru dicabut berhubung keadaan orang-orang yang lain yang masih hidup di dunia. Contohnya, ruh seorang ayah yang sudah lama dicabut bertanya kepada ruh yang baru dicabut, apakah yang sedang dilakukan oleh anaknya di dunia sekarang ini?

Pertanyaan-pertanyaan ini menjadi dalil bahawa ruh orang yang sudah mati tidak mengetahui keadaan orang yang masih hidup. Ia juga menjadi dalil bahawa ruh orang yang sudah mati – meskipun dia seorang yang beriman – tidak dapat kembali ke dunia. Seandainya mereka dapat kembali ke dunia, nescaya mereka mengetahui khabar orang-orang yang masih hidup.

Berdasarkan ayat al-Qur’an dan hadis sahih di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ruh orang yang sudah mati tidak boleh kembali ke alam dunia untuk mengganggu manusia yang masih hidup di alam dunia. Ia tidak dapat kembali untuk apa jua urusan meskipun yang baik seperti beramal soleh atau mengetahui khabar orang-orang yang disayanginya.

 

Ruh Rasulullah

Termasuk dalam kesimpulan di atas ialah ruh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda pernah menerangkan bahawa pada Hari Kiamat kelak ada telaga khasnya untuk umatnya yang bernama Telaga Haudh. Umatnya datang untuk minum, namun ada sebahagian yang dihalang. Maka baginda bertanya: “Sesungguhnya mereka adalah dari (umat)ku”. Lalu dijawab: “Sesungguhnya kamu tidak tahu perkara-perkara baru (bid’ah-bid’ah) yang mereka buat sesudah kamu!” [Shahih al-Bukhari, no: 6097/6583]

Berdasarkan hadis ini, ruh Rasulullah juga tidak dapat kembali ke alam dunia untuk mengetahui apa yang dilakukan oleh umatnya.

 

Penjelasan Tambahan

Merujuk kepada dalil-dalil al-Qur’an dan hadis-hadis di atas, dapatlah diketahui kesalahan kepercayaan sebahagian masyarakat yang menganggap ruh orang yang mati akan kembali ke alam dunia pada malam pertama, malam ketiga, malam ke-40 (selepas kematian), malam Hari Raya dan malam-malam lain.

Selain itu dapat juga diketahui kesalahan sebahagian kumpulan umat Islam yang bernasyid, berqasidah dan berselawat dengan keyakinan bahawa ruh Rasulullah akan datang untuk turut menghadiri majlis tersebut. Demikian juga kesalahan orang yang mendakwa ruh Rasulullah atau ruh sekian-sekian tokoh agama datang berjumpa dengannya sama ada dalam keadaan sedar atau mimpi untuk menyampai hukum, ibadah dan zikir yang baru. Semua itu tidak lain adalah tipudaya syaitan atau helah orang itu bagi meraih kemasyhuran di kalangan pengikut-pengikutnya.