Dalam ayat 98 surah al-Baqarah, Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman: Sesiapa yang menjadi musuh Allah, malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya, Jibril dan Mikail, maka sesungguhnya Allah adalah musuh orang-orang kafir. Ayat ini menceritakan sikap orang kafir di mana mereka memusuhi Allah, para malaikat dan para rasul. Lawan kepada sikap memusuhi ialah sikap mencintai. Justeru berdasarkan ayat ini dapat ditangkap maksud di sebaliknya, iaitu sikap orang yang beriman ialah mereka mencintai Allah, para malaikat dan para rasul.

Jika tidak kenal, maka tidak cinta. Oleh itu dalam penulisan bulan ini, saya akan terus memberikan pengenalan tentang malaikat kepada para pembaca sekalian. Pengenalan ditumpukan kepada beberapa ciri istimewa malaikat.

Taat Kepada Allah

Ciri istimewa malaikat ialah mereka sentiasa taat kepada Allah. Mereka tidak derhaka mahupun merungut kepada apa jua yang diperintahkan Allah kepada mereka. Ciri ini diterangkan dalam al-Qur’an: (Malaikat) yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan. [al-Tahrim 66:06]

Solat Kepada Allah

Malaikat juga solat kepada Allah. Mereka solat beramai-ramai dalam jumlah yang hampir memenuhi ruang di langit. Hakim bin Hizam berkata: Ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersama para sahabatnya, tiba-tiba baginda bertanya: “Apakah kalian mendengar apa yang aku dengar?” Mereka menjawab: “Kami tidak mendengar apa-apa.”

Baginda melanjutkan: “Sesungguhnya aku benar-benar mendengar suara gemuruh di langit dan ia tidak dicela melakukan itu. Tidak ada sejengkal ruangpun melainkan di situ ada malaikat yang sedang sujud atau berdiri (melaksanakan solat).” [Riwayat al-Thahawi dan al-Thabarani, Silsilah Ahadits al-Shahihah, no: 852]

Para malaikat juga solat berjamaah sebagaimana hadis berikut. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bertanya: “Kenapa kalian tidak berbaris (dalam saf) sebagaimana malaikat berbaris di sisi Tuhan mereka?” Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah! Bagaimanakah malaikat berbaris di sisi Tuhan mereka?” Baginda menjawab: “Mereka menyempurnakan barisan awal (pertama) dan merapat-rapatkan barisan.” [Shahih Muslim, no: 651/430]

Malaikat adalah makhuk yang neuter, tidak memiliki jantina lelaki mahupun wanita. Maka saf bagi mereka adalah sama, iaitu yang paling hadapan adalah yang paling baik. Adapun kita manusia, maka saf terbaik bagi lelaki adalah yang paling hadapan sementara saf terbaik bagi wanita adalah yang paling belakang. Rasullullah menjelaskan hal ini: Sebaik-baik saf kaum lelaki adalah di hadapan dan seburuk-buruknya adalah di belakang. Dan sebaik-baik saf wanita adalah di belakang seburuk-buruknya adalah yang di hadapan. [Shahih Muslim, no: 664/440]

Sentiasa Bertasbih

Malaikat ialah makluk yang sentiasa bertasbih kepada Allah. Apabila tidak diperintahkan dengan sesuatu urusan atau tidak melaksanakan solat, mereka bertasbih kepada Allah. Mereka bertasbih tidak henti-henti, tanpa merasa jemu.

Dan kepunyaan-Nyalah segala yang di langit dan di bumi. Dan malaikat-malaikat yang di sisi-Nya, mereka tiada mempunyai rasa angkuh untuk menyembah-Nya dan tiada (pula) merasa letih.Mereka selalu bertasbih malam dan siang tanpa henti-henti. [al-Anbiya’ 21:19-20]

Maka mereka (malaikat) yang di sisi Tuhanmu bertasbih kepada-Nya di malam dan siang hari, sedang mereka tidak jemu-jemu. [Fushshilat 41:38]

Apakah tasbih yang dibaca oleh para malaikat? Ikuti hadis berikut untuk mengetahui jawapannya. Dari Abu Dzar bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah ditanya: “Apakah bacaan zikir yang paling utama wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: Apa yang dipilih oleh Allah bagi para malaikat-Nya dan hamba-hamba-Nya, (iaitu): Subhanalhahi wa bihamdihi (Maha Suci Allah dan Maha Terpuji Dia).” [Shahih Muslim, no: 4910/2731]

Inilah bacaan zikir terbaik yang Allah pilih untuk para malaikat-Nya dan para hamba-Nya. Oleh itu amatlah baik jika para pembaca melazimkan diri dengan zikir ini pada bila-bila masa seperti ketika menunggu bas, menunggu kemasukan guru/pensyarah ke kelas, sebelum tidur (selepas membaca doa tidur) dan tersekat di dalam kesesakan lalulintas. Janganlah setiap masa lapang yang ada dihabiskan dengan melihat talifon sahaja.

Pemalu

Sungguhpun malaikat amat hebat dengan ketaatan kepada Allah, solat dan zikir, mereka bukanlah makhluk yang sombong atau merasa hebat. Sebaliknya mereka sangat pemalu dan merendah diri. Pernah sekali Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berbaring di rumahnya dengan kain yang tersingkap sehingga ternampak betisnya. Apabila Utsman ibn Affan datang untuk ziarah, Rasulullah segera duduk dan membetulkan kainnya yang tersingkap itu. Lalu A’isyah bertanya, kenapa tiba-tiba baginda berubah dari baring ke duduk dan menutup betisnya yang tersingkap? Baginda menjawab: Wahai A’isyah, bagaimana mungkin aku tidak malu kepada manusia yang para malaikatpun merasa malu kepadanya? [Shahih Muslim, no: 4414/2401]

Dalam sebuah hadis yang lain baginda bersabda: Sesungguhnya para malaikat benar-benar meletakkan sayapnya kepada para penuntut ilmu kerana reda dengan apa yang mereka cari (yakni mencari ilmu). [Musnad Ahmad, no: 17404/18098 dengan sanad hasan]

Demikian beberapa ciri istimewa para malaikat Allah. Moga dengan pengenalan ringkas ini, kita orang-orang yang beriman bertambah mencintai para malaikat. Mencintai mereka kerana Allah, mencintai mereka kerana ciri-ciri istimewa mereka, mencintai mereka agar kita juga dapat meneladani mereka.