Apabila berbicara tentang jin, satu persoalan yang lazim berlegar adalah: Apakah hukum meminta pertolongan jin? Soalan ini memerlukan penjelasan yang mendalam dan ia dimulakan dengan penjelasan tentang dua bentuk pertolongan:

Bentuk Pertama adalah pertolongan yang merupakan hak Allah Subhanahu wa Ta'ala semata-mata. Di antaranya, meminta diampunkan dosa, meminta dilapangkan rezeki, meminta kebaikan dalam perkara yang akan datang, meminta petunjuk dalam hal ghaib seperti mencari barang yang hilang dan meminta keselamatan daripada gangguan makhluk ghaib. Pertolongan seperti ini hanya boleh diminta daripada Allah dan diharapkan keberhasilannya daripada Allah.

Sesiapa yang mintanya daripada sesama makhluk, baik daripada manusia atau jin, baik daripada ustaz atau jin muslim, maka dia telah melakukan kesalahan yang besar. Bahkan boleh juga membawa kepada hukum mensyirikkan Allah.

Bentuk Kedua adalah pertolongan yang merupakan urusan sesama makhluk, seperti meminta tolong rakan mengangkat barang, meminta pensyarah menjelaskan masalah pembelajaran, meminta doktor merawat penyakit, meminta ustaz meruqyah penyakit dan meminta polis menjaga keselamatan rumah daripada pencuri. Bagi pertolongan seperti ini, dibolehkan meminta pertolongan sesama makhluk namun harapan keberhasilannya hendaklah ditujukan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Contohnya, boleh meminta doktor merawat penyakit namun keyakinan serta harapan untuk sembuh daripada penyakit itu hendaklah ditujukan kepada Allah. Doktor hanyalah sebab atau sarana sementara hasilnya tetap bergantung kepada kuasa, kehendak dan rahmat Allah.

Minta tolong seperti ini juga dibolehkan selagi ia tidak melibatkan yang haram, seperti meminta tolong rakan untuk menzalimi rakan yang lain, merasuah pensyarah untuk mendapatkan kelulusan peperiksaan dan bersubahat dengan doktor untuk mendapatkan cuti sakit, padahal tidak sakit.

Assalamu’alaikum Nabi Sulaiman!

Jika sudah difahami dua bentuk pertolongan ini serta perinciannya, maka lebih mudah untuk kita memahami hukum meminta tolong kepada jin. Berdasarkan bentuk pertolongan pertama, tidak boleh meminta pertolongan jin untuk melindungi daripada gangguan makhluk halus. Ada petua-petua yang berlegar di kalangan masyarakat bahawa kononnya apabila hendak masuk hutan maka berilah salam kepada Nabi Ilias. Apabila hendak belayar di laut maka berilah salam kepada Nabi Nuh. Apabila hendak bermalam di tempat terpencil maka berilah salam kepada Nabi Sulaiman.

Jika disemak petua-petua ini, apakah hikmah memberi salam kepada nabi-nabi tersebut padahal mereka sudah lama wafat? Jawapannya, meskipun nabi-nabi tersebut sudah wafat tetapi jin qarin yang mendampingi mereka belum wafat. Ingat, setiap manusia – termasuk para nabi – ada jin qarin sebagaimana hadis yang telah kita pelajari sebelum ini: “Tidak ada seorang jua dari kalian melainkan dia didampingi oleh qarin dari makhluk jin.” [Shahih Muslim, no: 5034/2814]

Justeru dengan memberi salam kepada para nabi apabila memasuki hutan, laut atau tempat terpencil, orang itu secara tidak langsung ingin meminta pertolongan jin qarin nabi tersebut daripada gangguan jin-jin yang lain. Di sini berlaku beberapa kesalahan aqidah: (1) Kita sepatutnya meminta pertolongan Allah dan bukannya pertolongan jin dalam hal ghaib, (2) Meminta pertolongan jin bererti membesar dan mengagungkan mereka di atas Allah, (3) Jin-jin akan merasa dibesarkan lalu mereka membisikkan ketakutan dalam hati orang tersebut sehingga dia semakin berulang-ulang memberi salam dan mengharapkan perlindungan daripada jin qarin nabi terbabit.

Poin ketiga inilah yang dimaksudkan dalam ayat al-Qur’an berikut: Dan bahwasanya ada beberapa orang lelaki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan. [al-Jin 72:06]

Di sini juga berlaku apa yang disebut sebagai bersenang-senang antara jin dan manusia. Jin memperoleh kesenangan apabila disebut, diseru dan dipohon perlindungan oleh manusia sementara manusia memperoleh kesenangan apabila dilindungi dan diberikan bisikan perasaan selamat oleh jin. Inilah yang dijelaskan dalam kitab-kitab tafsir terhadap maksud ayat:

Dan (ingatlah) hari di waktu Allah menghimpunkan mereka semuanya, (dan Allah berfirman): “Hai golongan jin, sesungguhnya kamu telah banyak (menyesatkan) manusia”, lalu berkatalah kawan-kawan mereka dari golongan manusia:

“Ya Tuhan kami, sesungguhnya sebahagian daripada kami telah dapat kesenangan dari sebahagian (yang lain) dan kami telah sampai kepada waktu yang telah Engkau tentukan bagi kami.”

Allah berfirman: “Neraka itulah tempat tinggal kamu, sedang kamu kekal di dalamnya, kecuali kalau Allah menghendaki (yang lain).” Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. [al-An’aam 6:128]

Assalamu’alaikum…!

Pernah saya dan seorang rakan kerja menginap di hotel, masing-masing kami dengan bilik tersendiri. Ketika hendak memasuki biliknya, dia mengucapkan “Assalamu’alaikum!” dengan nada yang agak kuat. Esok pagi apabila kami bersarapan, saya bertanya: “Semalam bagi salam kat siapa? Kuat benar.” Dia menjawab: “Saya bagi salam kepada sesiapa yang ada dalam bilik itu.” Saya bertanya lagi: “Siapa ada dalam bilik tu?” Dia menjawab: “Hm…mana tahu…jin agaknya!” Saya berkata: “Jika benar ada jin, bagi salam untuk berkawan dengan dia ke?” Dia menjawab: “Eh…bukan nak buat kawan, tetapi sekadar supaya dia tidak ganggu saya malam itu.” Saya berkata lagi: “Secara tidak langsung kamu minta tolong jin supaya tidak ganggu kamu. Tanpa sedar, ini sudah dikira meminta pertolongan jin!”

 Seterusnya saya menjelaskan kesalahan meminta pertolongan jin dan berkongsi tunjuk ajar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam apabila singgah di satu tempat. Baginda bersabda: Sesiapa yang singgah di satu tempat lalu berdoa: “Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada apa saja keburukan yang Dia cipta”, nescaya tidak akan memudaratkannya sesuatu apa jua sehingga dia meninggalkan tempat itu. [Shahih Muslim, no: 4881/2708]

(Insya-Allah bersambung)

Dara.com (Dis 2015)