Siapa di antara para pembaca sekalian yang kenal Geert Wilders? Saya yakin agak ramai yang mengenalinya. Bagi yang belum atau sudah lupa, dia adalah seorang ahli parlimen Belanda yang menerbitkan sebuah video pendek berjudul Fitna. Video itu yang dilancarkan melalui beberapa laman web pada 27 Mac 2008 memaparkan aksi-aksi keganasan dan beberapa ayat al-Qur’an yang didakwa menyokong aksi keganasan. Akan tetapi saya ada soalan yang lebih penting. Siapa diantara para pembaca sekalian yang kenal Geert Wilders sebelum Geert Wilders? Maksud saya, adakah kita mengenali Geert Wilders sebelum dia melancarkan video Fitna? Saya yakin jawapannya tidak.

          Sebelum video Fitna, Geert Wilders hanya dikenali oleh rakyat Belanda dan tidak oleh rakyat bumi. Justeru siapa atau apa yang menyebabkan dia dan videonya yang hanya sepanjang enam belas minit menjadi masyhur? Setahu saya videonya tidak ditayangkan dalam pawagam mahupun kaca TV. Ia juga tidak diberi ulasan positif dalam akhbar mahupun majalah. Videonya tidak diiklankan dan tidak ditaja oleh mana-mana syarikat gergasi dunia. Sedar atau tidak, yang sebenarnya memasyhurkan Geert Wilders dan videonya tidak lain tidak bukan ialah umat Islam. Dalam suasana kemarahan dan emosi yang berasap, umat Islam telah lupa atau tidak sedar kepada salah satu ciri-ciri amar ma’ruf dan nahi mungkar yang amat penting. Ciri tersebut ialah, jika sesuatu kemungkaran wujud dalam keadaan terpencil, jangan membesar-besarkannya sehingga ia merebak menjadi meluas.

          Sebagai contoh, jika terdapat sebuah laman web yang memburuk-burukkan Islam, jangan menghebohkannya kepada rakan-rakan. Biarkan ia kerana keadaan ia tidak diketahui ramai adalah lebih baik daripada diketahui ramai. Demikianlah juga dengan video Fitna, ia pada asalnya adalah sesuatu yang terpencil dan tidak diketahui ramai. Paling tidak ia hanya diketahui oleh rakyat Belanda. Oleh itu biarkanlah ia dibantah oleh umat Islam di Belanda. Kita tidak memerlukan jasa baik umat Islam sedunia untuk memasyhurkannya.

 

Jangan Membenarkan Sesuatu Yang Tidak Benar.

          Video Fitna cuba membuat kesimpulan bahawa Islam menganjurkan keganasan dan umat Islam memang bersikap ganas. Setelah memasyhurkan video Fitna, cuba teka apa pula yang dilakukan oleh umat Islam? Dalam berita kita membaca atau terdengar tindakan sebahagian umat Islam yang membakar bendera Belanda sehingga ke tahap ada yang membakar dan melontar batu ke arah bangunan kedutaan Belanda. Apakah kesimpulan yang dapat diambil oleh rakyat bumi terhadap tindakan ini? Mudah saja. Tindakan-tindakan tersebut membenarkan kesimpulan video Fitna, bahawa umat Islam memang bersikap ganas. Bahkan apabila yang bertindak ganas itu melaungkan “Allahu Akbar! Allahu Akbar!” beberapa kali, ia memberi kesimpulan bahawa Islam memang agama ganas. Sekali lagi tanpa sedar, umat Islam telah membenarkan sesuatu yang tidak benar. Di sini umat Islam perlu sedar bahawa kita adalah saksi bagi rakyat bumi. Jika kita bersikap baik, rakyat bumi akan memuji dan mengikuti kita serta agama kita. Sebaliknya jika kita bersikap buruk, rakyat bumi akan mencela dan menjauhi kita serta agama kita. Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:

          “Allah menamakan kamu ‘orang-orang Islam’ semenjak dahulu dan di dalam (al-Quran) ini, supaya Rasulullah menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu dan supaya kamu pula menjadi saksi yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah).” [Surah al-Hajj, ayat 78]

 

Islam Adalah Agama Yang Adil.

          Allah s.w.t. berfirman dalam ayat kelapan surah al-Maidah: “Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” Dalam konteks perbicaraan kita sekarang ini, janganlah disebabkan kemarahan dan kebencian kita kepada Geert Wilders menyebabkan kita berlaku tidak adil dengan menghukum keseluruhan rakyat Belanda dan memulau produk serta perniagaan mereka.

          Saya sebenarnya agak hairan dengan seruan pelbagai pihak agar umat Islam memulau produk-produk negara Barat. Sebelum ini kita mendengar seruan memulau restoran makanan segera berjenama Amerika Syarikat atas dasar konon ia menaja keganasan zionis. Padahal tidak dikemukakan satu jua bukti yang kukuh bahawa restoran-restoran itu menaja zionis. Sebaliknya apa yang kukuh ialah restoran-restoran tersebut memberi peluang pekerjaan kepada ribuan rakyat Malaysia. Apatah lagi yang menerima peluang pekerjaan itu pula majoriti ialah umat Islam. Seandainya restoran-restoran itu ditutup di Malaysia, bilangan pengangguran akan meningkat, sekaligus meningkat juga masalah sosial dan pelbagai lagi.

 

Islam Bukan Agama Emosi.

          Iya! Islam ialah agama ilmu dan wawasan, bukan emosi dan perasaan. Setiap tindak-tanduk kita hendaklah dinilai sama ada menghasilkan kesan yang positif atau negatif kepada Islam dan umatnya. Allah s.w.t. mengingatkan: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka (orang musyrik) sembah selain Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.” Apabila berhadapan dengan fitnah terhadap Islam dan umatnya, pastikan kita bertindak berdasarkan ilmu dan wawasan agar hasil tindakan kita memberi manfaat kepada Islam dan umatnya.

          Di sini saya tidak akan menerangkan apakah tindakan yang bermanfaat dalam menghadapi video Fitna kerana saya mahu para pembaca sekalian melatih diri berfikir dan menganalisa. Pentingnya, fitnah terhadap Islam dan umatnya sentiasa akan ada di sana-sini. Janganlah pula kita menjadi salah satu dari fitnah tersebut.