“Musim” ziarah menziarah sempena Hari Raya Aidil Fitri sudah pun berakhir. Akan tetapi dalam edisi bulan ini saya tetap memberi fokus kepada subjek ini memandangkan kepentingannya wujud sepanjang tahun tanpa terhad pada bulan Syawal sahaja. Jika pada bulan lepas fokus kita ialah “Adab Tuan Rumah”, maka pada bulan ini fokus kita ialah “Adab Berziarah”.

kids_walking.jpgSaling berziarah adalah satu amalan yang besar kedudukannya di sisi Islam. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Bahawasanya ada seorang yang menziarahi saudaranya (iaitu sesama umat Islam) di sebuah desa. Maka Allah mengutuskan malaikat untuk menjaganya di dalam perjalanannya itu. Tatkala malaikat itu (menjelma sebagai manusia) dan datang kepada lelaki itu, ia berkata: “Kamu hendak ke mana?” Lelaki itu menjawab: “Aku hendak menziarahi saudaraku di desa ini.” Malaikat bertanya lagi: “Apakah kamu memiliki sesuatu nikmat di atasnya yang menyebabkan kamu menuju ke sana?” Lelaki itu menjawab: “Tidak. Aku menziarahinya hanya kerana aku mencintainya kerana Allah Azza wa Jalla.” Lalu malaikat itu berkata: “Sesungguhnya aku adalah malaikat yang diutus Allah kepadamu (untuk mengkhabarkan) bahawa Allah mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu itu kerana-Nya.” [Shahih Muslim, no: 2567]

Demikianlah keutamaan seseorang yang menziarahi sesama umat Islam semata-mata kerana Allah. Dia tidak melalukannya kerana mengharapkan duit raya, makanan yang enak mahupun kerana menjual produk tertentu seperti insuran, penapis air, pil kesihatan dan pelbagai lagi. Walaubagaimanapun untuk meraih kecintaan Allah ketika berziarah, terdapat beberapa adab yang perlu diperhatikan terlebih dahulu.

 

Meminta Izin.

Adab yang pertama ialah meminta izin untuk berziarah. Allah s.w.t. berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu supaya kamu beringat. Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin dan jika dikatakan kepada kamu “baliklah”, maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” [Surah al-Nur, ayat 27-28]

Cara meminta izin ialah dengan memberikan salam. Ketika ada orang ingin menziarahi Rasulullah s.a.w., baginda mengutus pembantunya seraya berkata: “Pergilah menemui orang itu, ajarkanlah dia cara meminta izin. Katakan kepadanya: “Ucapkanlah Assalamu’alaikum, boleh aku masuk?” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 5177]

Tatkala meminta izin, jangan berdiri menghadap pintu atau tingkap rumah sambil memanjang-manjangkan leher untuk melihat ke dalam rumah. Sebaliknya berdirilah di tepi kanan atau kiri dari arah pintu atau tingkap rumah. Pemintaan izin ialah sebanyak tiga kali ucapan salam: “Jika salah seorang dari kalian meminta izin sebanyak tiga kali lalu tidak diizinkan baginya (untuk masuk), maka pulanglah.” [Shahih al-Bukhari, no: 6245]

Petunjuk tidak diizinkan masuk ialah melalui jawapan daripada tuan rumah “Baliklah kamu” atau jika tidak ada apa-apa jawapan daripada tuan rumah. Jika tidak diizinkan masuk, janganlah berduka atau marah. Sebaliknya bergembira kerana dapat melaksanakan salah satu perintah agama, iaitu firman Allah: “Jika dikatakan kepada kamu “baliklah”, maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu.” [Surah al-Nur, ayat 28]

Adab-adab ini hendaklah diperhatikan sekalipun jika penziarah itu ialah orang penting atau ternama. Ini berdasarkan teladan orang yang paling penting lagi ternama di dunia, Rasulullah s.a.w. sendiri: “Bahawa Nabi s.a.w. apabila datang ke sebuah rumah, baginda tidak menghadap ke arah pintu tetapi berdiri di tepi kanan atau kiri pintu. Jika diizinkan baginda masuk dan jika tidak baginda beredar.” [Shahih Adab al-Mufrad, no: 826]

 

Memperkenalkan Diri.

Apabila meminta izin untuk ziarah, perkenalkan diri akan tuan rumah mengetahui siapakah yang ingin menziarahinya. Seorang sahabat bernama Jabir pernah menziarahi Rasulullah s.a.w.. Baginda bertanya: “Siapa itu?” Jabir menjawab: “Saya.” Baginda membalas dengan nada yang tidak senang: “Saya – saya?” [Shahih al-Bukhari, no: 6250]

Dianjurkan memberi sedikit latar belakang seperti lokasi asal, hubungan kekeluargaan dan tempat kerja agar tuan rumah lebih selesa untuk memberi izin. Jangan berkata “Saya Zuraida” tetapi katakanlah “Saya Zuraida pelajar lama prof dalam jurusan undang-undang ingin ziarah sebentar.” Ini berdasarkan hadis berikut apabila seorang muslimat datang menziarahi Rasulullah s.a.w. dan memperkenalkan dirinya sebagai “Zainab.” Rasulullah s.a.w. bertanya: “Zainab yang mana?” Muslimat itu menjawab: “Zainab isteri Ibn Mas‘ud.” Lalu baginda mengizinkan dia masuk. [Shahih al-Bukhari, no: 1462]

 

Memanfaatkan Teknologi Terkini.

Dalam zaman serba canggih sekarang ini, permintaan izin untuk ziarah boleh dilakukan lebih awal melalui panggilan talifon, pesanan ringkas (SMS) atau emel. Umpama SMS: “Assalamu’alaikum Prof, saya Zuraida pelajar lama prof dalam jurusan undang-undang ingin ziarah sebentar pukul 5 petang nanti.” Jika mendapat balasan SMS keizinan untuk ziarah, pastikan anda hadir tetap pukul 5 petang dan berikan salam sambil berdiri di tepi kanan atau kiri pintu rumahnya.

Melalui cara ini, tuan rumah akan lebih bersedia menerima tetamu dan dapat memberi izin masuk. Walaubagaimanapun jika tiada balasan dari tuan rumah selepas tiga kali ucapan salam atau selepas tiga kali alat “ding dong” ditekan, maka baliklah kerana mungkin tuan rumah ada urusan berbangkit yang menyebabkannya tidak mengizinkan masuk.