Jika saya mengajak para pembaca sekalian untuk mempelajari cara-cara wudhu’ dan solat ketika sakit, mungkin akan ada yang berkata: “Ehh! Kami masih muda dan sihat. Nantilah bila tua dan sakit baru kami mempelajarinya.”

Sebenarnya, waktu terbaik untuk mempelajari cara-cara wudhu’ dan solat ketika sakit ialah apabila sedang sihat. Ini kerana sakit sering kali datang tanpa dijemput dan pada saat yang tidak diduga itu, kemungkinan besar keadaan sudah tidak lagi mengizinkan seseorang itu untuk belajar cara-cara wudhu’ dan solat. Oleh itu memperlajarinya sekarang termasuklah dalam pesanan “gunakanlah masa sihatmu sebelum datang masa sakitmu”.

 

toiletpaper.jpeg

Membersihkan Diri Daripada Najis 

Baik ketika sihat atau sakit, langkah pertama sebelum berwudhu’ ialah membersihkan kemaluan dan dubur daripada najis air kencing dan tahi. Cara yang lazim digunakan bagi membersihkan kemaluan dan dubur daripada najis ialah membasuh dengan air. Ini disebut sebagai istinja’.

Akan tetapi mungkin penyakit seseorang itu menyebabkan dia tidak dapat beristinja’ seperti biasa. Maka bagi kes ini, Islam memberi jalan lain iaitu istijmar. Istijmar ialah membersihkan najis pada kemaluan dan dubur dengan menggunakan bahan-bahan yang bersih, selain air.

Pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, mereka beristijmar dengan menggunakan batu. Baginda berpesan: Apabila salah seorang di antara kalian pergi untuk buang air besar, maka hendaklah dia membawa tiga batu untuk membersihkan dirinya, sesungguhnya itu mencukupi baginya. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 36/40] Baginda juga menjelaskan agar digunakan …tiga batu yang tidak ada kotoran binatang padanya. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 37/41]

Beristijmar tidak semestinya dengan batu. Para ulama’ menjelaskan bahawa boleh beristijmar dengan apa jua yang bersih seperti kain, sapu tangan, tuala kertas dan tisu.

Apabila beristijmar, hendaklah menyapu dan membersihkan kemaluan atau dubur dalam bilangan yang ganjil sehingga najis tidak kelihatan lagi. Minimum hendaklah tiga kali sapuan. Baginda bersabda: Sesiapa yang beristijmar, hendaklah dengan bilangan yang ganjil. [Shahih al-Bukhari, no: 157/162] ] Akan tetapi jika tidak mampu menyempurnakan dengan bilangan yang ganjil, maka usahakanlah apa yang termampu. Abdullah ibn Mas’ud menerangkan:

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pergi untuk membuang air besar, lalu baginda menyuruh aku membawakan tiga buah batu. Aku hanya menemui dua batu, lalu aku mencari batu yang ketiga namun aku tidak menemuinya sehingga aku pun mengambil kotoran haiwan yang sudah kering. Kemudian semua itu aku bahwa ke hadapan Nabi. Namun baginda hanya mengambil dua batu dan membuang kotoran hewan yang telah kering tersebut seraya bersabda: “Ini najis.” [Shahih al-Bukhari, no: 152/156]

Masa kini, apabila beristinjar, gunalah tiga helai tisu. Jika najis masih kelihatan, sapulah dengan lima atau tujuh helai tisu sehingga najis tidak lagi kelihatan.

 

Jika Najis Sentiasa Ada

Adakalanya ketika sakit, najis sentiasa keluar sehingga tidak dapat dibersihkan baik secara istinja’ mahupun istijmar. Satu contoh yang lazim ialah apabila pesakit digantung beg yang melaluinya air kencing sentiasa keluar.

Kes seperti ini diqiyaskan kepada wanita yang memiliki darah penyakit (darah istihadhah). Setiap kali masuk waktu solat, pesakit berwudhu’ dan melaksanakan solat. Ini sebagaimana yang dihadapi oleh wanita yang memiliki darah penyakit (darah istihadhah). Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Apabila itu darah haid, maka ia berwarna gelap yang dapat dikenali (oleh anda). Apabila darah itu ternyata demikian, maka tinggalkanlah shalat. Namun apabila darah itu lain (ciri-cirinya), maka berwudhulah dan kerjakanlah solat, kerana itu hanyalah darah penyakit.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 247/286]

Sebagaimana wanita yang sentiasa mengalami pendarahan diwajibkan wudhu’ dan solat, maka demikianlah juga bagi pesakit yang sentiasa mengalami pengeluaran air kencing atau tahi, dia juga diwajibkan wudhu’ dan solat. Wudhu’ dan solat tersebut adalah sah dan tidak perlu diulangi apabila sudah sembuh kelak.

Jika pesakit yang sentiasa mengalami pengeluaran air kencing atau tahi mengalami kesukaran untuk berwudhu’ atau bersolat seperti biasa, ada cara-cara yang dipermudahkan oleh Islam. Cara-cara ini akan saya kupas dalam penulisan akan datang insya-Allah.

 

Istijmar Dibolehkan Sekalipun Tidak Sakit

Istijmar, yakni membersihkan najis pada kemaluan dan dubur dengan menggunakan bahan-bahan yang bersih, dibolehkan sekalipun seseorang itu tidak sakit. Cara yang lazim ialah membersihkan najis dengan menggunakan air (istinja’). Namun jika tidak ada air, kekurangan bekalan air atau sumber air yang tidak bersih, maka dibolehkan beristijmar. Jika diperhatikan hadis-hadis di atas, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam beristijmar sekalipun baginda tidak sakit.

Pada masa kini, sesetengah tandas tidak menyediakan air untuk pengguna membersihkan diri setelah membuang air kecil atau air besar. Apa yang disediakan hanyalah tisu. Ini lazim berlaku di tandas-tandas negara Barat. Oleh itu dibolehkan membersihkan diri dengan tisu yang disediakan.

Perkara penting tentang istijmar, hendaklah yakin bahawa ia adalah cukup untuk membersihkan diri daripada najis. Ini kerana syaitan akan suka mencelah membisikkan perasaan was-was, konon istijmar adalah tidak cukup bersih sehingga tidak boleh melaksanakan solat. Tolaklah bisikan syaitan tersebut dengan membaca A’uzubillahi minasy syaithan nirrajim.