Di antara rahmat dan kurniaan besar yang Allah Subhanahu wa Ta'ala berikan kepada kita ialah Lailatul Qadar. Perkataan Lail bermaksud malam sementara al-Qadar adalah kerana pada malam tersebut para malaikat membawa ketetapan Qadha dan Qadar untuk setahun berikutnya.

Pada malam ini juga Allah menurunkan al-Qur’an yang amat mulia lagi istimewa. Atas pelbagai kelebihan inilah, malam ini adalah lebih baik berbanding malam-malam pada 1000 bulan yang lain. Semua ini dijelaskan dalam al-Qur’an:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam al-Qadar? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam itu hingga terbit fajar! [Surah al-Qadar, ayat 1-5]

serene night

Bilakah Lailatul Qadar?

Lailatul Qadar jatuh pada salah satu malam yang ganjil pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan: Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam yang terakhir daripada bulan Ramadhan.[Shahih al-Bukhari, no: 1878/2017]

Ada pandangan yang berkata Lailatul Qadar jatuh pada malam 27 bulan Ramadhan. Pandangan ini sebenarnya kurang tepat kerana tidak berasal dari al-Qur’an atau al-Sunnah yang sahih. Beberapa sahabat Rasulullah ada mengatakan mereka menemui Lailatul Qadar pada malam 27, akan tetapi ia hanya berlaku pada tahun tersebut. Pada tahun-tahun yang lain, ia jatuh pada malam yang lain. Ini kerana malam Lailatul Qadar sentiasa berubah-ubah dari tahun ke tahun dan ia akan jatuh pada salah satu malam yang ganjil pada sepuluh malam yang terakhir. Kenapakah Allah dan Rasul-Nya tidak menetapkan satu tarikh yang pasti? Syaikh Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan hikmahnya:

“Milik Allah-lah hikmah kebesaran yang ada di sebalik rahsia-rahsia-Nya. Sekiranya kita mendapat keyakinan bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam tertentu sahaja, tentu semangat kita mengendur di sepanjang Ramadhan dan merasa cukup dengan menghidupkan malam yang ditentukan itu sahaja.

Kerahsiaannya merupakan pendorong untuk melakukan amal pada bulan itu seluruhnya dan melipatgandakan amal tersebut pada sepuluh malam terakhir. Ini mengandungi kebaikan yang sangat banyak bagi individu mahupun jamaah.

Hal ini sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta'ala merahsiakan saat yang doa menjadi mustajab pada hari Jumaat agar kita sentiasa berdoa kepada-Nya sepanjang hari Jumaat. Allah juga merahsiakan Nama-Nya yang paling agung yang apabila digunakan pasti akan dikabulkan-Nya, agar kita berdoa dengan menggunakan Nama-Nama baik-Nya (al-Asma al-Husna) secara keseluruhan.” [Fiqh al-Siyam, ms. 176-177]

 

Beberapa Tanda Lailatul Qadar

Di dalam beberapa hadis yang sahih ada diterangkan alamat atau tanda bagi mengenal Lailatul Qadar. Pada malam tersebut suasana adalah nyaman, tidak panas dan tidak sejuk. [Shahih al-Jami’ al-Shagheir, hadis no: 5475] Kemudian pada pagi hari selepas Lailatul Qadar, matahari terbit dengan sinaran yang tidak menyilau atau tidak terik. [Shahih Muslim, no: 1272/762]

Sekalipun telah diterangkan dua tanda Lailatul Qadar, seseorang itu hanya akan dapat mengetahui secara yakin bilakah Lailatul Qadar setelah berakhirnya bulan Ramadhan dengan menganalisa kesemua sepuluh malam terakhir berdasarkan tanda-tanda di atas. Ini kerana tanda-tanda di atas mungkin wujud secara berbeza-beza di antara malam yang berbeza-beza. Sebagai contoh, malam 21 mungkin memiliki tanda sinaran matahari yang tidak terik pada pagi harinya, malam 23 mungkin memiliki tanda suasana yang nyaman, malam 25 mungkin memiliki suasana yang lebih nyaman berbanding malam 23, manakala malam 29 mungkin memiliki kesemua dua tanda sekali gus.

Tujuan diterangkan alamat-alamat Lailatul Qadar bukanlah untuk menetapkan malam yang tertentu tetapi sebagai sumber motivasi untuk terus beramal dalam rangka mencari Lailatul Qadar.

 

Apa Yang Sepatutnya Dilakukan Pada Lailatul Qadar?

Mulai sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, hendaklah kita memperbanyakkan solat malam (Qiamulail). A’isyah radhiallahu 'anha menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam apabila memasuki sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan mengasingkan diri daripada para isterinya dan menghidupkan waktu malam dengan Qiamulail. Baginda juga membangunkan keluarganya untuk turut berqiamulail. [Shahih Muslim, no: 2008/1174] Bahkan baginda beriktikaf di masjid pada sepuluh malam terakhir Ramadhan. Amalan ini baginda teruskan setiap tahun sehinggalah wafat. [Shahih Muslim, no: 2006/1172]

Di samping itu dianjurkan untuk memperbanyakkan doa, khasnya dengan memohon keampunan daripada Allah. A’isyah menerangkan bahawa dia pernah bertanya:

“Wahai Rasulullah! Apa pendapatmu apabila aku mendapati salah satu malam daripada Lailatul Qadar, apakah yang sepatutnya aku ucapkan?”

Rasulullah menjawab (ucapkanlah): “Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Pengampun lagi menyukai untuk mengampun, maka ampunilah aku.” [Shahih Sunan Ibn Majah, no: 3840/3119]

Demikian secara ringkas berkenaan Lailatul Qadar. Ia adalah satu malam istimewa yang dikurniakan oleh Allah kepada kita bukan untuk dinyalakan lampu pelita, tetapi untuk diraih keutamaannya. Ingat! Satu malamnya adalah lebih baik pada malam-malam lain sepanjang seribu bulan. Ini bersamaan dengan 83 tahun dan 4 bulan! Oleh itu dalam suasana keseronokan dan kesibukan persiapan Aidil Fitri, pastikan salah satu daripada senarai things to do kita ialah meningkatkan amal ibadah di malam hari (Qiamulail). Bahkan jadikanlah ia keutamaan yang paling tinggi.