Pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, ada yang bertanya kepada baginda tentang ruh. Maka ayat berikut adalah jawapannya: Dan mereka bertanya kepadamu tentang ruh. Katakanlah: “Ruh itu termasuk urusan Tuhan-ku dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.” [al-Isra’ 17:85] Maksudnya, ruh merupakan urusan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ia bukanlah urusan manusia sehingga manusia boleh membuat kenyataan, teori dan cerita-cerita sendiri.

Seterusnya Allah berfirman: “…dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.” Maksudnya, manusia tidak diberi pengetahun tentang ruh melainkan sedikit. Apakah sedikit pengetahuan yang Allah berikan kepada kita tentang ruh? Pengetahuan yang sedikit itu ialah apa yang Allah nyatakan dalam al-Qur’an dan apa yang disampaikan oleh Rasul-Nya sebagaimana yang tercatat dalam hadis-hadis yang sahih.

birdsonbranc

Berdasarkan ayat 85 surah al-Isra’ ini, hendaklah para pembaca sekalian membataskan diri kepada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih apabila berbicara tentang ruh. Jangan dihiraukan apa-apa pandangan, tulisan dan cerita tentang ruh jika ia tidak berasal dari dua sumber wahyu ini, meskipun yang menyampaikannya ialah orang-orang yang masyhur. Ingat, kebenaran dalam Islam tidak diukur berdasarkan kemasyhuran.

Demikian juga, jika apa-apa persoalan tentang ruh didiamkan oleh dua sumber wahyu ini, bererti ia tidak penting untuk diketahui oleh manusia. Justeru apa yang didiamkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, hendaklah juga didiamkan oleh kita. Tidak perlu bertanya atau memikir-mikirkannya.

Kedudukan Ruh Selepas Meninggal Dunia

Dalam kolum yang lepas, kita telah mempelajari ayat-ayat al-Qur’an yang menerangkan ruh ditiup masuk ke dalam jasad manusia di peringkat janin ketika dalam kandungan ibu. Setelah itu ruh sentiasa dalam jasad manusia kecuali apabila tidur, di mana ia boleh keluar dengan kehendak Allah. Ke manakah ruh itu apabila ia keluar? Tidak diketahui penjelasan yang sahih. Apa yang diketahui ialah, ia keluar dengan kehendak Allah dan menuju ke tempat yang dikehendaki oleh Allah.

Apabila sudah tiba masanya, ruh ditarik keluar untuk kali terakhir dan pada saat itu, jasad atau manusia itu meninggal dunia (mati). Persoalannya, ke manakah ruh manusia setelah meninggal dunia? Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ada menjelaskannya seperti berikut:

 

Ruh Para Nabi

Ruh para Nabi berada di dalam syurga, di tingkatan yang paling tinggi. Ia disebut sebagai al-Rafiq al-‘Ala yang bermaksud teman-teman – yakni para Nabi dan Rasul – di kedudukan tertinggi di syurga.  Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sakit yang membawa kepada kewafatannya, baginda berdoa: Ya Allah! Ampunilah aku, rahmatilah aku dan jadikanlah aku bersama al-Rafiq al-‘Ala. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 3418/3496]

 

Ruh Para Syuhada

Muslimin dan muslimat yang berjuang di medan perang demi meninggikan kalimah Allah lalu gugur syahid, ruh mereka berada dalam syurga, dalam burung-burung hijau yang berterbangan dalam syurga. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengkhabarkan hal ini:

Tatkala saudara-saudara kalian gugur dalam Perang Uhud, Allah menjadikan ruh mereka berada di dalam perut burung hijau yang akan mendatangi sungai-sungai syurga (untuk minum), makan sebahagian dari buah-buahannya, serta kembali ke pelita-pelita emas yang tergantung dalam naungan ‘Arasy.

Kemudian tatkala mereka merasai keenakan makanan mereka, minuman merekadan tempat rehat mereka, mereka berkata: “Siapakah yang akan menyampaikan berita kepada saudara-saudara kita tentang kita, bahawa kita sedang hidup di syurga dengan mendapat rezeki? Supaya dengan itu mereka tidak akan menahan diri daripada jihad dan tidak akan undur daripada berperang?”

Lantas Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman, “Akulah yang akan menyampaikan khabar kalian kepada mereka.” Lalu Allah turunkan ayat: “Dan janganlah kamu menyangka orang yang terbunuh pada jalan Allah itu mati, tetapi mereka itu hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.” (Ali Imran 3:169) [Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 2158/2520]

 

Ruh Orang Beriman

Ruh orang-orang yang beriman berada di dalam burung yang bertenggek di pohon-pohon syurga. Mereka hanya di pohon syurga, tidak terbang bebas sebagaimana ruh orang yang gugur syahid. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya ruh orang-orang beriman tidak lain berada dalam burung di pohon syurga sehinggalah Allah ‘Azza wa Jalla membangkitkannya (mengembalikannya) ke jasadnya pada Hari Kiamat. [Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 2046/2073]

Adapun ruh orang beriman yang melakukan dosa-dosa kecil dan besar, maka ia berada di dalam kubur dan diazab sekadar dosa yang telah dilakukan atau sehingga Allah mengampunkannya. Satu contoh ialah hadis berikut di mana ‘Abdullah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma menerangkan:

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melintasi dua kuburan, lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya kedua-duanya sedang diseksa (dalam kubur) dan kedua-duanya diseksa bukan kerana dosa besar. Yang satu diseksa kerana tidak menjaga kebersihan ketika kencing, sementara yang satunya suka menimbulkan permusuhan di antara dua orang dengan percakapan yang berunsur fitnah.” [Shahih al-Bukhari, no: 211/218]

 

Ruh Orang Kafir

Adapun orang yang sudah disampaikan kepadanya kebenaran Islam lalu tetap kafir, maka ruhnya diseksa dalam kubur dan berterusan sehingga ke Hari Akhirat.

Demikianlah kedudukan ruh-ruh selepas ia ditarik dari jasad yang meninggal dunia. Persoalannya, bolehkan ruh-ruh orang meninggal dunia ini datang mengganggu orang yang sedang hidup sehingga menyebabkan rasukan, histeria dan lain-lain gangguan? Ini akan kita kaji dalam kolum bulan depan insya-Allah.