Mutiara Doa: Istighfar.

Wahai tuhanku! Ampunilah aku, terimalah taubat aku,
sesungguhnya Engkau – Engkau maha menerima taubat lagi mengampuni.

 

Beberapa Pengajaran Doa:

  1. Rasulullah apabila berada di dalam sesebuah majlis, melazimkan diri untuk beristighfar kepada Allah. Hadis di atas diriwayatkan oleh Abdullah ibn ‘Umar di mana beliau berkata: “Jika kami menghitung, Rasulullah dalam satu majlis mengucapkan istighfar sebanyak 100 kali dengan ucapan: Wahai tuhanku! Ampunilah aku, terimalah taubat aku, sesungguhnya Engkau – Engkau maha menerima taubat lagi mengampuni.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 3434]
  2. Kita tentu sahaja tidak menghadiri majlis-majlis yang mungkar di mana di dalamnya terdapat tarian dan arak. Namun sekalipun menghadiri majlis yang ma’aruf, kita tetap beristighfar kerana dalam majlis sedemikian manusia sering lupa kepada Allah, banyak gelak ketawa, memandang apa yang tidak patut dan menggossip apa yang tidak benar berkenaan orang lain.
  3. Sekalipun Rasulullah orang yang terpelihara daripada membuat dosa, baginda tetap beristighfar dan bertaubat kepada Allah. Ini kerana Allah menyukai orang-orang yang bertaubat kepadanya. Firman Allah: “Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat…” [al-Baqarah 2:222]