Soalan:

Apakah hukum wanita yang melaungkan azan dan membaca ayat al-Quran dengan kuat?

Alor Gajah, Melaka.

 

Jawapan:

Pertama perlu ditanya, kenapa wanita ingin melaungkan azan? Jika azan sudah dilaungkan setelah masuk waktu, maka tidak perlu untuk azan lagi. Jika tidak ada azan, seperti berada di lokasi terpencil, maka tidak disyari’atkan untuk seorang wanita melaungkan azan. Namun jika semua yang hadir di lokasi yang tidak ada azan itu hanyalah wanita, maka dibolehkan melaungkan azan jika diingini.

Berbeza jika ingin melaungkan azan bagi menghalau syaitan, maka ia dibolehkan pada bila-bila masa dirasakan perlu, jika pada saat itu tidak ada lelaki. Rasulullah pernah bersabda: Jika panggilan solat (azan) dikumandangkan maka syaitan lari sambil terkentut sehingga ia tidak mendengar suara adzan tersebut. Apabila panggilan azan selesai maka syaitan kembali. [Shahih al-Bukhari, no: 1146/1222] Apabila seseorang itu lazim azan, membaca al-Qur’an dan berzikir kepada Allah, maka syaitan akan sentiasa lari menjauhinya, tanpa kembali lagi.

Dibolehkan membaca al-Qur’an dengan kuat. Namun hendaklah menjaga nada suara agar tidak menimbulkan fitnah di kalangan kaum lelaki. Allah berfirman: Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu) dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). [al-Ahzaab 33:32]