Soalan:

Baru-baru ini ada kes transgender yang menuntut hak memakai pakaian yang mereka sukai. Ia mereka dakwa adalah hak asasi mereka. Apakah hikmah Islam melarang mereka berpakaian dengan sesuatu yang berbeza dengan jantina mereka?

Rozaidah, Melaka.

 

Jawapan:

Transgender ialah lelaki yang tingkah lakunya seperti wanita dan wanita yang tingkah lakunya seperti lelaki. Dua istilah lain yang berkaitan ialah Tranvestit, iaitu lelaki yang berpenampilan seperti wanita dan wanita yang berpenampilan seperti lelaki. Sementara Transeksual ialah lelaki yang merasakan dia seorang wanita dan wanita yang merasakan dia seorang lelaki. Ada yang membuktikan perasaan itu dengan melakukan pembedahan bagi menukar alat kelamin.

Adapun hikmah di sebalik larangan, penyerupaan dengan jantina yang berbeza sebenarnya adalah satu tindakan melawan penciptaan Allah. Ini kerana Allah telah mencipta manusia sebagai lelaki dan wanita di mana masing-masing diberi ciri fizikal, biologikal, psikologikal dan peranan yang berbeza dalam kehidupan ini. Sejak awal penciptaan manusia, Allah telah menyatakan: Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. [al-Nisa’ 4:01]

Demikianlah sehingga ke hari ini, sejak dari tahap-tahap awal kelahiran, Allah telah tetapkan lelaki dan perempuan: Bukankah dia (manusia) berasal dari air mani yang dipancarkan (ke dalam rahim)? Kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu Tuhan menciptakannya, dan menyempurnakan kejadiannya (sebagai manusia)? Lalu Tuhan menjadikan daripadanya dua jenis: lelaki dan perempuan. [al-Qiyamah 75: 37-39]

Lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki, mereka sebenarnya menentang dua ayat al-Qur’an di atas serta banyak yang lain. Mereka menentangkan apa yang Allah cipta dan tentukan bagi mereka.