Soalan:

Sejujurnya saya merasakan diri saya ini benci kepada lelaki dan suka kepada sesama wanita. Malah kemungkinan besar pada masa akan datang saya akan mencintai seorang wanita sebagai teman dan pasangan hidup. Saya tahu ini bertentangan dengan Islam namun jika inilah perasaan fitrah yang Allah takdirkan untuk saya, saya menerima seadanya.

Siti, Pulau Pinang.

 

Jawapan:

Sebenarnya apa yang anda alami ialah satu bentuk ujian daripada Allah. Ketahuilah bahawa semua manusia diuji oleh Allah dengan ujian yang berbeza-beza jenis, kadar dan jumlahnya. Ada yang Allah uji dengan DNA yang berbeza dari normal. Ada yang Allah uji dengan penyakit atau kecacatan anggota. Ada yang Allah uji dengan suasana pembesaran yang dipenuhi dengan kezaliman, kesusahan, atau kesenangan. Hakikatnya, semua manusia memiliki ujian yang tersendiri dan ia bukanlah alasan untuk menjalani hidup dengan cara yang tidak diredai oleh Allah.

Oleh itu yakinilah bahawa kecenderungan kepada jantina atau seksual yang berbeza termasuk salah satu ujian daripada Allah. Yakinilah juga bahawa uji itu tetap termasuk dalam kemampuan untuk lulus cemerlang daripadanya kerana apa jua ujian, Allah tidak akan menguji di luar batas kemampuan seseorang itu. Ambillah iktibar daripada hadis berikut:

Sa’ad bin Abi Waqash radhiallahu 'anh pernah bertanya: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berat ujiannya? Baginda menjawab: “Para nabi, kemudian (orang yang memiliki keutamaan) sepertinya, kemudian (orang yang memiliki keutamaan) sepertinya.

Seseorang itu diuji berdasarkan kadar agamanya. Jika agamanya kuat, ujiannya pun berat. Sebaliknya jika agamanya lemah, dia diuji sesuai dengan kadar agamanya. Ujian-ujian ini tidak akan berhenti menimpa seorang hamba sehingga dia berjalan di atas muka bumi dengan tidak mempunyai kesalahan (kerana dosa kesalahan telah dihapuskan oleh ujian-ujian tersebut).” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2322/2398]