Soalan:

Apakah hukum menayang badan pada orang awam terutama untuk pertandingan bina badan (lelaki)? Bagaimana pula jika perempuan yang melihatnya, adakah perempuan itu berdosa?

Arfah, Melaka.

 

Jawapan:

Haram hukumnya untuk melihat aurat orang lain, meskipun sesama jantina. Rasulullah menegaskan: Tidak boleh seorang lelaki melihat aurat lelaki yang lain dan tidak boleh seorang wanita melihat aurat wanita yang lain. Tidak boleh seorang lelaki menyentuhkan badannya kepada badan lelaki yang lain di dalam satu selimut dan tidak boleh seorang wanita menyentuhkan badannya kepada badan wanita yang lain dalam satu selimut. [Shahih Muslim, no: 512/338]

Walaupun aurat seorang lelaki adalah antara pusat dan lututnya, ditegah untuk melihat selain itu kerana dibimbangi ia akan menimbulkan fitnah di kemudian hari. Ingat! Islam bukan sahaja melarang apa yang haram, tetapi juga melarang jalan-jalan yang mendorong seseorang itu mendekati apa yang haram.

Oleh itu hukum menonton sukan bina badan adalah haram kerana peserta hanya memakai seluar dalam mini untuk menayangkan badan. Ia adalah haram untuk peserta dan penonton, baik lelaki dan wanita.

Bezakan bahawa melibatkan diri dalam sukan bina badan adalah sesuatu yang dibolehkan kerana ia termasuk satu bentuk sukan yang baik untuk kesihatan. Namun kebolehan ini dengan syarat tidak berlaku tayang-menayang tubuh badan dan tidak berlaku percampuran di antara lelaki dan wanita ketika berlatih di gimnasium.