Soalan:

Apakah hukumnya jika seseorang itu dalam keadaan marah, memaki, menyumpah seseorang hanya di dalam hatinya sahaja tanpa memberitahu kepada orang lain? Adakah itu juga dikira berdosa?

Kamalia Haris, Bukit Mertajam.

Jawapan

Tidak dikira berdosa apa yang sekadar berada dalam hati. Dosa hanya dikira apabila isi hati tersebut diterjemahkan kepada perbuatan. Akan tetapi – selari dengan sifat Allah yang maha penyayang – apabila seseorang itu meninggalkan niat buruk di dalam hatinya itu kerana Allah, maka ia akan diberikan pahala. Ringkasnya, berniat buruk tidak membawa dosa selagi tidak dikerjakan sementara tetapi berusaha melawan niat buruk itu dan meninggalkannya akan membawa pahala.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda, bahawa para malaikat berkata kepada Allah (padahal Allah maha mengetahui): “Hamba-Mu ini berkehendak melakukan kejahatan!” Maka Allah berfirman: “Kalian awasilah dia. Jika dia melakukan kejahatan itu maka kalian tulislah untuknya dosa yang setara dengan kejahatan itu. Namun jika dia meninggalkannya (tidak jadi melakukannya) maka tulislah untuknya satu kebaikan. Sesungguhnya dia meninggalkannya tidak lain kerana Aku.” [Shahih Muslim, no: 185/129]