Soalan: 

Pada bulan Ramadan, umat Islam diwajibkan berpuasa tanpa makan dan minum hampir seharian. Ada yang mengambil kesempatan ini menjadikan bulan puasa sebagai bulan untuk diet. Apa pandangan Islam tentang hal ini?

Geena, Pulau Pinang.

 

Jawapan:

Semua ibadah dalam Islam memiliki manfaat sampingan. Contohnya berwudhu memiliki manfaat sampingan menyegarkan muka dan badan. Solat memiliki manfaat sampingan membantu peraliran darah ketika rukuk dan sujud. Solat berjamaah memiliki manfaat sampingan berkenalan dan beramah-mesra dengan orang lain. Umrah dan Haji memiliki manfaat sampingan meningkatkan daya fizikal. Demikian juga bagi puasa, ia memiliki manfaat sampingan merehatkan sistem pencernaan badan dan melansing serta menurunkan berat badan.

Apa yang penting, hendaklah seseorang itu melaksanakan semua ibadah-ibadah ini kerana Allah, sebagai tanda kepatuhan kepada Allah. Manfaat-manfaat sampingan itu sedia datang dengan sendirinya. Jika seseorang itu beribadah dengan tujuan memperolehi manfaat yang lain, seperti berpuasa hanya untuk melangsing dan menurunkan berat badan, maka ibadah itu tidak diterima. Maka berpuasalah kerana Allah. Secara tidak langsung, puasa itu dengan sendirinya akan membantu pengamalnya menjaga diet pemakanan.