Soalan: 

Saya bekerja di hotel sebagai pelayan dan pernah diminta untuk menghidangkan arak kepada tetamu. Apakah hukumnya dan bagaimana dengan bayaran/gaji yang saya terima?

 

Jawapan:

Kerjaya seperti ini terbahagi kepada dua keadaan. Pertama, bekerja di tempat yang melibatkan arak sepenuhnya seperti kilang membuat arak atau pub. Hukum berkerja dan hasil pendapatan darinya adalah haram.

Kedua, berkerja di tempat yang sebahagian daripadanya melibatkan arak. Contohnya kerjaya sebagai pelayan di hotel, anda bukan sahaja menghidang arak tetapi juga menghidangkan makanan dan minuman, menyusun meja dan kerusi serta menjaga kebersihan dewan makan. Maka menghidang arak hanyalah sebahagian daripada kerja anda.

Bagi keadaan kedua ini, para ulama berbeza pendapat. Ada yang berkata ia tetap haram sebagaimana keadaan pertama di atas. Ada yang berkata ia dibolehkan dengan syarat urusan dengan arak hanyalah sebahagian kecil dari pelbagai urusan lain yang dilakukan. Walau bagaimanapun adalah lebih utama jika seseorang itu berusaha mencari kerjaya lain yang bebas arak sepenuhnya.

Saya mencenderungi pendapat kedua di atas. Oleh itu yang terbaik anda mencari kerja lain yang bebas arak 100%. Jika tidak ada atau tidak mampu, cubalah mengelak urusan arak dengan menyerahkannya kepada rakan kerja yang bukan Islam. Jika tetap tidak boleh, maka teruskan saja dengan banyak beristighfar kepada Allah. Allah amat menyayangi para hamba-Nya dan memaafkan sesiapa yang tidak mampu setelah benar-benar berusaha.