Soalan:

Adakah dalam Islam dibolehkan bersanding walaupun tanpa bertepung tawar?

Ainah Zakaria, Bentong, Pahang.

 

Jawapan:

Bersanding asalnya boleh kerana ia memperkenalkan kepada para hadirin siapakah pasangan pengantin yang bernikah itu. Malah ia memiliki tujuan yang baik dalam agama, iaitu apabila di kemudian hari ternampak pasangan itu berdua-duaan, orang ramai tahu mereka adalah pasangan yang halal.

Akan tetapi acara bersanding telah dicemari dengan pelbagai aspek yang dilarang oleh agama seperti bersolek, aurat yang terdedah, pakaian yang ketat dan perhiasan-perhiasan yang mahal. Solekan ke atas kedua-dua pengantin amatlah tebal sehingga tidak lagi dikenali wajah asal pengantin tersebut. Ini menyebabkan tujuan asal bersanding – iaitu memperkenalkan pengantin kepada para hadirin – sudah hilang. Pencemaran-pencemaran inilah yang akhirnya menyebabkan ramai ahli agama melarang acara bersanding.

Oleh itu larangan bersanding bukanlah kerana acara tepung tawar tetapi kerana pelbagai pencemaran dan larangan agama yang berlaku ketika bersanding.