Soalan:

Benarkah membaca al-Quran secara nyaring dilarang dalam masjid?

Adlina Adnan, Hulu Selangor.

 

Jawapan:

Ya, ia dilarang jika mengganggu orang-orang lain yang turut sedang beribadah dalam masjid ketika itu. Dalilnya ialah hadis berikut: Bahawa Rasulullah pada suatu ketika keluar kepada orang ramai (di masjid) dan mendapati mereka sedang bersolat dengan menguatkan suara ketika melakukan bacaan al-Qur’an (dalam solat). Maka Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya orang yang bersolat itu sedang bermunajat kepada tuhannya ‘Azza wa Jalla, maka hendaklah diperhatikan apa yang sedang dimunajatkan itu. Dan janganlah sebahagian kalian menguatkan suara di atas sebahagian lain dengan bacaan al-Qur’an.” [Musnad Ahmad, no: 19022 dengan sanad yang sahih]

Jika membaca al-Qur’an secara kuat di dalam solat dilarang, maka membaca al-Qur’an di luar solat secara kuat juga dilarang kerana ia akan mengganggu orang lain yang sedang solat. Akan tetapi jika bacaan al-Qur’an tidak mengganggu orang lain, maka ia tidak mengapa. Contohnya dalam masjid yang besar di mana orang yang membaca al-Qur’an secara kuat di satu penjuru tidak akan mengganggu orang yang sedang solat di penjuru yang lain.

Pada masa kini, larangan Rasulullah dalam hadis di atas tidak diperhatikan oleh sebahagian pihak masjid. Lazimnya sebelum masuk waktu solat, mereka memainkan rakaman bacaan al-Qur’an melalui sistem pembesar suara masjid sehingga mengganggu orang yang sedang solat, membaca al-Qur’an dan berzikir dalam masjid tersebut. Kebisingan itu turut mengganggu rumah-rumah di sekitar masjid sehingga menyebabkan orang-orang – baik Muslim atau tidak – membenci dan menjauhi masjid.