Soalan

Apabila selesai solat, saya hanya berdoa dengan membaca al-Fatihah dan tidak selalu  memohon kesejahteraan dunia dan akhirat. Ajarkan saya adab berdoa dengan betul agar Allah terima ibadah saya.

Yati, Sandakan

 

Penjelasan:

Terdapat beberapa adab berdoa yang digariskan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah. Saya telah menyenaraikannya dalam buku saya 11 Perkara Yang Mencemari Kemurnian Tauhid. Akan tetapi melihat kepada soalan saudari, saya rasa masalah yang dihadapi oleh saudari adalah segan untuk berdoa, segan untuk “bercakap-cakap” dengan Allah s.w.t. melalui doa. Keseganan ini perlu diubah kerana: Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada para hamba-Nya), Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.” [Surah al-Baqarah, ayat 186]

Allah s.w.t. bukan sahaja hampir kepada kita melalui doa, Allah juga sangat suka kita berdoa kepada-Nya. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak ada sesuatu yang lebih mulia kepada Allah Ta‘ala melainkan doa.” [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 3370]

Oleh itu lazimkanlah diri berdoa, bukalah diri untuk meluahkan apa-apa masalah atau hajat kepada Allah, kemudian mohonlah kepada-Nya. Jangan terasa segan, jangan terasa jauh.